"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Johor: Dun akan dibubarkan jika wakil rakyat cuba jatuhkan kerajaan

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa baginda tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Baginda Sultan menzahirkan amaran tersebut sekiranya wakil rakyat terus bertelagah mengganggu gugat negeri serta kerajaan Johor.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak Covid-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah baginda di Facebooknya hari ini.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Ke Empat Dewan Negeri Johor Yang Ke Empat Belas di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada hari ini (12 Ogos).

Pada masa sama, baginda Sultan turut bertitah menasihatkan semua Ahli Dewan supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

Baginda juga menegaskan agar usul yang tidak berkenaan tidak perlu dibawa ke dalam Dewan.

“Awak semua jangan pentingkan diri sendiri. Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak Covid-19 .

“Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” titah baginda lagi.

Sultan Johor bertitah, mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

“Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.

“Ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” titah baginda.

Dimana silapnya Bersatu, menurut pemimpin Umno

Nicholas Chung

Shahrir Samad (kiri) berkata salah satu isu terbesar adalah berkenaan cara pengurusan pandemik, sementara Wan Agyl Hassan menyifatkan Bersatu melakukan ‘pengkhianatan’ terhadap Umno apabila membentuk kerjasama dengan PAS dan parti lain.

PETALING JAYA: Penarikan sokongan Umno kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) minggu lalu dilihat sebagai langkah dramatik oleh kebanyakan pemerhati namun ia bukan satu kejutan buat parti itu.

Hubungan Umno dan Bersatu diwakili Muhyiddin tidak begitu baik sejak Langkah Sheraton dilakukan yang membentuk pentadbiran kerajaan PN.

Dalam satu temubual dengan FMT, pemimpin akar umbi Umno Shahrir Samad dan Wan Agyl Hassan memberi pandangan dimana silapnya Bersatu dan apa yang menjurus parti itu untuk meninggalkan kerajaan.

Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, berkata salah satu isu terbesar adalah berkenaan cara pengurusan pandemik apabila angka kes Covid-19 telah mencecah 20,000 kes sebanyak tiga kali dengan 360 angka korban harian dilaporkan pada 8 Ogos.

Shahrir berkata pelbagai sekatan penuh dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilakukan berulang kali telah melumpuhkan ekonomi.

“Disebabkan pengurusan krisis kesihatan yang teruk dan kurangnya sikap kepimpinan, mesej yang bercampur-baur, akhirnya ekonomi terjejas teruk,” katanya.

“Rakyat hilang pekerjaan dan tidak mempunyai sumber pendapatan.

“Dengan krisis ekonomi dan kesihatan, ia adalah situasi yang teruk, ditambah pula dengan kegagalan kerajaan untuk memahaminya.”

Beliau berkata langkah pemberian bantuan oleh kerajaan memberi kesan yang minimum biarpun terdapat banyak pakej dan “angka besar” diumumkan oleh pentadbiran Muhyiddin.

“Rakyat perlukan bantuan fiskal, bantuan wang tunai yang sebenar. Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan tidak boleh keluar bekerja, anda tidak boleh terus memberi sumbangan makanan setiap masa. Kadangkala mereka perlukan wang tunai untuk membayar sewa dan pelbagai keperluan lain.

“Jika anda tidak boleh mencari jalan untuk membolehkan mereka keluar bekerja, anda perlu memberi bantuan wang tunai tetapi ia agak sedikit. Banyak pakej bantuan telah diumumkan tetapi bukan semuanya bersifat bantuan secara langsung.”

Bantuan yang tidak mencukupi daripada kerajaan mencetuskan gerakan Bendera Putih untuk membantu golongan memerlukan dengan usaha pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta rakyat yang bermurah hati.

Shahrir berkata ramai juga pelabur telah beralih mencari pasaran ke negara jiran selain negara ini.

Wan Agyl yang juga Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, berkata akar umbi parti itu begitu marah dengan tindakan Bersatu yang “mencuri” Ahli Parlimen daripada Umno untuk menambah angka sokongannya.

Daripada 31 orang Ahli Parlimen Bersatu di Dewan Rakyat, hanya enam yang memenangi kerusi atas tiket Bersatu pada 2018.

Kebanyakan mereka yang lain pula memenangi pilihan raya sama ada sebagai ahli Umno atau Pakatan Harapan dan masih berada dalam gabungan itu sebelum Langkah Sheraton dilakukan.

Wan Agyl turut menyifatkan Bersatu melakukan “pengkhianatan” terhadap Umno apabila membentuk kerjasama dengan PAS dan parti lain yang didakwanya, dilakukan tanpa pengetahuan parti itu.

“Malah, ketika Umno menyokong pembentukan kerajaan di bawah gabungan secara tidak rasmi, Bersatu masih tidak puas dan membentuk kerjasama rasmi PN dengan PAS. Tidak ada keikhlasan daripada Bersatu terhadap Umno.”

Ia akhirnya mengundang perpecahan Muafakat Nasional, iaitu pakatan Umno dan PAS, kini parti Islam itu berdiri teguh di belakang Muhyiddin.

Shahrir turut mengkritik keengganan kerajaan membenarkan Parlimen bersidang ketika darurat berkuatkuasa.

Menyifatkannya sebagai “pelik dan berbahaya”, beliau berkata keabsahan Jemaah Menteri adalah bermula dari Parlimen.

Malah, selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang ketika darurat, Muhyiddin enggan berganjak dan hanya berbuat demikian selepas kenyataan Istana Negara itu diulangi semula.

Kemudiannya ia disusuli dengan krisis perlembagaan dan politik yang membawa kepada pembatalan Ordinan Darurat yang mencetus laungan “derhaka” daripada pembangkang.

Shahrir mempersoalkan mengapa Putrajaya mencetuskan kekecohan besar apabila gagal mendapat perkenan Baginda sebelum mengumumkan pembatalan itu.

“Mengapa salah urus? Kenapa tidak boleh melakukannya dengan elok? Ia begitu mudah. Siapa yang akan membantah pembatalan itu? Tidak ada siapa.

“Kemudian Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan menyebut keputusan dibuat pada 21 Julai. Jadi ia dibatalkan pada 21 Julai? Atau adakah ia akan dibatalkan pada Isnin nanti? Malah Yang di-Pertuan Agong juga bertitah Takiyuddin mengelirukan Parlimen.”

Susulan pergolakan itu, sekurang-kurangnya 15 Ahli Parlimen daripada Umno termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

Ketika menggesa semua Ahli Parlimen daripada Umno mengikut ketetapan parti, Zahid menuduh Muhyiddin menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan.

Shahrir berkata Muhyiddin mempunyai kepimpinan yang kuat dalam tempoh 18 bulan lalu tetapi kekuatan itu tidak bermaksud 200 Ahli Parlimen perlu menyokong setiap langkahnya.

“Ia bermaksud mempunyai kekuatan dalam membuat keputusan, berkomunikasi dengan baik dan malah bercakap dengan pihak pembangkang. Krisis bukan masa untuk berbalah. Tetapi jika anda mempunyai kepimpinan yang lemah, ini yang kita dapat.”

Wan Agyl mendakwa kelangsungan negara akan terancam jika PN terus memerintah.

“Kami percaya pandemik ini boleh diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

“Pada masa sama, kita perlu mengembalikan kestabilan politik. Ini adalah masa untuk tunaikannya.”

Perdana Menteri yang tidak sah meletakan negara pada risiko yang tinggi

HANIPA MAIDIN

Telah menjadi rahsia terbuka (an open secret), YAB Perdana Menteri yang menerajui negara sekarang ini bukan sahaja menerajuinya tanpa mandat rakyat, akan tetapi juga telah kehilangan suara majoriti di dalam Dewan Rakyat.

Walaupun, pada zahirnya, beliau dilihat sedang “bertaici” bagi cuba mengelirukan ramai pihak yang kononnya beliau masih seorang Perdana Menteri yang sah, faktanya adalah jelas dan terang bahawa beliau memang tidak lagi mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menjadi seorang Perdana Menteri.

Dari sudut Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi di negara ini, apa yang beliau lakukan sekarang ini, secara jelas telah melanggar sumpah kesetiaan yang beliau ikrarkan bagi menjunjung dan mempertahankan ketinggiannya.

Beliau, hakikatnya, pada masa ini sedang menjawat jawatan Perdana Menteri secara tidak sah dan dengan dengan tidak menghormati sama sekali undang-undang dan ketinggian Perlembagaan Persekutuan. Malang sungguh bagi Malaysia kerana terpaksa melakar sejarah buruk dan memalukan ini.

Dengan erti kata lain, beliau seolah-olah membiarkan dirinya melakukan perkara yang tidak sah. Jujurnya, saya agak keliru mengapakah beliau boleh begitu berani melakukan perbuatan ini sehingga ke tahap ini?

Jelas, ini suatu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan boleh ditafsirkan sebagai kes penyalahgunaan kuasa yang terbuka (a glaring abuse of power).

Tidak perlu diperkatakan lagi, bahawa kewujudan undang-undang dan Perlembagaan, antara lain, adalah bagi memastikan setiap tindakan mana-mana pihak khususnya sebuah Kerajaan itu sentiasa sah dan di dalam ruang lingkup undang-undang dan Perlembagaan.

Dalam sistem demokrasi yang berasaskan Perlembagaan, sering dikatakan bahawa kewujudan Perlembagaan itu

melambangkan bahawa kuasa Kerajaaan itu terhad dan tidak mutlak. 

Nampaknya, sekarang ini ianya agak berbeza. Kewujudan Perlembagaan adalah amat penting sebagai alat pengekang kuasa kerana jika mana mana tindakan Kerajaan itu adalah tidak sah, hakikatnya, ia meletakkan sesebuah negara itu berada dalam bahaya dan risiko amat tinggi.

Sebuah Kerajaan itu hakikatnya diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang kemudiannya dibantu oleh para anggota pentadbirannya.

Keseluruhan mereka itu juga digelar sebuah Kerajaan. Jika seorang Perdana Menteri itu sendiri adalah berstatus tidak sah maka para anggota pentadbirannya juga adalah dikira tidak sah.

Oleh yang demikian, dalam bahasa mudah, status Kerajaan itu juga dikira tidak sah. Ini adalah perkara yang asas.

Mengapakah status keabsahan seorang Perdana Menteri itu amat mustahak?

Jawapannya, seorang Perdana Menteri itu amat perlu melakukan pelbagai tugas rasmi yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan Perlembagaan.

Justeru itu, secara tersirat, kedudukan dan status beliau itu sewajarnya tidak perlu diragui dari segi keabsahan (legitimacy).

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, terlalu banyak peruntukkan di dalamnya yang menuntut penglibatan rasmi seorang Perdana Menteri sama ada secara langsung atau tidak secara langsung.

Oleh itu, jika status atau posisi kedudukan rasmi Perdana Menteri itu sendiri adalah tidak sah, sudah tentu ianya tidak wajar untuk beliau turut mengheret atau mendedahkan negara ini kepada risiko perundangan yang amat tinggi.

Dalam bahasa perundangan tindakan yang beliau lakukan sekarang ini boleh dikatakan tergolong sebagai “misfeasance in public office”

Pada tahun 2017, Mahkamah Persekutuan di dalam negara ini pernah memutuskan isu “misfeasance in public office” di mana, antara lain, mahkamah tertinggi negara ini telah memutuskan bahawa perdana menteri dan para menterinya boleh disaman atas kausa tindakan “misfeasance in public office”.

Jawatan Perdana Menteri bukanlah jawatan yang bersifat peribadi. Ia adalah jawatan awam yang melibatkan, antara lain, pembiyaaan dari sumber dana awam.

Bayangkan, misalnya, jika pelantikan seseorang ke jawatan penting yang melibatkan penglibatan Perdana Menteri yang tidak sah, Tidakkah ianya memberi risiko?

Atau misalnya penglibatan seorang Perdana Menteri yang meluluskan sesuatu transaksi yang melibatkan wang negara atau hubungan diplomatik dengan negara-negara luar? Tidakkah ianya berisiko?

Meskipun Perdana Menteri dan para anggota pentadbirannya kelihatannya tidak ada sedikit pun rasa malu dan bersalah, kita masih mengharapkan beliau masih boleh berfikir dengan waras dan lurus, agar beliau tidak tergolong dalam posisi kedudukan pihak yang salah di dalam sejarah (the wrong side of history).