Kongres Parti Sosialis Malaysia (PSM) ke-12 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini membuat ketetapan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan Pakatan Rakyat demi kepentingan rakyat.
Kata Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim kerjasama antara parti itu dan gagasan Pakatan Rakyat terjalin melalui pelbagai program berorientasikan rakyat seperti wacana kesedaran dan gerakan rakyat.
Dr Nasir berkata demikian kepada TV Selangor pada hari terakhir kongres bertemakan "Sosialis Menjana Kuasa Rakyat" dan dihadiri kira-kira 300 perwakilan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur.
Selain menyentuh krisis sistem kapitalisme, bencana eko-sistem, krisis ekonomi, polisi Model Ekonomi Baru (NEM), Pilihan raya kecil, Revolusi Venezuela, topik perbincangan turut menyentuh soal kerjasama dengan Pakatan Rakyat.
"Walaupun kami bukan sebahagian dalam Pakatan Rakyat, namun kami bergerak sebagai kawan, bekerjasama melakukan program bersama. Kita sentiasa bersama," katanya.
"Kita mengadakan forum, jemput kawan-kawan dari luar untuk menceritakan tentang pembangunan di Malaysia, masalah dan penyelesaian. Kita sebut hubungan kita dengan Pakatan Rakyat," katanya.
PSM ditubuhkan pada tahun 1998 dan didaftarkan pada tahun 2008.
Parti itu kini mempunyai dua wakil rakyat yang menang pada Pilihanraya Umum 2008 di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat, PKR iaitu Ahli Parlimen Sungai Siput, Michael Jeyakumar dan Dr. Nasir sendiri sebagai ADUN KOta Damansara.
Bagi Jeyakumar, kongres ini memuatkan perbincangan demi memperkasa keutuhan Pakatan Rakyat dalam mengharungi pilihan raya akan datang.
"Kita bincang apakah cara yang boleh memperkasakan prestasi Pakatan Rakyat dan pembangkang pada pilihan raya akan datang. Kita buat penilaian berhubung program bersama rakyat.
"Macam mana kita boleh menjadikan program itu lebih berkesan pada masa akan datang," katanya.
Setiausaha Agung PSM, S.Arutchelvan berkata, ia adalah kongres pertama yang diadakan di Kuala Lumpur, merangkumi delegasi dari sembilan negeri, delegasi barisan hadapan dan kumpulan masyarakat PSM.
"Kita membentang tiga kertas kerja dan 26 usul. Banyak usul berkisar kepada masalah dalaman parti dan isu lain," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan