"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lulus Segera Pemohonan Malaysiakini, Kembalikan Permit Suara Keadilan

SHAH ALAM 1 OKT: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan tokoh wartawan mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menukar keputusan mereka yang menghalang permohonan penerbitan akhbar bercetak, Malaysiakini dan mengembalikan permit Suara Keadilan.

Presiden NUJ, Hata Wahari berkata KDN tiada alasan untuk menolak permohonan permit mana-mana akhbar termasuk Malaysiakini, malah menyifatkan kelahiran akhbar itu akan mendorong amalan kebebasan media di negara ini.

"Pendirian NUJ ialah mana-mana pihak yang ingin menerbitkan akhbar, patut diberi lesen. Jangan memilih dalam soal ini kerana KDN tidak ada sebab menolak permohonan Malaysiakini. Kita perlu kebebasan media. Ia merangkumi semua.

"Yang perlu dipegang ialah etika kewartawanan. Kita tidak boleh berpihak kepada mana-mana pihak. Kita perlu menulis berita berdasarkan kesedaran dan kebenaran,” katanya kepada TV Selangor.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan tMalaysiakini yang memohon permit akhbar bercetak tetapi ditolak KDN tanpa sebarang alasan hingga mendorong pengurusan portal berita lebih sedekad lalu, mengemuka saman terhadap kementerian itu.

Selain Hata, tokoh wartawan, Said Zahari pula menganggap keengganan kerajaan meluluskan permohonan permit sesebuah akhbar lantaran tidak senang dengan laporan yang mengkritik mereka, bermakna Malaysia tidak mengamalkan demokrasi sebenar.

"Kenapa kerajaan begitu bimbang? Sebab Malaysiakini bukan baru, begitu juga dengan Suara Keadilan. Kalau ada penulisan ataupun rencana ataupun kritikan akhbar itu melanggar hukum, tindakan lain boleh diambil," katanya.

Menyokong cadangan penerbitan akhbar Malaysiakini dan mendesak mengembalikan permit Suara Keadilan, bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia pada era 1960-an itu menyifatkan perbuatan mencengkam kebebasan media, sebagai tidak sihat.

"Perkembangan semacam ini, melarang penerbitan surat khabar, melarang memperbaharui permit dan sebagainya, adalah tindakan yang tidak sihat dari pihak kerajaan,” katanya.

Tiada ulasan: