"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS sedang menyatupadukan semua kaum- Abdul Hadi

Hazayani Zakaria, FOTO: Shukri Mohamad
KLANG, 23 Mei:
Keterbukaan PAS menerima orang bukan Islam menyertai parti Islam itu melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS DHPP membuktikan bahawa PAS sedang menyatupadukan semua kaum di negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, jika semua kaum dan etnik di negara digabungkan dengan baik, ianya akan menghasilkan natijah yang baik untuk manfaat negara.

"PAS cuba menyatupadukan seluruh kaum di negara ini dengan membuka pintu kepada orang bukan Islam menyertai PAS.

"Ini terbukti apabila Kelab Penyokong PAS dinaiktaraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan pelancaran DHPP di Klang hari ini.

Sebagai gimik pelancaran, beliau menyentuh sebuah glob bertulis DHPP.

Terdahulu dalam ucapannya beliau juga berkata, apa yang boleh menyatukan kaum ialah keadilan dan saling menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain, dan ianya sedang dibuktikan oleh PAS.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, PAS mengambil langkah proaktif sewaktu memerintah Terengganu apabila membenarkan orang bukan Islam menjadi calon PAS bertanding pilihanraya.

"Ini membuktikan bahawa PAS tidak mengenepikan orang bukan Islam," katanya lagi.

Turut hadir Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, Bendahari, Dr. Hatta Ramli, Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Manakala pimpinan lain termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, Pengerusi Lajnah Perpaduan Kaum, Dr. Mujahid Yusof, Timbalannya, Dr.Halimah Ali yang juga pengarah program serta pengerusi dan timbalan pengerusi DHPP Hu Pang Chaw dan N.Balasubramaniam.

PAS timbang lantik bukan Islam sebagai senator

G. Manimaran

KLANG, 23 Mei: PAS kemungkinan akan melantik orang bukan Islam sebagai anggota Dewan Negara sebagai iktirafan tambahan kepada pemilihan mereka sebagai calon pilihan raya, kata Naib Presidennya Salahuddin Ayub.

PAS sedang mempertimbangkan perkara tersebut selepas ia meletakkan calon bukan Islam dalam pilihan raya umum 2008.

Selepas ini kata beliau, PAS akan membolehkan calon bukan Islam menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya.

“Kita akan membuka lembaran baru dalam politik negara ini,” kata beliau pada majlis pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS di sini hari ini.

Salahuddin, Ahli Parlimen Kubang Kerian merupakan penasihat dewan itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Dr Mujahid Yusuf Rawa pula berkata,

ahli-ahli PAS tidak harus melihat Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dilancarkan hari ini sebagai entiti berasingan dengan memisahkan anggota sayap baru sebagai “orang lain.”

“Saya minta ahli-ahli PAS supaya jangan pisahkan kita orang PAS, anda bukan orang PAS.

“Dewan Himpunan Penyokong PAS ini baru lahir, jadi ahli-ahli PAS tolonglah bimbing mereka (ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS),” katanya.

Ia dilancarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar).

Sayap baru ini lahir dengan keputusan PAS menaikkkan taraf Kelab Penyokong PAS yang wujud sejak 2004 dengan keahlian hampir 20,000 orang.

-malaysianinsider-

Raja Petra: Dakwa saya di mahkamah UK jika mahu

RPK kembali muncul semalam, lebih setahun selepas berada dalam buangan kendiri. — Gambar oleh Danny Lim

LONDON, 23 Mei: Pengendali Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin muncul di khalayak di sini semalam dengan mencabar pihak berkuasa Malaysia agar membawa segala tuduhan yang dikenakan ke atasnya di mahkamah United Kindom (UK).

Dengan diapit dua lelaki yang berkaca mata hitam, Raja Petra Kamaruddin yang mesra dengan panggilan dengan “RPK” berkata, beliau sanggup berhadapan dengan tuduhan fitnah dan hasutan, malah rayuan terhadap pembebasan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika diberikan hak perundangan yang sama rata.

“Saya akan berhadapan dengan kerajaan dan saya akan lawan tetapi saya akan buat apa yang Sun Tzu berkata ‘lawan dia di wilayah anda’.

“Jadi wilayah saya ialah di sini di UK,” kata Raja Petra dengan menerima tepukan hadirin dianggarkan 300 orang, yang beg mereka diperiksa teliti sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan di BPP Law School di sini.

Kebanyakan daripada hadirin sanggup untuk berdiri kira-kira dua jam mendengar cerita Raja Petra.

Kemunculan semalam dilihat yang pertama selepas lebih setahun berada dalam buangan kendiri.

Pada November lalu, Raja Petra dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya daripada tuduhan menerbitkan kata-kata hasutan di laman web kerana polis masih gagal mengesan beliau.

Hakim Rozina Ayub yang membuat keputusan itu berkata perkara ini amat memalukan semua pihak sehingga menyebabkan kes itu terpaksa dilepaskan kerana pihak pendakwaan gagal menyerahkan waran tangkap yang menyebabkan kes itu tergantung dan masih tiada penghujung.

Keputusan itu dibuat selepas kesnya ditangguhkan tiga kali iaitu pada 22 Mei, 17 Julai dan 12 Oktober.

Pada 6 Mei 2008, Raja Petra, 60, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berhubung sebuah artikel dalam laman web Malaysia Today pada 25 April 2008.

Ia salah satu kes dihadapi beliau.

Dalam ucapannya, Raja Petra menolak pandangan bahawa beliau harus pulang ke tanah air untuk membuktikan yang beliau tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

“Pelajar tahun pertama jurusan undang-undang akan memberitahu anda bahawa ia bukan kerja pihak tertuduh untuk membuktikan yang dia tidak bersalah. Ia ada kerja pendakwa raya untuk membuktikan yang dia bersalah.

“Ada mahkamah UK di sini. Tidak perlu ada panggilan telefon ataupun panggilan telefon daripada isteri seseorang,” kata Raja Petra dengan merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, yang beliau seringkali menuduh mencampuri institusi kehakiman.

Meskipun ada gesaan daripada pelbagai pihak kerajaan tidak menyahut desakan agar Raja Petra diekstradisikan untuk meneruskan tindakan perundangan di Malaysia.

Raja Petra juga menjelaskan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan dengan tuduhan liwat, yang Pakatan Rakyat mendakwa beliau diperangkap, berada di situasi yang berbeza.

“Anwar menerima hakikat bahawa beliau perlu kekal memandangkan beliau bercita-cita mahu menjadi perdana menteri akan datang. Saya tiada aspirasi politik,” kata beliau sambil menambah, “kemungkinan saya orang yang lebih bebas berbanding Anwar.”

Anggota kerabat diraja Selangor ini merujuk kepada beberapa kes bagi membuktikan dakwaannya bahawa bidang kehakiman di Malaysia tidak bebas.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Mahkamah Persekutuan belum membuat keputusan berhubung rayuan terhadap pembebasannya dari ISA walaupun ia dibuat lebih setahun lalu.

Katanya, beliau juga cuba mendapatkan panel penuh sembilan hakim dan menjangkakan bahawa akan memperoleh tujuh tetapi berakhir dengan tiga sahaja.

-malaysianinsider-