PETALING JAYA 28 SEPT: Penyandang Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja Dr Xavier Jayakumar menyangkal dakwaan yang beliau menumbuk calon lawan pada pemilihan peringkat cabang itu.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Andalas itu mengakui berlaku pergelutan kecil membabitkan beliau berikutan calon lawan didakwa beliau cuba merampas peti undi.
"Peti undi ditutup jam 5.40 petang. Semua sudah mengundi dan peti ditutup untuk kiraan tetapi jika ada yang mahu mencampakkkan peti undi dan mengoyakkan kertas undi, itu tanggungjawab saya untuk menyelamatkannya.
"Dalam mempertahan peti undi, mungkin berlaku pergeseran ketika mengheret individu berkenaan keluar tetapi saya tidak menumbuk sesiapa," katanya yang turut membuat laporan polis mengenai kejadian itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri pelancaran buku "The Road to Reform: Pakatan Rakyat in Selangor" yang disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di sini, malam tadi.
Free Malaysia Today (FMT) semalam memetik kenyataan calon yang mencabar Xavier, Kottapan Suppiah yang mendakwa diserang Xavier dengan menumbuknya dari belakang pada pemilihan.
Xavier bagaimanapun gembira dengan pelaksanaan demokrasi di peringkat akar umbi walaupun berdepan masalah ketika proses pemilihan peringkat cabang.
Kota Raja adalah antara lapan cabang yang perlu mengadakan semula pemilihan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan