"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Malam Tahan Tanpa Bicara sarat mesej benci ISA

Hazayani Zakaria

PETALING JAYA, 25 Julai:
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mencipta sedikit kelainan dalam menyampaikan mesej bantahan terhadap akta itu dengan menyalurkannya melalui seni dan hiburan.

Meneruskan kempen 50 Tahun ISA: Mansuh Sahaja! Bukan Pinda!, GMI dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr. Nasir Hashim, menganjurkan Malam Seni Tahanan Tanpa Bicara malam tadi yang diisi dengan pelbagai persembahan menarik termasuk deklamasi puisi daripada beliau sendiri.

Majlis sederhana di dewan orang ramai, Jalan Nuri, Seksyen 7, Kota Damansara itu sarat dengan mesej dan kritikan terhadap kerajaan yang masih berdegil mahu mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyaksikan penderitaan tahanan dan keluarga mereka.

Selepas ucapan Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan Dr. Nasir, persembahan dimulakan dengan deklamasi sajak oleh bekas tahanan ISA, Rishamuddin Rais yang juga seniman yang lantang mengkritik kerajaan Umno/Barisan Nasional.

Dengan gaya bersahaja, beliau menyampaikan sajak bertajuk "Janji Lelaki Itu" yang mengisahkan kehidupan seorang tahanan ISA di Kem Kamunting dan bagaimana penderitaan yang terpaksa ditanggung keluarganya.

Turut mengambil tempat, penyanyi lagu-lagu reformasi, Meor dan Nik yang menyampaikan lima buah lagu yang sarat dengan mesej kritikan terhadap Umno/BN.

Kartunis Zunar juga tidak melepaskan peluang mempamerkan kartun-kartun terbaru ciptaannya yang dinamakan Karram iaitu kartun-katun yang haram, berkisar mengenai skandal dan salah guna kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas-bekas Perdana Menteri terdahulu.

Beberapa kartun yang dimuatkan dalam komik terbitannya telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas alasan mengancam keselamatan negara.

Kartun yang berbentuk sindiran tajam terhadap kepimpinan Umno BN itu berjaya menggamatkan suasana dengan gelak ketawa kira-kira seratus yang hadir.

Turut mencuri perhatian hadirin, persembahan teater daripada rumah anak-anak teater yang bertajuk "Red Eyes".

Ia mengandungi mesej kebosanan dan tekanan yang dihadapi rakyat dengan pemerintahan Najib yang penuh retorik dan tidak pernah mengambil kira kesusahan yang ditanggung rakyat akibat penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaannya.

Sementara itu, Syed Ibrahim yang ditemui selepas majlis berakhir berkata, program berkenaan merupakan salah satu cara yang digunakan GMI untuk mendesak akta zalim itu dimansuhkan memandangkan program sebelum ini banyak berbantuk ceramah dan penerangan tanpa hiburan.

Beliau juga memberitahu, pihaknya telah menghantar surat kepada parti-parti politik khususnya Pakatan Rakyat agar program GMI diperbanyakkan di setiap negeri.

"Desakan mansuhkan ISA ini bukan hanya tugas GMI tetapi perlu melibatkan semua pihak khususnya Pakatan Rakyat. Kita mahu Pakatan Rakyat lebih ke hadapan dalam membawa isu ini," katanya.

Bersempena Ramadhan yangakan tiba pada Ogos yang merupakan bulan ISA, beliau juga berharap agar program tidak dihentikan sebaliknya penerangan mengenai kezaliman ISA perlu diselitkan dalam tazkirah-tazkirah di surau dan masjid.

Tiada ulasan: