"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inkues Teoh: Bukan bunuh diri, kata Pornthip

Ahli patologi forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand mula memberi keterangan di bangunan mahkamah di Shah Alam, jam 9.31 pagi bagi menyambung keterangan inkues kematian Teoh Beng Hock.

Beliau menceritakan penemuan dan kesimpulannya berhubung bedah siasat kedua yang dijalankan.

Pornthip, sebelum ini menimbulkan kontroversi dengan mendakwa hasil pemerhatiannya mendapati kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah kerana dibunuh manakala 20 peratus lagi akibat bunuh diri.

Kehadirannya di mahkamah pagi ini disambut tepukan gemuruh oleh penyokong Teoh yang memenuhi bilik perbicaraan hari ini.

Aktivis telah berkumpul bagi menghadiri inkues ini bukan sahaja sebagai sokongan kepada Teoh dan mendengar keterangan terbaru Pornthip tetapi juga untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada pejabat Peguam Negara berhubung sekeping 'nota misteri'.

Bekas ketua forensik Unit Siasatan Lokasi Jenayah, Amidon Anan, juga berada di mahkamah hari ini. Beliau hadir atas kapasiti peribadi.

Saksi pertama

Koroner Azmil Munthapa Abas memulakan prosiding dengan memanggil Pornthip sebagai saksi pertamanya.

Beliau kemudian disoal oleh peguam, Malek Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor dengan meneliti laporannya dan beberapa gambar yang diambil pada bedah siasat kedua.

Pornthip berkata beliau mendapati pendarahan di tengkuk Teoh sehingga ke bahagian otot mangsa. Kesan berkenaan juga, katanya lebih luas daripada kesan dicekik kerana cengkaman fizikal di bahagian leher adalah lebih kuat.

Menurut Pornthip berdasarkan 34-35 kes kajiannya hasil jatuh daripada tempat tinggi sebelum ini, tidak ada yang mempunyai kesan seumpama itu. Katanya, dia berpendapat tidak mungkin lebam adalah kerana impak akibat jatuh.

Pornthip juga menolak kemungkinan lebam itu disebabkan keretakan tulang belakang. Beliau mempertahankan pemerhatiannya sebelum ini bahawa ia adalah kecederaan sebelum jatuh yang dilakukan dengan “tekanan dan kuasa yang lebih besar” berbanding dicekik.

Katanya, ia mungkin “ seseorang meletakkan sesuatu di tengkuk Teoh atau menekan kepalanya ke atas sesuatu”.

Tak sependapat dengan Dr Vaneziz

Merujuk laporan bedah siasat pertama, pakar patologi Thailand itu berkata dia tidak boleh menolak kemungkinan Teoh tidak sedarkan diri semasa jatuh kerana laporan menunjukan berlaku 'cerebral edema'.

Ia menunjukkan Teoh mengalami hypoxia, di mana otak tidak menerima oksigen untuk tempoh sekurang-kurangnya 5 minit. Hypoxia berlaku akibat salur darah, arteri atau trakea yang tersumbat.

Pornthip tidak bersetuju dengan Dr Peter Vaneziz bahawa tanda pendarahan di tengkuk adalah akibat keretakan pada dagu. Katanya, keretakan dagu hanya membabitkan pendarahan di kawasan kecil dan tidak merebak hingga ke dada. Juga tidak terdapat salur darah besar di dagu yang boleh menyebabkan pendarahan berlebihan.

Pada keterangannya itu, Pornthip juga memberitahu inkues bahawa tiada keretakan pada pergelangan tangan, yang lazimnya berlaku dalam kes apabila seseorang cuba melindungi diri mereka daripada kejatuhan dengan tangan.

Terdapat keretakan dan luka di atas satu daripada pergelangan kaki Teoh tetapi tiada dikesan pada dasar tengkorak mangsa. Justeru, Pornthip berkata dia tidak bersetuju dengan Vaneziz bahawa Teoh mendarat dengan kedua-dua kakinya dan mangsa sedar semasa jatuh.

Pornthip berkata kesan koyak di bahagian dubur dan kecederaan pada bahagian punggung adalah disebabkan akibat kejatuhan dan bukan kerana dipukul seperti yang disangkanya sebelum ini.

'Ini adalah protokol'

Sehubungan itu, Pornthip mempertahankan pendapatnya berhubung kecederaan sebelum kejatuhan tetapi tidak dapat mengesahkan bahawa Teoh sedar semasa jatuh. Beliau juga tidak mahu memberi peratusan punca kematian kerana kesimpulan berdasarkan laporan bedah siasat. Namun Porhthip pasti, kejadian itu bukan percubaan bunuh diri.

Malik (kanan) selesai menyoal pakar patologi Thailand itu pada jam 10.45 pagi dan perbicaraan disambung dengan giliran peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga Teoh pula untuk bertanyakan soalan.

Pornthip berkata berdasarkan pengalamannya sebagai penyiasat lokasi jenayah dan juga ahli sains forensik, sebarang nota yang dijumpai mesti diuji untuk DNA, cap jari dan cetakan tapak tangan pada kadar segera dan kemudiannya dihantar untuk ujian analisis tulisan. “Ini adalah protokol.”

Bagaimanapun bota sedemikian tidak memberi kesan ke atas siasatan kerana ia dianggap bersifat emosi. Justeru, katnya, beliau lebih gemar bergantung kepada sains.

Ketua pendakwa SPRM, Abdul Razak Musa memulakan sessinya dengan cuba mempersoalkan kelayakan Pornthip sebagai saksi yang mempunyai kewibawaan.

Abdul Razak mencadangkan bahawa keterangan Pornthip adalah bersarkan imaginasinya. Pornthip menafikan perkara itu dan berkata kesimpulannya adalah berdasarkan pemerhatian dan kerjanya.

Abdul Razak berkata berdasarkan kelayakan Pornthip, ahli patologi Thailand itu tidak layak bergelar pakar di Malaysia kerana universiti di mana beliau belajar tidak diiktiraf di negara ini. Pornthip menjawab bahawa universiti tempat beliau belajar adalah satu daripada lima yang terbaik di Thailand - mereka yang berada di mahkamah memberikan tepukan.

Cekik diri sendiri

Razak kemudiannya mencadangkan kepada Pornthip bahawa Teoh mencekik dirinya sendirinya. Katanya, ini kerana empat daripada doktor telah mendapati bahawa tiada bukti menunjukkan Teoh dicekik.

Gobind bangkit dan mengarahkan Razak menunjukkan bagaimana seseorang mencekik diri sendiri. Razak menyahut cabaran itu dan cuba mencekik diri sendiri sambil digelakan daripada mereka di mahkamah itu.

Tiada ulasan: