KUALA LUMPUR 27 SEPT: Pengasas Kumpulan Virgin, Sir Richard Branson menyifatkan perbicaraan kes konspirasi kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "duri" dalam reputasi Malaysia yang secara keseluruhan boleh dianggap baik.
Bercakap pada persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur, jutawan popular yang terkenal kerana berani memberikan pandangan tegas , menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk campur tangan bagi memastikan keadilan untuk Anwar.
Branson yang dikagumi atas kejayaan meletakkan Virgin Air sebagai syarikat penerbangan tambang murah yang ulung di dunia, membawa mesej untuk Najib.
"Jika anda pemimpin berani, anda harus tegas untuk mengatasi hal-hal seperti ini yang hanya merosakkan nama baik anda," Branson berkata di Persidangan Mengenai peluang pelaburan di Asia.
“Hal ini (Kes Anwar) dah lama berlarutan. Ia memberi kesan buruk kepada imej negara ini di kaca mata dunia,” tambah beliau.
Komen Branson itu dijangka mendapat perhatian ahli politik dan dunia korporat tempatan dan antarabangsa, kerana beliau mempunyai reputasi sebagai seorang yang berkecuali dalam politik dalam memperjuangkan isu-isu keadilan sejagat.
Anwar menghadapi perbicaraan atas tuduhan liwat untuk kali kedua walaupun pemeriksaan doktor menunjukkan tidak ada tusukan kepada dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan.
Selain itu Saiful juga disahkan berjumpa dengan Najib sendiri dua hari sebelum pengadu membuat laporan polis terhadap Anwar.
Saiful juga bertemu dengan seorang pegawai polis kanan, Rodwan Ismail yang sebelum ini dikaitkan dengan cubaan merekacipta bukti terhadap Anwar pada perbicaraan pertama beliau pada tahun 1999.
Segala fakta itu menyokong tanggapan umum bahawa, sebagaimana dua perbicaraan awal yang berkesudahan Anwar dipenjara enam tahun, Ketua Pembangkang itu sekali lagi menjadi mangsa konspirasi politik yang memperalatkan badan kehakiman dan polis.
Pada perbicaraan kali ini, Anwar dikekang daripada mendapatkan kenyataan Saiful kepada polis selain laporan pakar yang memeriksa Saiful dan juga sampel DNA bagi membolehkan peguam belas mantan timbalan perdana menteri itu menyediakan pembelaan tuntas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan