"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Politik perlukan penampakan bukan acah-acah

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Politik perlukan penampakan bukan acah-acah
Walaupun saya ada ramai kawan daripada Ikram, tapi saya tidak pernah terlibat secara langsung dengan Ikram. Jadi, saya masuk AMANAH bukan kerana pengaruh Ikram.

Saya kenal Bang Mat (Presiden AMANAH, Mohamad Sabu) cukup lama, tapi tidak terlalu mesra. Hubunganku dengannya sekadar hubungan ketua dan pengikut. Dia tak pernah ajak saya masuk AMANAH. Jadi, saya masuk AMANAH bukan kerana Bang Mat.

Pengalaman berorganisasi saya bersama Pas agak banyak. Saya bermula dengan peringkat cawangan. Bahkan sampai detik terakhir saya bersama Pas, jawatan terakhir saya ialah ketua cawangan.

Saya masuk AMANAH sebab pendirian saya sendiri dalam menilai perkembangan politik negara. Saya boleh bersendirian dalam politik, tetapi itu tidak membawa saya ke mana-mana sebab saya bukan tokoh politik besar.

Justeru, untuk memenuhi ruang kemahuan diriku sendiri untuk berpolitik, setelah saya nampak AMANAH serasi dengan gaya fikir dan pendekatan saya dalam politik, saya pun aktif bersama AMANAH.

Sikapku bukan lihat peluang untuk makan dua belah. Ada orang yang acah-acah rasional, kononnya untuk dilihat profesional, padahal punya hasrat untuk meraih keuntungan daripada mana-mana pihak yang berkuasa dalam politik.

Semasa BN nyawa-nyawa ikan, dia kelihatan sangat cenderung kepada PH. Pada masa yang sama, sekali-sekala dia dilihat mesra BN sebab dia bimbang kalau-kalau BN masih berkuasa lagi selepas itu.

Apabila PH menang, pada awalnya dia kelihatan mesra PH, tetapi apabila dia nampak seolah-olah BN punya harapan untuk berkuasa kembali, dia ambil sikap tidak terlalu menentang BN.

Dekat pilihan raya, orang sebegitu pendiriannya semakin kalut. Nak terlalu mesra PH, bimbang BN menang. Nak terlalu mesra BN, bimbang PH kekal berkuasa.

Apa langkah dia? Dia ambil sikap kononnya benci politik, padahal dia ada hati untuk jawatan lantikan politik jika diberi peluang. Tapi nak serlahkan pendirian politik bersama parti tertentu, takut pula parti politik itu tak berkuasa pada masa akan datang.

Kemudian, acah-acahlah guna pendekatan akademik, analisa sana analisa sini, supaya dilihat dia tidak cenderung kepada parti politik tertentu supaya parti politik mana pun yang menang, dia harap dia ada habuan politik.

Akhirnya orang sebegitu tak kemana-mana dalam politik sebab politik memerlukan penampakan yang jelas. Jika anda suka parti PH, tunjukkan sokongan padu sama ada PH menang atau kalah.

Sikap itu memudahkan PH menentukan kedudukan seseorang dalam institusi negara atau negeri jika PH terus berkuasa, begitu juga sebaliknya jika BN kembali berkuasa.

Jika minat nak berpolitik, janganlah acah-acah warak, acah-acah profesional tidak memihak, kerana acah-acah bukan watak orang politik.

Orang yang berjaya dalam politik ialah orang yang berani menampakkan diri, menonjolkan diri, menyerlahkan diri dalam pendirian politik. Lihat sajalah Bang Mat Sabu, Tun M, Tok Pa, Najib, Kit Siang, LGE… Mereka bukan acah-acah berpolitik, jadi itulah hasilnya.

Kalau teringin nak jadi orang politik, atau nak berpolitik, atau nak habuan politik, janganlah acah-acah. Buat betul-betul.

Jadi hang berpolitik kerana kepentingan duniawilah? La… Politik memang urusan dunia pun. Hang jadi pensyarah, peniaga, guru, pegawaikah, tu kerana nak dunialah, bukan?

* Penulis ialah Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.

'PAS wajar terima kenyataan'

KATA MP | Pemimpin PAS perlu berhenti memutarbelitkan fakta dan berdepan dengan realiti kelemahan keadaan kewangan kerajaan negeri Kelantan
Pemimpin PAS tidak perlu memutarbelitkan fakta dan berselindung di sebalik pelbagai retorik demi menutup kelemahan dalam pengurusan kewangan kerajaan Kelantan.
Angka-angka dalam laporan rasmi cukup jelas memberikan gambaran keadaan sebenar.
Dari segi prestasi kewangan, kerajaan Kelantan mengalami kerugian setiap tahun dari 2012 sehingga 2016. Jumlah defisit keseluruhan dalam tempoh tersebut ialah sebanyak RM1.1 billion.


Tahun         Defisit
2012         RM243.70 juta
2013         RM252.56 juta
2014         RM189.53 juta
2015         RM209.83 juta
2016         RM180.69 juta
Jadual 1: Defisit keseluruhan kerajaan negeri Kelantan 2012-2016


Selain itu, dalam tempoh yang sama, hutang awam kerajaan negeri juga bertambah setiap tahun. Baki hutang awam kerajaan negeri Kelantan pada 2016 ialah RM1.4 billion
Tahun         Hutang awam
2012         RM1,174.90 juta
2013         RM1,233.43 juta
2014         RM1,293.56 juta
2015         RM1,354.81 juta
2016         RM1,396.36 juta
Jadual 2: Hutang awam kerajaan negeri Kelantan 2012-2016


Untuk pembiayaan hutang awam bagi tahun semasa, pada 2016, kerajaan negeri hanya mampu membayar balik RM3.94 juta ataupun 1.0 peratus daripada jumlah keseluruhan RM395.83 juta yang perlu dijelaskan pada tahun tersebut.
Ini bermaksud kerajaan Kelantan masih mempunyai tunggakan hutang awam sebanyak RM391.89 juta bagi tahun 2016.
Apakah penilaian rakyat terhadap prestasi kewangan sebegini? Adakah ia menggambaran urus tadbir baik atau sebaliknya?
Saya berharap agar pemimpin PAS tidak lagi menafikan realiti apa yang sedang berlaku, berhenti memutarbelitkan fakta dan menyalahkan pihak lain.
Sebaiknya mereka memberanikan diri berdepan dengan kenyataan dan mengakui secara jujur segala kelemahan yang ada, serta berubah kepada amalan urus tadbir cekap, bertanggungjawab dan telus demi menjaga kepentingan rakyat negeri Kelantan.

STEVEN SIM ialah anggota parlimen Bukit Mertajam, merangkap timbalan menteri belia dan sukan.

Pemilihan PKR: Rafizi dakwa sudah mendahului Azmin

Rafizi Ramli mendakwa sudah berjaya mendahului lawannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam saingan merebut jawatan timbalan presiden PKR selepas menang di Perak.

Rafizi mendakwa, dengan kemenangan di Perak dan perkembangan di Kedah, beliau kini secara keseluruhan mempunyai 995 undi di hadapan Azmin.

Berdasarkan pengiraan Rafizi itu, beliau kini mendapat 47,542 undi sementara Azmin memperoleh 46,547 undi.

Malaysiakini ketika ini tidak dapat mengesahkan dakwaan Rafizi kerana keputusan di Perak dan fasa kedua di Kedah belum diumumkan sepenuhnya.

Pengiraan Rafizi juga turut mengambil kira undi di Negeri Sembilan dan lima daripada enam cabang di Melaka.

Keputusan dari dua negeri itu belum dapat dimuktamadkan kerana 2,000 undi didapati hilang susulan masalah teknikal.

Terdapat kemungkinan pemilihan semula untuk beberapa cabang atau kesemua cabang akan diadakan bagi kedua-dua negeri itu.

Pemilihan PKR akan diteruskan esok bagi fasa ketiga yang juga terakhir di Selangor.