"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misi 'Ramadhan March for Freedom' berjaya

Harakahdaily
SEPANG, 20 Ogos:
Beberapa cadangan segera akan dikemukakan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mappim) kepada kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dalam usaha membantu Rakyat Palestin.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ianya antara lain bantuan dana dan kepakaran bagi pembinaan hospital, masjid dan jalan raya.

Ianya adalah hasil kajian Mappim sepanjang misi 'Ramadhan March for Freedom' ke Semenanjung Gaza mulai 6 Ogos lalu dan berakhir semalam.

"Antara disepakati dengan kerajaan Gaza adalah cadangan pembinaan Hospital Pediatrik di Gaza, cadangan bandar berkembar dengan kota Khan Younis, pembinaan masjid berkembar Al-Umri dan pembinaan jalan utama di kota Khan Younis sepanjang tujuh kilometer yang bakal dinamakan jalan persaudaraan Malaysia-Palestin.

"Selain itu kita akan membantu pembinaan Taman Rehabiitasi Kanak-Kanak atas nama Malaysia, cadangan pembinaan Kolej Perubatan Universiti Islam Gaza dan cadangan pembinaan pejabat Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura)," jelas Mohd Azmi.

Semalam seramai 44 orang sukarelawan misi tersebut selamat tiba di tanahair tepat jam 7.15 Rabu malam, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan disambut oleh sanak saudara, kenalan dan pegawai kerajaan negeri Selangor.

Misi tersebut berjaya melepasi sempadan Rafah, hasil bantuan dan kerjasama oleh pihak Kedutaan Malaysia di Mesir.

Mereka membawa bantuan makanan, perubatan dan alat pendidikan daripada sumbangan rakyat Malaysia kepada kepada masyarakat di sana.

Malah menurut Azmi, kerajaan Gaza menjadikan delegasi ini sebagai tetamu rasmi kerajaan.

"Kita turut dapat menghimpunkan maklumat berkenaan pembangunan masjid, status wanita, kanak-kanak dan rekod hak asasi manusia. Seterusnya kita mendapatkan data berkenaan hubung kait antara pentadbiran di Gaza dengan Tebing Barat, persoalan ekonomi dan kita berjaya meneliti keperluan infrastuktur dan jaringan antara NGO di antara Malaysia dengan Palestin," katanya lagi.

Maklumat tersebut katanya kemudiannya dibengkelkan dalam 'Seminar Pasca Ramadhan For Freedom' yang diatur Mappim di sana.

Mereka juga diberi peluang bertemu Perdana Menteri Gaza, Dr Ismail Haniyeh.

Dalam pertemuan itu mereka dimaklumkan dua wira yang terselamat dalam konvoi kapal Mavi Marvara yang lalu, Mustapha Mansor, Ahli Jawatankuasa Mappim dan wartawan Astro Awani, Aswad Ismail telah dianugerahkan watikah penghargaan tertinggi oleh Perdana Menteri Gaza.

Tiada ulasan: