"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu Dan Mara Demi Perubahan, Seru Anwar

20 Ogos: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan media berkata bahawa pihaknya memandang serius fitnah terbaru yang dimainkan pimpinan Umno untuk menyemarakkan api kebencian di negara ini.

Tuduhan tersebut yang dilemparkan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bahawa nama Yang Di Pertuan Agong telah digantikan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Saudara Lim Guan Eng telah terbukti merupakan satu pembohongan semata-mata.

Memetik kenyataan beliau, Anwar berkata beliau sendiri memantau perkembangan tersebut, membaca teks khutbah yang diedarkan dan turut memantau menerusi rakan-rakan di Pulau Pinang tetapi mendapati tuduhan tersebut tidak berasas bahkan ianya merupakan satu fitnah demi laba politik pemerintah yang kian hari kian terdesak.

Beliau juga berkata bahawa pimpinan Umno menerusi akhbar Utusan Malaysia berterusan menggunakan aksi politik perkauman sempit yang usang.

Kegagalan pentadbiran Dato Sri Najib memahami nurani rakyat Malaysia keseluruhannya yang mahukan sebuah negara yang kekal aman dan sejahtera dizahirkan oleh kenyataan berunsur fitnah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tersebut.

Beliau yakin usaha pimpinan Umno ini tidak akan berhenti di situ sahaja malah mereka pasti menganyam fitnah yang lain pula demi memecah belahkan muafakat masyarakat di negara ini yang mahu hidup dalam kerukunan dan sejahtera.

Menurut Anwar, beliau yakin rakyat Malaysia mempunyai keyakinan yang teguh untuk terus beriltizam dengan perubahan dan demi Malaysia yang Adil.

“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk perteguh keazaman bersama Pakatan Rakyat dan mara mengharungi serangan yang tidak akan kunjung diam dari pimpinan Umno itu. Hanya dengan melakukan Perubahan, politik perkauman sempit akan berjaya dihalang” ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: