"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS teguh hadapi Umno BN


KUALA TERENGGANU, 23 Okt: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib meminta ahli dan penyokong parti agar tetap teguh serta tidak goyah dalam memperjuangkan Islam berhadapan dengan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).


Menurutnya, Umno BN akan menggula-gulakan rakyat dengan pelbagai janji serta habuan yang sementara.

“Bila kita berjumpa dengan Umno dan Barisan Nasional (BN), kita kena teguh dengan Islam dan tidak terpengaruh dengan ‘gula-gula’ yang dijanjikan oleh mereka kerana berbentuk sementara sahaja,” tegasnya ketika berucap pada majlis perasmian Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu ke-14 di perkarangan Surau Tanjung, Batu Rakit, hari ini.

Katanya, perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS perlu diteruskan meski pun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan.

Menurutnya, perjuangan PAS bagi menegakkan Islam bersifat ‘membujur lalu, melintang patah’ sama ada gugur syahid atau mencapai kemenangan.

Justeru itu, katanya pejuang Islam tidak perlu bimbang dengan kemenangan kerana telah dijanjikan oleh Allah SWT sama ada di dunia atau akhirat.

“Kita berjuang Islam jangan bimbang dengan kemenangan kerana telah dijanjikan oleh Allah SWT.

“Jika kita tidak menang di dunia tetapi tetap akan diberi kemenangan oleh Allah Taala di akhirat kelak, insya Allah,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu di hadapan 8,000 para hadirin.

Beliau juga mahu setiap ahli parti bekerja dengan cemerlang serta bersatu padu bagi mencapai kemenangan Islam.

Katanya, soal bila tarikh pilihan raya akan diadakan tidak penting sama ada dekat atau jauh kerana usaha bagi mencapai kemenangan mesti diteruskan.

Menurutnya, hanya dengan kemenangan Islam, rakyat akan mendapat kebaikan serta rahmat daripada Allah.

Ijtimak tersebut dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Tiada ulasan: