"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kebebasan media: Malaysia setaraf dengan Angola

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Mei: Malaysia terus jatuh dalam senarai kebebasan media apabila diletakkan pada kedudukan 143 dari 196 negara yang disenaraikan sempena Hari Kebebasan Media hari ini.

Malaysia diletakkan setaraf dengan Angola dan Madagascar, dua buah negara Afrika iaitu dalam kategori tidak bebas.

Malaysia mendapat 64 markah dari 100 markah yang diberikan. Lagi banyak markah lagi tidak bebas sesebuah negara dalam medianya.

Indeks kebebasan media Malaysia terus menjunam dari tahun ke tahun berbanding di kedudukan 92 pada tahun 2006, 124 (2007), 132 (2008), 131 (2009) dan 141 (2010).

Menurut Wartawan Tanpa Sempadan (RWB), dua isu terkini yang menghambat kebebasan media di Malaysia adalah nasib yang menyelumbungi Hatta Wahiri, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang kini dipecat oleh majikannya Utusan Melayu kerana mengkritik syarikat media milik Umno itu.

RWB juga menyenaraikan tindakan pihak-pihak tertentu menyerang beberapa laman web dengan D-DOS sepanjang pilihan raya Sarawak baru-baru ini dalam senarai peristiwa anti kebebasan medianya.

Semalam, Kumpulan Utusan telah memecat Hata Wahari kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dikatakan mencemari imej syarikat milik Umno itu.

Syarikat itu memaklumkan keputusannya itu dalam satu surat bertarikh 21 April 2011, yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Sumber Manusia Mohd Nazlan Osman.

Pada 14 April lalu, panel siasatan dalaman Kumpulan Utusan mendapati Hata bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat itu melalui laporan yang disiarkan beberapa media tempatan.

Hata, wartawan kanan akhbar Utusan Malaysia, berhadapan dengan lapan tuduhan yang dikemukakan berdasarkan lapan laporan berlainan yang disiarkan portal dan akhbar.

Hata sebelum ini sering mengutarakan pandangan yang lantang berhubung isu pemilikan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, kejatuhan edaran akhbar dan ‘kelemahan’ dalam kepengarangan akhbar berkenaan.

Dia telah digantung kerja sejak 11 Januari lalu oleh Kumpulan Utusan.

Tiada ulasan: