Mohd Sayuti Omar
KATA adik Najib Razak, Nazir Razak, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dibangga-banggakan oleh Umno dan sering dirujuk sebagai ikon kehebatan dan kejayaan kerajaan BN, hanya mengkayakan segelintir golongan tertentu saja. Dasar itu juga sudah dikenyataan-haramkan. Kata-kata Nazir itu sama dengan apa yang diucapkan oleh Anwar Ibrahim selama ini.
Sudah lama Ketua Pembangkang mengenal pasti bahawa DEB tidak relevan lagi sebagai plan pembangunan sosio bangsa dan negara kerana ia memberi kekayaan kepada segelintir manusia saja. Justeru menurut persepsi Anwar setelah berada di luar kerajaan dasar (pelaksanaan) itu juga dasar yang tidak adil dan berunsur perkauman.
Anwar memperakui matlamat DEB baik, tetapi pelaksanaannya tidak memuaskan disebabkan budaya korupsi dalam perlaksanaannya. Tidak ada guna satu sen pun sesuatu dasar yang baik pada nama dan menguntungkan segelintir orang tetapi bukan rakyat umumnya. Kata Anwar juga berlaku banyak ketirisan dalam DEB.
Kata Anwar disebabkan itu wajar DEB dibaiki atau dihapuskan terus. Kerana itu Anwar mencadangkan kalau Pakatan Rakyat memerintah satu plan ekonomi dan sosial baru akan diperkenalkan bagi menggantikan DEB yang lebih adil dan telus yang berintipati kepada semangat Malaysia Baru.
Bagaimana pun cadangan Anwar itu mudah dipandang hina dan telah dipolitikkan oleh para badut politik. Ia dikelirukan dalam usaha untuk menghantukan wajah Anwar sebagai pengkhianat negara. Anwar dikritik sebagai tidak bersemangat Melayu dan liberal melampau kepada bukan Melayu. Itu saja dan ia satu alasan mudah oleh musuhnya. Tetapi hari ini bila Nazir 'mengkritik' DEB hampir senada dengan Anwar apakah ia menunjukkan adik PM itu juga benci kepada DEB?
Nazir meluahkan pandangan itu dihadapan orang Cina sewaktu berceramah di Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA di Kuala Lumpur hari ini. Sekali dengar kenyataan Nazir itu kontras dengan pegangan parti abangnya, Najib Razak. Tetapi harus difahami di mana dan dalam keadaan apa Nazir mengucapkan demikian. Jangan mudah percaya dan terpedaya dengan ungkapan Nazir itu.
Elok kalau semua orang meneliti sebaik mungkin dan mengkaji apakah motif kenyataan Nazir itu. Apakah ianya ikhlas atau pun sebagai gula-gula untuk dilihat dan dijilat oleh orang Cina saja? Bagi saya Nazir tidak akan bercakap sesuatu yang bercanggah dengan pegangan parti abangnya. Justeru pada saya kenyataan Nazir itu penuh dengan 'siku lipat' politik dan mempunyai makna yang berlapis-lapis dan bertingkat-tingkat. Saya yakin kalau di hadapan orang Melayu Nazir tidak akan berkata demikian. Nadanya akan berubah, dia tidak akan batuk mungkin hanya berdaham macam arwah bapanya saja.
Saya cabar Nazir untuk mengulangi pandangan itu dalam forum anjuran Melayu ataupun dihadiri oleh orang Melayu. Dalam masa sama saya ingin melihat apa komen sebuah pertubuhan yang bersemangat Melayu yang cuba menunjukkan diri sebagai juara bual ketika ini dalam menerima pandangan Nazir itu. Apakah ketuanya akan bersikap mengherdik Nazir seperti mana dia mengherdik Anwar? Kalau dia diam membisu maka sah dia sudah tertelan air liur Nazir.
Nazir adalah penasihat ekonomi peribadi kepada Najib dan juga pemilik kumpulan bank CIMB. Nazir adalah pegawai eksekutifnya. Peranan dan kedudukan Nazir dalam mewarnai dan menghala tujukan ekonomi Malaysia hari ini sangat penting. Kalau di zaman Mahathir Mohamad beliau memiliki orang bernama Daim Zainuddin, di zaman Abdullah Ahmad Badawi memiliki orang bernama Kamarudin Abdullah, atau Khairy Jamlauddin, di zaman Najib, Nazir adalah watak-watak baru Daim Zainuddin, Kamarudin atau pun Khairy.
Tegasnya bagi hemat saya Nazir berkata demikian tidak lebih daripada untuk mengambil hati orang Cina bahawa perlaksanaan DEB seperti mana dipersoalkan Anwar perlu dipinda segera bagi mengelakkan abangnya berhadapan dengan masalah. Itu saja. Pada saya kenyataan dan bidasan Nazir kepada DEB itu satu lagi babak sandiwara ciptaan Melayu. Nazir tidak akan menolak DEB walaupun ia cacat kerana kecacatan (penyelewengan dalam perlaksanaannya) DEB itulah yang meletakkan dia dipunca kolongmaret bank hari ini. Eh eh eh.....eh Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan