Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 18 Ogos: PAS mendesak Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mendedahkan kandungan ‘perlembagaan baru’ dan melaporkan kepada pihak polis untuk disiasat.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pihaknya terkejut dengan kenyataan Harussani ada 'perlembagaan baru' dibuat oleh pihak tertentu bagi menggantikan Perlembagaan Persekutuan yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang.
Beliau menegaskan, PAS dan Pakatan Rakyat tidak pernah membincangkan perkara tersebut dalam setiap kali pertemuan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan dua kali sebulan.
Malahan, jelasnya Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam telah bersepakat untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama- agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Di samping itu, melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan perkara 153.
Selain itu, mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan serta memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.
“Tidak ada agenda yang tersembunyi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, jauh sekali menyediakan perlembagaan baru bagi merungkai perkara yang sudah menjadi kontrak sosial dan telah diterima pakai sejak sekian lama,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Justeru, katanya PAS berpandangan sekiranya Harussani tidak segera mendedahkan siapakah yang memberi dan isi kandungannya, maka ia akan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat di negara ini.
Beliau menambah, sebagai seorang tokoh agama, Harussani mesti bertanggungjawab di atas sebarang kenyataan yang dibuat supaya masyarakat tidak memandang serong terhadap institusi mufti.
“PAS mengharapkan kepada Tan Sri Harussani Zakaria janganlah memanaskan suasana politik yang sedia panas dengan kenyataan seperti ini di tempat awam, kerana bimbang akan menimbulkan suasana yang tidak harmonis,” ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan