"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aziz Bari: Ku Li tak tanding tapi lalui situasi sukar di DUN Galas

Tengku Razaleigh Hamzah
KUALA LUMPUR, 29: Meskipun persaingan langsung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), tetapi penganalisis melihat pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah akan berhadapan dengan “situasi paling sukar” dalam menghadapi pilihan raya kecil ke-12 nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan memutuskan tarikh pilihan raya kecil minggu depan dan kemungkinan ia diadakan akhir Oktober atau awal November.

Galas adalah satu-satunya kerusi DUN di bahagian Parlimen Gua Musang jatuh ke tangan PR khususnya PAS.

Profesor A. Aziz Bari berkata, beliau melihat Tengku Razaleigh yang lebih mesra dikenal sebagai “Ku Li” akan melalui situasi sukar dalam kerjaya politiknya dalam menentukan “bakal keputusan” pilihan raya kecil itu.

Penganalisis ini menjangkakan kemungkinan itu ekoran penerimaan Tengku Razaleigh dengan baik oleh komponen dan penyokong PR khususnya PAS sejak kebelakangan, lebih-lebih dalam isu royalti minyak.

“Saya lihat memang sukar, saat paling yang susah... cukup sukar bagi beliau (Tengku Razaleigh) sepanjang kerjaya politiknya dalam persekitaran sekarang.

“Ia tidak sukar baginya jika pilihan raya kecil ini diadakan di kawasan di luar bahagian Parlimen Gua Musang atau negeri lain seperti biasa,” kata beliau merujuk kepada kedudukan DUN Galas dalam bahagian Gua Musang.


Tengku Razaleigh juga merupakan ketua Umno Gua Musang.

Aziz menambah, dalam menghadapi pilihan raya kecil ini Tengku Razaleigh perlu mengambil keputusan yang cukup “menarik” dalam menggambarkan pendirian beliau.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh telah beberapa kali menegaskan Kelantan mempunyai hak untuk menuntut wang royalti minyak, yang dinafikan pusat dan bersedia untuk muncul di mahkamah jika pertikaian itu dibawa ke mahkamah.

Kes itu telah difailkan di mahkamah 30 Ogos lalu.
Ekoran pendirian Tengku Razaleigh itu, yang dizahirkan sejak awal tahun ini, beliau yang juga bekas menteri kewangan dan pengasas Petronas, telah berhadapan dengan tekanan segelintir pemimpin Umno agar dikenakan tindakan disiplin ke atas beliau.

Tengku Razaleigh mempertahankan pendiriannya dengan berkata beliau seorang pemimpin setia kepada Umno.

Majlis Tertinggi Umno pula telah menyerahkan kepada ahli-ahli memberikan pandangan mengenai gesaan tersebut tetapi sehingga kini tiada perkembangan susulan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno-BN akan meletakkan pemimpin tempatan sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil DUN Galas.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Umno sedia mengambil langkah-langkah wajar bagi menghadapi pilihan raya kecil itu setelah tarikh pemilihan diumumkan oleh SPR.

“Malahan setelah kita dimaklumkan hal ini semalam, kita sudah mengambil perhatian. Dan seperti biasa, jika ada pilihan raya kecil, kita akan (letak) calon dan calon yang kita letak akan datang dari Gua Musang yang dipimpin oleh
Tengku Razaleigh.

“Kita akan letak calon terbaik yang akan diputuskan oleh pihak pimpinan
parti dan kita percaya Tengku Razaleigh akan membantu sebagai ketua bahagian dan Datuk Seri Mustapa (Mohamed) selaku Ketua Perhubungan (Umno Kelantan) juga akan terlibat untuk memastikan kemenangan kita dalam pilihan raya,” katanya.

Muhyiddin berkata peluang BN untuk merampas kembali kerusi tersebut adalah 50-50.

Kerusi DUN Galas kini kosong berikutan penyandangnya Che Hashim Sulaima, 46, dari PAS meninggal dunia semalam akibat kanser kolon.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi. Saufi mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan Paloh.

Mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa beliau percaya bahawa Tengku Razaleigh akan membantu kejayaan BN di Galas, Aziz menambah, ia kenyataan strategi dalam ‘memerangkap’ gerak-geri pemimpin veteran menghadapi pilihan raya kecil.

Sebelum ini PR juga pernah meminta Tengku Razaleigh mengetuai kokus isu-isu berkaitan dengan minyak dan hubungan negeri dan persekutuan.

MUhyiddin meminta Tengku Razaleigh berfikir dengan mendalam sebelum memilih tawaran tersebut.

1 ulasan:

otaklunyai berkata...

setuju dengan perkiraan tuan. salah satu faktor utama dari berbagai faktor yang membawa kepada ramalan kekalahan itu adalah masalah sikap. iaitu sikap bangsa melayu itu sendiri yang bertuhankan umgok. dalam hal ini nampaknya kaum lain yang bukan Islam lebih mendapat hidayah dari Allah untuk menentang kejahatan dan kezaliman umgok... orang melayu yang kununnya Islam susah untuk menentang maksiat dan kejahatan yang terang dan amat jelas oleh umgok apatah lagi untuk menulak umgok. mereka lebih suka dan yakin untuk bergelumang dengan dosa. dalam hal ini pihak umgok telah berjaya dalam usaha tarbiah mereka yang membawa kepada kesesatan. Jadi pihak Pakatan khasnya PAS perlu menggerakkan jentera untuk memberi kesedaran Agama kepada orang melayu yang telah Islam sejak lahir tetapi tidak faham apa itu Islam dan kewajipan yang akan dipertanggungjawabkan diakhirat kelak iaitu menentang kezaliman dan menjauhi maksiat ata bersubahat dengannya melalui sokongan undi.

Namun, Allah akan bersama-sama orang yang benar.. Insyaallah. marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah memberikan Hidayah dan Petunjuk kepada melayu-melayu yang masih tebal kedegilannya dan yang masih beku mindanya sehingga tidak nampak dosa dan pahala.
Sesungguhnya mereka merancang, Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Wallahualam