"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

DPP Farah didakwa ‘bercinta’ Saiful digugur dari pasukan pendakwa

KUALA LUMPUR, 27 Julai:Jabatan Peguam Negara telah memutuskan untuk menggugurkan timbalan pendakwa raya Farah Azlina Latif sebagai anggota pasukan pendakwa dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran dakwaan hubungan romantik dengan saksi utama dan pengadu.

Tan Sri Abdul Gani Patail mengumumkan tindakan itu ekoran dakwaan bahawa Farah Azlina menjalin hubungan romantik dengan saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan yang juga pengadu dalam kes itu.

Beliau berkata langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai “hubungan romantis” dengan saksi utama kes tersebut.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani (gambar) berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

“Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

“Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius,” katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

“Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

Semalam peguam Anwar mendesak Peguam Negara memberi respons kepada dakwaan Raja Petra Kamarudin dalam blognya minggu lalu.

Raja Petra mendakwa seorang timbalan pendakwa raya wanita, yang merupakan anggota junior dalam pasukan pendakwa, sedang menjalin “hubungan romantik” dengan Saiful yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar Jun 2008.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider minggu lalu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden menekankan bahawa sebarang keputusan sama ada anggota itu akan kekal dalam pasukannya boleh diketahui apabila kes disambung awal bulan depan.

“Saya tidak boleh mengatakan kepada anda buat masa sekarang. Saya tidak mendengar tentang dakwaan atau tuduhan ini.

“Bagaimanapun saya akan berbincang dengan pasukan saya dan kita akan melihat pada 2 Ogos ini sama ada dia akan bersama pasukan kami atau tidak,” kata Mohd Yusof.

Pasukan pendakwa terdiri daripada lapan anggota iaitu Mohd Yusof, Datuk Nordin Hassan, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azmad dan Farah Azlina sendiri.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: