"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak Tutup 'Aurat' & Disuruh Tadah Tangan, Bukan Islam Dimarahi Guru

MELAKA 27 SEPT: Pelajar perempuan bukan Islam dimarahi kerana tidak menutup ‘aurat’ dan pelajar bukan Islam dipaksa menadah tangan untuk ‘berdoa’, menjadi dua insiden terbaru pengetua dan guru rasis di Muar dan Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bachang, Lim Jak Wong hari ini membuat pendedahan melibatkan seorang guru agama di Sekolah Menengah Perempuan Methodist di Tengkera, Melaka yang mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman.
Dalam kejadian yang berlaku pada Julai lalu, beliau berkata, guru agama itu didakwa mengatakan pelajar bukan Islam memakai seluar pendek kerana mahu ‘menjual tubuh’ mereka ketika menyertai aktiviti fesyen di sekolah itu.
Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa pula mendedahkan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar di Muar April lalu didakwa memaksa lebih 50 pelajar bukan Islam menadah tangan dan membaca doa bersama-sama pelajar Islam pada perhimpunan bulanan.
"Sebahagian ibu bapa pelajar tingkatan satu hingga lima itu datang mengadu dan menganggap perbuatan itu tidak wajar dilakukan. Pelajar tidak wajar dipaksa melakukan perkara berlawanan dengan kepercayaan agama masing-masing,” katanya.
Bagi kes melibatkan pelajar di Melaka, Jak Wong berkata, guru agama itu cuma dikenakan tindakan tukar sekolah dan menyifatkan hukuman itu tidak memadai dengan tahap kesalahan yang dilakukan guru berkenaan.
Dalam kes di Muar, pengetua berkenaan hanya diberi amaran walaupun aduan berhubung kejadian itu sudah dibuat kepada Jabatan Pendidikan Johor dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.
"Kementerian Pelajaran mesti mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pengetua yang bersikap rasis. Setakat memberi amaran hanya menggalakkan mereka mengulangi perbuatan itu," kata Teck Hwa.
Kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat itu menyifatkan insiden berkenaan sekadar menyerlahkan kegagalan kerajaan Umno-Barisan Nasional dalam membendung gejala perkauman yang menulardalam sistem pendidikan negara.
-tvselangor-

Tiada ulasan: