"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak perempuan diberi RM3 setelah diliwat oleh warga emas ini

SUPADI memakai topeng dalam satu sidang akhbar di Mojokerto 
Mojokerto (Indonesia): Seorang datuk berusia 67 tahun ditahan di sini kelmarin selepas disyaki meliwat seorang kanak-kanak perempuan.

Supadi disyaki meliwat kanak-kanak perempuan yang juga jirannya sebanyak lima kali sejak tiga bulan lalu.

Lelaki itu ditahan kelmarin selepas seorang penduduk melihat kanak-kanak itu diliwat suspek di satu kawasan hutan di belakang rumahnya.

Jurucakap polis, Husein Abubakar berkata, ketika kejadian mangsa sedang mencari kayu api di kawasan hutan itu sebelum dihampiri suspek.

“Suspek dipercayai memujuk mangsa sebelum meliwatnya.

“Bagaimanapun, tindakan lelaki itu dilihat seorang penduduk kampung yang kemudiannya mengadu kepada keluarga mangsa,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, lelaki itu yang mempunyai seorang isteri dan lebih 10 orang cucu ditahan selepas keluarga mangsa membuat laporan polis.

“Ketika disoal siasat mangsa yang masih bersekolah rendah mengaku telah diliwat suspek sebanyak lima kali.

“Setiap kali selepas melakukan perbuatan terkutuk itu suspek memberi mangsa wang berjumlah Rp10,000 (RM3),” katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan pihak berkuasa dan berdepan hukuman penjara 15 tahun jika didapati bersalah meliwat mangsa.
-hmetro-

20 soalan yang mesti ditanya oleh penyiasat isu 1MDB - A. Kadir Jasin

 A. Kadir Jasin, bekas ketua pengarang New Straits Times berkata unsur  penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib dirungkaikan para penyiasat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Mei, 2015.
A. Kadir Jasin, bekas ketua pengarang New Straits Times berkata unsur penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib dirungkaikan para penyiasat. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Mei, 2015.
Pihak berkuasa yang menjalankan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu melihat 20 persoalan yang masih belum terjawab, daripada urusan sebenar syarikat pelaburan negara itu sehingga individu berpengaruh yang terlibat di dalamnya, kata Datuk A. Kadir Jasin.

Bekas ketua pengarang New Straits Times itu berkata, persoalan itu harus diambil perhatian agensi yang terlibat dalam kertas siasatan 1MDB iaitu pejabat Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen.

"Unsur penipuan, subahat, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kealpaan tanggungjawab korporat dan pecah amanah ialah antara isu yang wajib dirungkaikan para penyiasat supaya yang bersalah dibawa ke muka pengadilan dan duit serta aset negara yang digunakan ke atas 1MDB diperoleh semula.

"Kesan sistemik skandal 1MDB wajib disekat dan dihadkan demi melindungi ekonomi negara," katanya dalam blognya semalam.
Katanya, lebih ramai individu yang berkaitan 1MDB wajib dijejaki bagi mengetahui bagaimana krisis kewangan serta ketidaktelusan 1MDB boleh berlaku di depan mata dan hanya baru-baru ini sahaja terbongkar.

"Kalau kita tak buat sesuatu dengan segera untuk atasi masalah 1MDB, ia akan muflis dan kita serta anak cucu akan tanggung beban dan bala yang dahsyat.

"Masalahnya sekarang bukan lagi sama ada 1MDB perlu di'bailout' (diselamatkan) tapi sejauh mana kita melaksanakan proses itu dan belanja yang terpaksa kita keluarkan," katanya.

Menyenaraikan 20 soalan yang wajib ditanya dan didapatkan penjelasan oleh para penyiasat, Kadir berkata, siasatan perlu dimulakan terhadap peranan wang royalti minyak dan gas Terengganu dalam urus niaga Terengganu Investment Authority (TIA).

"Apakah peranan wang royalti minyak/gas negeri Terengganu dalam urus niaga TIA apabila ia ditubuhkan pada tahun 2008?

"Adakah benar sejumlah besar wang royalti minyak/gas Terengganu (berjumlah berbilion ringgit) dimasukkan ke dalam sebuah bank tempatan sebagai persediaan menggerakkan TIA?" katanya.

Katanya, soalan itu perlu dikemukakan kepada bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Azlan Zainol, Presiden Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, dan pengarah pengasas TIA yang juga CEO Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail.

"Adakah benar Bakke menarik diri atau digugurkan daripada Lembaga Pengarah 1MDB kerana tidak bersetuju dengan urus niaga yang membabitkan PetroSaudi?" soal Kadir seterusnya.

Wajib juga katanya, ditanyakan kepada Bakke dan ahli lembaga pengarah lain, termasuk Lodin dan Ismee, mengenai kemunculan Jho Low sebagai ejen 1MDB.

Beliau juga mahu pihak berkuasa menyiasat sama ada hartawan T Ananda Krishnan memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB bagi membayar balik hutang kepada Maybank dan RHB Capital.

Juga, mengenai namanya yang digunakan untuk menyembunyikan hakikat sebenar yang wang itu datangnya daripada Perbendaharaan atau sumber-sumber kerajaan yang lain.

Katanya, siasatan perlu dibuat membabitkan Ananda dalam penjualan penjana elektrik bebas (IPP) miliknya kepada Edra Global Energy, anak syarikat milik penuh 1MDB.

Kadir mendakwa mendapat maklumat terbaru mengatakan andaian Ananda mendahulukan RM2 bilion kepada 1MDB mungkin songsang.

"Ananda terlalu licik dan pintar untuk mengambil risiko sebesar itu. Ini ada kena mengena dengan penilaian (valuation) harta Edra yang dikatakan sangat berbeza," katanya.

Beliau turut mempersoalkan peranan bekas pengerusi dan pengarah urusan Goldman Sachs di Malaysia, Datuk Yusof Annuar Yaacob, dalam urusan pinjaman 1MDB yang mewujudkan konflik kepentingan yang serius.

"Apabila Goldman Sachs mengatur penjualan AS$4.75 bilion (kira-kira RM17.1bilion pada nilai sekarang) bon 1MDB dalam dua 'tranche' pada tahun 2012-2013, Yusof adalah pengerusi dan pengarah urusan Goldman Sachs di Malaysia.

"Mengikut agensi berita ekonomi Bloomberg, Goldman Sachs mendapat komisen AS$500 juta (kira-kira RM1.8 bilion).

"1MDB membayar yuran ASS$196.2 juta bagi bon bernilai ASS$1.75 bilion yang diterbitkan pada bulan Mei 2012 dan AS$283.2 juta bagi bon bernilai AS$3 bilion pada bulan Mac 2013," katanya.

Kadir berkata, Yusof kini ialah ketua pegawai negeri Deustche Bank bagi Malaysia dan bank itu sedang menuntut agar 1MDB membayar lebih awal hutang bernilai AS$975 juta (RM3.5 bilion) yang diaturnya tahun lalu.

Katanya, agensi siasatan juga perlu mengkaji perhubungan yang disifatkannya satu pelakuan "sumbang muhrim" antara 1MDB, Tabung Haji dan Felda, serta peranan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) dalam tiga entiti ini.

"Apakah peranan dan pendirian Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dalam hal-hal yang melibatkan hutang dan pergerakan wang 1MDB yang sudah pun menyebabkan nilai ringgit jatuh?" soalnya.

Beliau juga mahu Jho Low dan seorang lagi ahli perniagaan, Deepak Jaikishan, disiasat sama ada mereka mengenali satu sama lain memandangkan kedua-duanya rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, serta kaitan Low dengan Felda.

"Soalan-soalan di atas, dan banyak lagi soalan lain yang berkaitan dengan 1MDB dan pihak yang berkuasa ke atasnya, wajib ditanya oleh para penyiasat," kata Kadir.
-malaysianinsider-

Siapakah 'berhala berserban' yang dimaksudkan oleh Wan Ji

Ulama Dan Agamawan Kita Malas Membaca
Wan Ji Wan Husin, yang pernah mencetuskan kontroversi dengan beberapa kenyataannya sebelum ini, berkata agamawan sepatutnya mempunyai pendirian yang menyeluruh. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Mei, 2015.
Wan Ji Wan Husin, yang pernah mencetuskan kontroversi dengan beberapa kenyataannya sebelum ini, berkata agamawan sepatutnya mempunyai pendirian yang menyeluruh. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Mei, 2015.
Seorang pendakwah bebas mendakwa, sikap malas membaca tidak hanya wujud di kalangan rakyat biasa di Malaysia, tetapi juga melibatkan kebanyakan ulama atau agamawan di negara ini.

Merujuk tindakan Putrajaya mengharamkan bahan bacaan, Wan Ji Wan Husin, yang pernah mencetuskan kontroversi dengan beberapa kenyataannya sebelum ini, berkata agamawan sepatutnya mempunyai pendirian yang menyeluruh, tetapi mereka dilihat dipengaruhi sentimen yang hanya memihak kepada aliran tertentu.

"Masalah kurang membaca tidak hanya berlaku pada rakyat Malaysia. Namun agamawan kita, bila bercakap, hanya cenderung kepada sentimen atau aliran tertentu pro Syiah sahaja. Tidak ada ilmiah akademiknya.

"Bagaimana ada PhD namun penguasaan ilmunya tidak rasional?" soalnya ketika berucap pada satu forum yang bertajuk 'Buku Haram: Terorisme Kebebasan' di Petaling Jaya malam tadi.
Forum tersebut merupakan sebahagian acara Festival Hari Kebebasan Media Sedunia anjuran Gerakan Media Marah (Geramm), Malaysiakini dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Wan Ji, pengarang buku “Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi”, berkata demikian mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan empat buku penulis Faisal Tehrani kerana didakwa berunsurkan fahaman Syiah.

Beliau mendakwa, situasi sekarang, di mana badan berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) gagal memberi panduan atau membahaskan sesuatu isu secara menyeluruh, tanpa mengira fahaman ataupun mazhab, hanya mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam dan lebih memburukkan keadaan.

"Mereka (Jakim) tidak faham mengenai sesuatu isu dan menyebabkan orang makin keliru dengan Islam," katanya.

Wan Ji, yang sebelum ini pernah disiasat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata, wujud juga golongan yang menggunakan label 'agamawan' tersebut agar umat Islam terpengaruh dan taksub sehingga mengiyakan segala apa dikatakan mereka.

"Saya gelar berhala berserban, kerana ia seperti membina taksub kepada orang yang majoriti (menganggap) sebagai suci, seakan seperti berhala disembah.

"Sebagai contoh isu pegang anjing, Jakim pernah buat kenyataan ia mengikut mazhab Shafie. Namun apabila isu membayar zakat, Jakim menerima duit (sebagai ganti makanan) dan ini bukan dalam amalan Shafie sangat.

"Ia bermaksud, Jakim boleh menerima amalan lain juga," katanya.

Wan Ji pada Februari lalu ditahan kerana didakwa menyampaikan syarahan agama tanpa kebenaran di Shah Alam susulan satu surat pekeliling yang dikeluarkan Jais berkuatkuasa November tahun lepas, melarang beliau memberi kuliah atau ceramah di mana-mana masjid dan surau seluruh Selangor kerana tiada tauliah mengajar agama.

Beliau berkata pada forum malam tadi, bukan semua yang diperkatakan ulama atau agamawan itu benar dan perlu dikuti.

Umat Islam seharusnya tidak menerima bulat-bulat apa yang mereka perkatakan, katanya.

"Apakah agamawan itu dianggap sebagai Tuhan? Apa yang mereka kata mungkin betul atau salah, tapi adakah kita nak terima bulat-bulat?

"Kita perlu fikir semua perkara, biarlah guna akal menilai, baru buat keputusan," katanya.

Sementara itu, Zul Fikri Zamir, penerbit dan juga pengarang buku 'Berlari Dari Jogja', berkata polisi kementerian dalam mengharamkan sesebuah buku hanya bergantung kepada laporan yang dibuat.

Penerbit yang menggunakan label Thukul Cetak itu turut menjadi salah seorang ahli panel forum tersebut selain Wan Ji dan seorang lagi, Benz Ali, aktivis yang juga pengarang buku 'Antithesis'.

Beliau membangkitkan persoalan, mengapa buku Faisal tersebut diharamkan sekarang selepas beberapa lama ia berada di pasaran.

"Ada orang buat laporan, sebab itu baru nak diharamkan. Kita tidak faham perkara begini. Kalau sampai empat tahun (di pasaran), kemudian baru nak haramkan, kita persoalkan intelektual orang tersebut," katanya.

Justeru itu, beliau berkata, kementerian sewajarnya mempunyai pegawai yang memahami bagaimana sistem buku berfungsi dan memahami isi kandungan dan pengertian sesuatu isu yang dibahaskan.
-malaysianinsider-