"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gagal Buktikan Prima Facie, Ramli Yusuff Bebas!

20 Ogos:
Datuk Ramli Yusuff,57, yang disebut sebagai pesaing utama Tan Sri Musa Hassan untuk jawatan Ketua Polis Negara, dibebaskan dari tuduhan memegang jawatan dalam sebuah syarikat ketika masih seorang penjawat awam, empat tahun lalu.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ini dilepaskan selepas pasukan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Hakim S.M Komathy dalam penghakimannya berkata tertuduh bukan pengarah syarikat Kinsajaya Sdn Bhd seperti yang didakwa, selepas meneliti keterangan dan bukti yang dikemukakan iaitu Penyata Laporan dan Kewangan bertarikh 20 Jun 2006.

"Berdasarkan bukti penyata itu, pengarah sebenar syarikat berkenaan adalah milik Rohmah@Hasmah Yusoff iaitu kakaknya dan adiknya, Roslina kerana terdapat tandatangan mereka pada penyata itu," kata Hakim Komathy di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mengikut pertuduhan, Ramli didakwa menjadi pengarah Kinsajaya ketika masih Pengarah JSJK, Bukit Aman.

Sebagai seorang penjawat awam, dia terikat dengan Peraturan 5(1) (a) Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan) 2002 iaitu penjawat awam tidak dibenarkan mengambil apa-apa bahagian dalam sebarang jenis perniagaan.

Dia yang dituduh pada 1 November 2007, didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Mei 2006, mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau yang diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah melahirkan rasa gembira dan syukur atas keputusan mahkamah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ahmad Bache, yang mengemukakan 13 saksi sepanjang prosiding itu.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Ramli daripada tiga pertuduhan gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah pada 27 Julai tahun lalu turut melepaskan dan membebaskan Ramli daripada tuduhan menyalah guna kuasanya.

Bagi tuduhan salah guna kuasa, Ramli yang pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah didakwa mengeluarkan arahan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ milik Polis Diraja Malaysia untuk membawanya meninjau tanah di Ulu Tungku, Lahad Datu.

Kinsajaya dikatakan mempunyai pelaburan di tanah berkenaan, dan Ramli didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 7.50 pagi, 15 Jun 2007 di Pangkalan Unit Udara Polis Tanjung Aru, Sabah.

Menyertai PDRM sejak 1979, Ramli merupakan pegawai tertinggi polis yang pernah didakwa Badan Pencegah Rasuah setakat 2007.

Beliau dikatakan akan menerima Pingat Gagah Pasukan Polis (PGPP), iaitu anugerah tertinggi tetapi dibatalkan kerana tuduhan kes itu.

Ramli berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Ketua Polis Sabah serta Ketua Polis Pahang. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah JSJK sejak Mei 2005.

Ramli Yusuff pernah belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan undang-undang Islam.

Beliau adalah pegawai ketiga tertinggi di PDRM, sebelum digantung tugas dan ditahan kerja sehingga mahkamah memutuskan kes rasuah yang dihadapinya.

Tiada ulasan: