"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peristiwa-peristiwa Yang Menunjukkan UMNO Tendang Saka

BayangDiAir

"Memang dasar UMNO matlamat menghalalkan cara asuhan Macheaveli. Kebusukan hati perut UMNO dan kebusungannya telah meradak sampai ke usus. Pemimpinnya sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira dosa dan pahala asalkan matlamatnya memberikan keuntungan berganda. Inilah gambaran yang berlaku dalam dua isu mutakhir daripada skrip yang hampir sama.

Di Johor, isu kain rentang yang memaparkan gambar Pengerusi PKR Negeri Johor, Chua Jui Meng yang didakwa akan menjadi MB Johor apabila Pakatan Rakyat memerintah Johor nanti. Di sebelahnya dipaparkan gambar Sultan Johor. Kain rentang ini seolah-olah direncanakan oleh PKR. Daripada paparannya bagai ada sesuatu yang tersirat. Mudaratnya jauh lebih besar daripada manfaat. Mustahil PKR begitu bodoh untuk memilih mudarat itu. Sesiapa yang berpelajaran tidak akan bertindak sedemikian rupa. Tetapi kain rentang provokasi itu itu sudah tergantung dan dapat dibaca oleh rakyat jelata.

Orang Melayu marah dan Sultan murka. Orang Melayu marah kerana bercanggah dengan perlembagaan negeri Johor yang menetapkan bahawa MB mesti berketurunan Melayu. Sultan murka kerana gambar baginda dipermainkan. Sanggupkah PKR untuk menempah kemarahan ini? Sudah pasti tidak. Tetapi musuh PKR amat menanti-nanti situasi ini. Situasi ini amat menguntungkan musuh PKR. Maka tidak mustahil bahawa dalang kain rentang itu adalah musuh PKR sendiri yang sanggup menggunakan gambar Sultan demi mengapi-apikan kemarahan Sultan dan orang Melayu umumnya.

Begitu juga dengan isu doa khutbah yang didakwa oleh Zahid Hamidi. Beliau mendakwa doa untuk Yang Di Pertuan Agong telah digantikan dengan doa untuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Akhbar Utusan Malaysia terus menasionalkannya. Modus operandinya sama. Dicipta sendiri dengan gaya yang menampakkan kerajaan Pakatan Rakyat yang melakukannya. Sekali lagi Sultan murka dan orang Melayu marah kepada Pakatan Rakyat. Sekali lagi nampak jahat dan tak gunanya Melayu Pakatan Rakyat dan Lim Guan Eng. Tentulah Pakatan Rakyat tidak sebegitu bodoh untuk mencipta kebencian rakyat ini. Maka sudah pasti sekali lagi musuh Pakatan Rakyat memainkan peranannya.

Demi kebenaran Pakatan Rakyat meminta pihak berkuasa membuat siasatan yang jujur untuk mencari dalang bagi kedua-dua isu ini. Kalau benar pemimpin Pakatan Rakyat yang merancang, maka biarlah mereka dihukum mengikut undang-undang. Dan sebaliknya jika pemimpin UMNO yang merancang maka biarlah kebenaran itu difahami oleh rakyat.

UMNO mudah untuk mencetuskan pelan taktikal durjana kerana UMNO menguasai kerajaan Pusat dan majoriti kakitangan kerajaan baik kerajaan Pusat dan kerajaan negeri terdiri daripada ahli dan penyokongnya. Mereka boleh digunakan untuk mensabotaj kerajaan negeri dan kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan. Sabotaj adalah salah satu modus operandinya.

Taktik ini pernah berlaku di Terengganu semasa pemerintahan PAS. Dalam satu peristiwa, Ustaz Harun Taib, Exco Pendidikan pada masa itu telah membatalkan kehadiran bagi satu mesyuarat agong PIBG di sebuah sekolah agama di Terengganu. Makluman itu telah dimaklumkan kepada pegawai pejabat agama seminggu sebelum tarikh mesyuarat agong itu berlangsung. Pejabat agama yang ketika itu bertanggung jawab terhadap sekolah agama kerajaan negeri telah tidak memaklumkannya kepada pihak sekolah dan ibu bapa. Maka apabila tiba waktu perasmian mesyuarat agong itu, kecoh ibu bapa marah kerana menunggu Ustaz yang akan merasmikannya begitu lama. Mereka berkata Ustaz Harun mungkir janji dan menyusahkan mereka. Kata mereka ulama apa macam ini. Hanya selepas itu, berita kekecohan itu sampai ke pengetahuan Ustaz Harun sehingga beliau telah membuat penjelasan. Itupun setelah rakyat mengecop beliau sebagai ‘ulama penipu,.

Demikian satu kisah yang pernah berlaku di Negeri Darul Iman ini bagaimana pegawai kerajaan negeri yang menjadi tali barut UMNO memainkan peranan jahat mereka. Aku tidak pelik jika perkara yang sama boleh dilakukan oleh barua-barua mereka di negeri Pakatan Rakyat. Mereka sanggup pasang perakam video mini di bilik MB Selangor. Akan datang entah apa lagi yang akan dilakukan oleh mereka.

Binatang kalau hampir mati disembelih, dia akan melakukan ‘tendang saka’ kata orang Terengganu. “Tendang saka’ ini kuat dan ganas. UMNO akan ‘tendang saka’. Sakitnya nampak semakin parah. Nafasnya yang mendengus semakin nazak. Jangan duduk dekat binatang yang tendang saka. Sekali kena patah keting dan biru biji mata. Maka berwaspadalah dengan UMNO ini wahai rakyat jelata semua. Selepas dia tendang saka, insya Allah makan gulai kawahlah rakyat jelata semua. Tunggulah saatnya tak berapa lama sahaja lagi.

"

Tiada ulasan: