"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN 'mandulkan' institusi masjid

Muhammad Arif Ismail

SHAH ALAM, 12 Julai (Hrkh) - Ahli Dewan Negeri (Adun) Gombak Setia yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali berkata, institusi Masjid di negeri Selangor dimandulkan oleh pemerintahan Barisan Nasional (BN) kerana rumah tuhan itu merupakan tempat yang terbaik untuk melahirkan Khaira Ummah.

Katanya, bagi melahirkan Khaira Ummah satu jawatankuasa masjid perlu dirombak kembali kerana ahli jawatankuasa perlu terdiri daripada golongan yang mempunyai tauliah.

Sebelum ini menurut beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, kerajaan BN melantik ahli jawatankuasa masjid dengan menggunakan sistem 'tunjuk'.

Tambah beliau, sistem 'tunjuk' inilah akan membuka peluang kepada Ketua Bahagian Umno untuk menutup sinar agama Islam yang sebenarnya.

Bagaimanapun, katanya, setelah kerajaan baru Pakatan Rakyat memerintah negeri ini telah membuat perubahan untuk melantik ahli jawatankuasa baru untuk mengimarahkan masjid agar di penuhi cahaya siang dan malam.

"Proses pemilihan adalah seperti mesyuarat agung khas pencalonan ini hendaklah dipengerusikan oleh nazir masjid berkenaan dan pegawai agama Islam daerah atau perwakilan boleh mempengerusikan mesyuarat tersebut bedasarkan pekeliling yang diedarkan.

"Manakala kaedah pencalonan pegawai masjid atau jawatankuasa kariah masjid hendaklah dibuat sebulat suara atau lebih suara anak kariah yang hadir dan bilangan pencalonan adalah tiga orang calon nazir, tiga orang calon imam, dua orang calon bilal dan dua orang calon siak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan dari Ahli Dewan Negeri Selangor (Adun) Meru, Dr. Abdul Rani Osman yang ingin mengetahui preses pemilihan ahli jawatankuasa masjid dalam sidang Dun Selangor baru-baru ini.

Adun Meru itu juga bertanya mengenai kriteria untuk jawatan nazir.

Menurut Dr Hasan, keutamaan akademik minima ialah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Pelajaran Agama (SPA) dan diberikan keutamaan kepada calon yang mempunyai diploma bahkan ada nazir yang berkelayakan PHD.

"Calon tersebut tidak melebihi 60 tahun, tinggal tetap dalam kariah masjid atau surau, boleh membaca, menulis dan mengira, mempunyai pengetahuan Islam, mempunyai akhlak yang mulia dan amanah dan calon nazir hendaklah mampu mengetuai halaqah-halaqah ringan yang melibatkan institusi masjid.

"Selalu membuat amal kebajikan, sihat tubuh badan dan mental serta mempunyai daya kepimpinan," katanya.

Tiada ulasan: