IBNI KHALID JURAIT
SAYA bukan pekerja swasta dan bukan juga pekerja kerajaan. Akan tetapi hati saya dekat dengan mereka dalam konteks emosi, perasaan dan penderitaan golongan kelas sederhana melalui aktiviti kebajikan yang sering saya lakukan.
Semua akan mendapat faedah jika Rang Undang-undang Buruh (Akta Kerja 1955) ditarik balik.
Kerajaan BN tidak ada pilihan, kerana golongan pekerja atau buruh ini faktor yang sangat kukuh dan boleh menumbangkan kerajaan sedia ada. Terbukti di mana-mana negara luar atau sejarah silam.
Dari statistik Unit Perancang Ekonomi, menunjukkan bahawa golongan pekerja bawahan keseluruhannya adalah 85 peratus manakala daripada kumpulan Pegawai Kanan dan Pengurus 8.5 peratus. Golongan profesional pula membentuk 6.5 peratus tenaga kerja negara.
Andainya di saat-saat akhir dalam pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi, keputusan mengejut kerajaan menarik balik pindaan ini, pastinya akan memberi satu talian hayat yang amat kukuh bagi parti pemerintah (BN).
Percayalah, ia akan berlaku. Ini sudah pasti kerana ia merupakan talian hayat buat meningkat sokongan mengundi secara total.
Ini disebabkan para pekerja dan buruh terdiri daripada rakyat tidak kira dari kalangan ahli keluarga Umno sendiri, PAS, KeADILan, MIC, MCA, DAP, PPP dan segala macam parti dalam komponen BN atau Pakatan Rakyat.
Berapa keratkah di kalangan ahli keluarga sanak saudara pemimpin pelbagai parti ini yang menjadi pengurus, dan berapa ramai yang hanya ‘makan dan tidur’ atau tidak bekerja? Isu pindaan Akta Kerja 1955 yang diluluskan oleh Parlimen pada 6 Oktober 2011 lalu sememangnya amat berisiko bagi kerajaan sekarang. Pindaan undang-undang buruh yang baru ini memang jelas mengembalikan era zaman ‘Kunta Kinte.
Pekerja dengan mudahnya ‘dijual’ kerana dipindahkan dari satu majikan kepada majikan yang lain oleh orang tengah, iaitu Kontraktor Tenaga Kerja (Contractor for Labour).
Kelulusan mewujudkan Kontraktor Tenaga Kerja sebagai orang tengah antara pekerja dengan majikan menyebabkan semua pekerja tidak dapat membela kebajikan dan hak-hak mereka dengan berkesan.
Selain bertentangan dengan prinsip-prinsip Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sebarang perjanjian yang dimeterai oleh pekerja tidak kukuh. Hanya orang tengah (Kontraktor Tenaga Kerja) yang berurusan dengan pekerja secara rasmi atau hitam putih, bukan terus dengan majikan. Pada hal, Kontraktor Tenaga Kerja ini bukannya majikan prinsipal.
Tatkala sokongan kaum Cina amat rendah buat BN, maka undi penentu ialah kaum Melayu dan India. Tetapi bukahkah dua etnik inilah yang paling ramai mempelopori kerja makan gaji sebagai buruh atau kelas pertengahan? Maka kerajaan tidak ada pilihan. Suara dua kaum utama ini perlu didengar.
Bahkan pula, rata-rata pihak pemimpin kesatuan sekerja cerdik mengambil kesempatan.
Mereka dengan tegasnya mengisytiharkan akan melobi semua ahlinya untuk menyokong mana-mana parti politik yang senada dengan mereka dalam membela nasib pekerja. Parti yang menyokong mereka akan diundi dalam PRU13 nanti.
Maka isu ini sebagai ‘bola tanggung’ bagi pihak pembangkang. Ini kerana seperti disebutkan tadi, para pekerja bukan sahaja terdiri dari anak-anak dan ahli keluarga pembangkang tetapi juga dari semua ahli keluarga saudara mara parti pemerintah juga.
Bagi pengundi atas pagar, apatah lagi. Mereka tidak gusar membuat keputusan dalam keadaan tertekan. Pastinya semua masih ingat ketika harga minyak pada tahap RM2.70 seliter dahulu, ahli Umno sendiri merasa tertekan untuk meneruskan survival hidup.
Maka mereka sanggup belot dan memangkah pembangkang di atas kertas undi.
Dari data tahun 2010, jumlah buruh tempatan secara keseluruhannya ialah 10,864,300 manakala buruh asing pula 1,542,500 orang. Jika separuh dari lebih 10 juta orang pekerja tempatan ini berperanan di atas kertas undi, landskap politik negara akan berubah.
Dahulu pun, Indonesia berubah tampuk pemerintahan di kala krisis ekonomi, begitu juga di Mesir dan negara-negara lain. Isunya adalah masalah kehidupan berkaitan ekonomi.
Walaupun cuba dinafikan pemimpin BN, akan tetapi kesan jelas dari pengamalan Kontraktor Tenaga Kerja yang diluluskan ini akan menekan kehidupan dan ekonomi seharian majoriti rakyat.
Ini pasti berlaku. Saya optimis, kerajaan terpaksa pandang ke belakang walaupun sukar. Tiada pilihan.
Tak mungkin pemimpin BN akan mengulangi kesilapan kecil yang bakal memudaratkan keseluruhan cita-cita. Dulu, kesilapan kecil Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada pegawai tinggi kerajaan walaupun nampak remeh, tapi kesannya besar. Bukan sahaja empunya diri, ahli keluarga, sanak saudara handai taulan telah ‘trauma tercemar maruah’, bahkan mengundang kemarahan ahli-ahli Umno sendiri.
Begitu juga isu kabel voltan tinggi di Kampung Sungai Terentang, Rawang, Selangor.
Nampak kecil, tetapi impaknya besar. Penempatan itu sudah berkembang hingga generasi ketiga, dan semua cucu-cicit (generasi ke-3) ini bertebaran seluruh Selangor. Mereka inilah yang berperanan besar berkempen untuk Pakatan Rakyat pada PRU12 yang lalu. Ini hakikatnya. Mungkin kesilapan itu hanya kerana ingin menyelamatkan tanah-tanah hutan dara milik pemimpinpemimpin pasak kerajaan negeri ketika itu. Pastilah para pengkaji dan risikan politik telah maklum akan hal ini.
Juga, sejarah menunjukkan perjuangan buruh di serata negara di dunia ini memang sukar berpihak kepada parti pemerintah. Paling tidak, kesannya tetap ada. Tidak kira cepat atau lambat, pasti berpihak kepada pekerja. Rujuk kes perjuangan Kesatuan Sekerja Guppy Plastic Industries.
Walaupun mereka kalah pada 31 Mei 2006, akan tetapi rayuan telah dibuat pada 19 Julai 2006. Pengakhirannya, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamad Ariff bin Md. Yusof mengisytiharkan kemenangan mereka pada 14 Disember 2009 dan mendapat pampasan serta ganti rugi.
Saya juga yakin bahawa lambat laun semua pihak akan akur juga kepada suara pekerja.
Sesungguhnya pekerjalah yang membangunkan negara. Maka apakah parti pemerintah dan parti pembangkang buat? Mereka dua kelompok ini hanyalah ‘pengurus’ dalam mentadbir negara dalam erti kata lain sebagai instrumen semak dan imbang (check and balance).
Itu saja. Riuh rendah konflik, kontroversi dan polemik memang lumrah mereka, tetapi pembangunan negara tetap digerakkan oleh pekerja.
Kesimpulannya adalah, sesiapa yang menjuarai isu ini ibarat mendapat pedang sakti yang menguasai medan tempur dalam perjuangan, khasnya untuk pilihan raya kali ke-13 ini. Impak pindaan akta ini umpama letusan gunung berapi, dan bukannya umpama empangan yang pecah. Empangan yang pecah boleh dibaiki dan dibina semula. Gunung berapi yang meletus tidak boleh dibaiki dan diubah langsung. Ia kekal. Kawah besar yang terbiar selamalamanya.
Jagoan membela pekerja perihal isu pindaan ini juga seperti jaringan gol sudden death dalam perlawanan bola sepak, atau serupa jaringan penalti Baddrol Bahtiar mengalahkan Indonesia 5-4 di Sukan SEA tempoh hari. Keputusan yang dibuat pasti mencorakkan sejarah negara.
Semoga semua pihak bersungguh-sungguh membela pekerja-pekerja yang banyak berjasa kepada negara. Janganlah jadikan hal isu pindaan Akta Kerja 1955 ini sebagai isu kecil, walhal ia tampak bak nila yang setitis tetapi sudah cukup merosakkan susu sebelanga. Maka tidak rugi untuk kerajaan menundukkan ego demi kebajikan rakyat dan pasti menaikkan sokongan pengundi.
Bukankah kegusaran terpancar dalam perhimpunan Umno barubaru ini?
Juga tidak rugi pembangkang menjuarai suara hati pekerja kerana mereka juga sedang mencari tongkat sakti untuk memerintah. Pasti juga sirna pelbagai NGO dan MTUC akan dijulang jika bersama-sama membantu menjadi orang tengah dalam kemelut isu ini.
IBNI KHALID JURAIT
Sri Hartamas, Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan