"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Harussani dedah ada bertemu pemimpin PAS selain Hasan Ali

Harussani: Kami hanya membincangkan soal bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian menyatukan perpaduan di kalangan orang Melayu, itu sahaja. - Gambar oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR, 28 Julai: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mendedahkan adanya pemimpin-pemimpin PAS selain Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang menemuinya bagi membincangkan perpaduan Melayu.

Harussani bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemimpin tersebut bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

“Saya sebut Hasan sebab beliau mengakui sendiri jumpa saya, sebab itu saya boleh cakap,” katanya.

“Kebetulan beliau ahli PAS, ada juga ahli Umno datang jumpa saya berbincang soal ini. Mereka tanya jalan penyelesaian perpecahan orang Melayu.

“Yang lain saya tidak mahu cakap, nanti mereka bergaduh sesama sendiri pula.

“Sebelum ini pun saya cuma kata ada orang PAS jumpa saya, ada orang Umno dan ada juga NGO jumpa saya, itu sahaja. Jadi kalau anda hendak korek usahlah nak korek,” katanya ketika ditemui dalam sesi temu bual khas bersama The Malaysian Insider semalam.

Beliau berkata ada banyak pihak datang menemuinya bagi membincangkan akan perkara itu.

“Saya tidak tahu kenapa mereka datang cari saya, mungkin sebab saya paling lantang bercakap?” kata Harussani.

Sebelum ini Harussani berkata beliau hanya mengadakan pertemuan dengan seorang pemimpin dari PAS iaitu Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Hasan membuat kenyataan pengakuan terbuka Sabtu lalu.

Bahkan Harussani menjelaskan, kedua-dua mereka tidak membincangkan kerjasama politik Umno dan PAS tetapi mengenai perpaduan Melayu.

“Kami hanya membincangkan soal bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian menyatukan perpaduan di kalangan orang Melayu, itu sahaja.

“Langsung tidak menyentuh soal kerjasama politik Umno dan PAS,” kata beliau.

Harussani berkata beliau hanya mahu menyatukan orang Melayu berlandaskan agama Islam.

“Ini bukan masalah Umno atau PAS tapi perpecahan orang Islam, jadi sebagai mufti saya rasa bertanggungjawab untuk untuk mengajak orang Melayu bersatu di bawah nama Islam memandangkan kita perlu mematuhi perintah Tuhan.

“Saya berpendapat perpecahan orang Melayu adalah akibat daripada perpecahan dalam parti iaitu Umno dan PAS.

“Perbezaan pendapat itu biasa berlaku, mengapa kita hendak menghancurkan bangsa sendiri hanya kerana ideologi yang berbeza? Sedangkan saya melihat matlamatnya sama iaitu mempertahankan orang Melayu dan juga Islam,” katanya.

Harussani: Sedangkan saya melihat matlamatnya sama iaitu mempertahankan orang Melayu dan juga Islam. - Gambar oleh Choo Choy May
Harussani menyarankan agar kedua-dua parti Melayu terbesar itu supaya menyelesaikan “pergaduhan” antara mereka demi masa depan orang Melayu dan Islam.

“Saya tidak suruh bubar parti, saya tidak melibatkan parti pun tapi dua parti ini yang bergaduh semasa sendiri.

“Saya minta supaya Umno dan PAS selesaikan pergaduhan itu.

“Selain itu, saya juga hairan bila saya seru kembali kepada al-Quran untuk bersatu nampaknya pemimpin Islam itu sendiri yang mengamuk. Sedangkan orang bukan Melayu tidak kisah pun.

“Tapi orang Melayu itu yang tidak mahu, macam kata pepatah ‘berpatah arang berkerat rotan’, itukah yang diajar dalam Islam?” katanya.

Tambahnya, jika orang Melayu terus bertelagah, ia hanya akan melemahkan bangsa Melayu itu sendiri.

Tambahnya, tidak mustahil orang Melayu akan kehilangan segalanya termasuk negara sekiranya soal perpecahan ini tidak diatasi segera.

“Saya percaya dalam pilihan raya umum akan datang tidak mustahil orang Melayu akan jadi minoriti.

“Sekarang ini kita hanya ada 55 peratus, itu termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kalau tiada Sabah dan Sarawak kita sudah jadi minoriti. Sudahlah jadi minoriti, kita berpecah pula dan tidak mustahil orang Melayu akan hancur,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan sekarang memaksa supaya orang Melayu bersatu demi negara dan juga bangsa.

“Kalau pilihan raya umum lalu sudah menjadi kacau, pilihan raya akan datang saya melihat lagi kacau.

Harussani: Saya percaya dalam pilihan raya umum akan datang tidak mustahil orang Melayu akan jadi minoriti. - Gambar oleh Choo Choy May
“Walaupun orang Melayu masih ramai dalam Parlimen tapi adakah masih majoriti?

“Tidak ada majoriti, hari ini Barisan Nasional (BN) pun tidak cukup dua pertiga. Kalau BN yang campur tiga bangsa pun tidak boleh, orang Melayu macam mana?” tegasnya.

Apabila ditanya sama ada usaha kerjasama Umno dan PAS akan berjaya, Harussani berkata itu terpulang kepada kedua-dua parti itu.

“Saya tidak tahu jika perpaduan Umno dan PAS boleh berjaya tapi saya yakin jika mereka Islam dan ikut perintah Tuhan mereka akan bersatu.

“Saya tidak mahu komen pasal parti nanti dimarah lagi,” katanya.

Sebelum ini Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.

Setakat ini kenyataan Harussani telah ditolak pemimpin tertinggi PAS dengan menyifatkannya sebagai “satu fitnah dan pembohongan.”

Dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: