Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
Kuching: Dua premis perniagaan di Kuching dan Sri Aman diserang menggunakan api atau bahan letupan semalam.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek dan motif kejadian.
"Polis turut menganalisis bahan yang digunakan, meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mengesan sebarang kaitan antara kedua-dua kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Beliau berkata, polis turut mengambil perhatian terhadap dakwaan yang tular di media sosial bahawa kedai serbaneka terbabit menjual 'top up' judi dalam talian.
Katanya, dakwaan berkenaan akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya didapati benar.
"Tindakan termasuk memohon pihak berkuasa tempatan membatalkan lesen perniagaan mereka jika siasatan mendapati premis terbabit dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang," katanya.
Mohamad Zainal turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
Pada masa sama, pemilik premis perniagaan disaran meningkatkan kawalan keselamatan dan segera melaporkan kepada polis sekiranya mengesan individu atau kenderaan mencurigakan di kawasan masing-masing.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Kontinjen Sarawak di talian 082-240 800 bagi membantu siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan