Othman Jailani | |
Putrajaya,(Hrkh)Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Rumah yang indah, cantik, lapang dan selesa itu adalah impian setiap orang. Namun, siapakah yang mampu memberikan teduhan yang menyamankan? Pertelagahan antara penduduk dengan pihak pemaju kerap terjadi apabila pihak pemaju mengambil sikap lepas tangan. Dan, semua ini tentunya akan menimbulkan konflik yang berpanjangan. "Kami tidak mahu rumah pangsa ini, kami mahu rumah ganti!" laung sekitar 150 orang penduduk di Flat Taman Permata, Dengkil baru-baru ini setelah beberapa keputusan telah dicapai. Para penduduk di flat Taman Permata, Dengkil ini asalnya adalah bekas pekerja ladang Galloway, Medingley, Sedgeley dan Prang Besar. Mereka dipindahkan ke flat ini apabila diusir dari ladang mereka dengan tujuan supaya tanah ladang itu boleh digunakan sebagai pembangunan Putrajaya. Keputusan ini telah diambil dengan sebulat suara melalui undian oleh 150 penduduk Flat Taman Permata, Dengkil yang telah menghadiri mesyuarat yang telah diadakan baru-baru ini. Flat Taman Permata dibangunkan oleh Putrajaya Holding bersama PNSB dan Kerajaan Selangor di bawah BN untuk memindahkan penduduk-penduduk empat ladang tanpa mengambil kira kebajikan penduduk-penduduk. Motif utama mereka ialah - mengambil tanah dan terus membangunkan Putrajaya. Sejak 1998, ketika flat ini mula dibangunkan, persekitaran flat ini amat teruk dan semua kemelut ini telah menyumbang kepada masalah kesihatan dan penyakit sosial dalam kalangan penduduk. Kini masalah di flat Taman Permata, Dengkil ini telah mencapai peringkat yang sangat kritikal. Antara masalah flat Antara masalah yang dihadapi penduduk di sana ialah wujudnya keretakan dinding bangunan, sistem pembentungan tandas yang bermasalah dan tanah melongsor di dasar blok di mana di kesemua 5 blok dasar tanahnya telah pun turun, meninggalkan ruang kosong sebesar 3-4 kaki antara blok dan tanah. Terdapat juga lubang-lubang besar pada dasar flat dan juga paip air yang telah bocor. Ini menyebabkan persekitaran flat ini mengalami pencemaran persekitaran sekali gus mewujudkan keadaan yang tidak selamat untuk didiami. "Satu mesyuarat besar telah diadakan oleh jawatankuasa tergempar Taman Permata bersama Jerit dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mendapatkan maklumbalas penduduk Taman Permata, Dengkil bagi menangani masalah yang mereka hadapi sekarang. "Dalam mesyuarat yang dihadiri 150 penghuni Flat Permata Dengkil itu, suatu Jawatankuasa Bertindak Taman Permata telah ditubuhkan," kata Jurucakap Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Nalini. E. Jawatankuasa ini telah dipilih melalui pilihan raya yang dijalankan secara terbuka dan diperhatikan pelbagai pihak. Seramai 20 orang ahli jawatankuasa penduduk telah dipilih dengan empat perwakilan bagi setiap blok. Hanya tiga pilihan Tambah Nalini, selepas pembentukan jawatankuasa tersebut, suatu undian dilakukan untuk melengkapkan Tuntutan Penduduk Taman Permata. Para penduduk di situ diberikan tiga pilihan iaitu:- Pertama, para pekerja itu terus tinggal di sana dan kemudahan prasarana yang ada haruslah diperbaiki. Kedua, kawasan perumahan itu kini perlu diberi secara percuma dan segala kemudahan di kawasan itu haruslah diperbaiki. Ketiga, para peladang boleh memilih untuk tidak tinggal di rumah yang sedia ada dan mereka mahukan rumah ganti. "Pengundian telah dilakukan dan keputusannya, 95 peratus penduduk telah memilih untuk berpindah keluar dan mahu rumah ganti. Apabila keputusan ini diumumkan, penduduk yang hadir mesyuarat itu sungguh gembira dan berjanji untuk terus berjuang bagi mencapai tuntutan ini," kata Nalini. Nalini menambah, mesyuarat itu ditamatkan dengan satu semangat baru, iaitu mereka akan terus berjuang untuk mendapatkan hak bagi para penduduk Taman Permata itu. 10 tahun dahulu, menurut Nalini, penduduk di empat ladang ini telah ditipu pelbagai pihak, sehingga mereka hidup merana dalam flat yang tidak selamat dan hidup dalam serba kekurangan. Hari ini mereka telah pun sedar bahawa, jika mereka tidak berjuang, maka mereka akan terus menerus diperdayakan. Penduduk Taman Permata Dengkil berjuang dengan suatu keinginan untuk meneroka masa depan mereka yang cerah ke arah menuntut supaya diwujudkan kemudahan untuk generasi mereka yang akan datang. Jerit akan selalu bersama mereka dalam perjuangan ini demi mencapai keadilan untuk masyarakat ladang setelah tiga generasi mereka bertungkus lumus membanting tulang di ladang demi pembangunan negara. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Bekas buruh ladang Putrajaya tuntut ganti rugi rumah flat
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan