KUALA KUBU BHARU: Gila seks. Itulah perkataan sesuai untuk menggambarkan tindakan seorang lelaki yang menceroboh masuk rumah jirannya dan meminta untuk melakukan hubungan seks dengan wanita terbabit.
Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 28 tahun itu membawa padah apabila dia ditahan polis selepas wanita berusia 37 tahun terbabit membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan, kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu mangsa bersendirian dalam rumahnya di Kerling, di sini, manakala suaminya seorang pekerja ladang keluar bekerja.
“Mangsa yang baru saja pulang dari bekerja masuk ke dalam bilik untuk berehat dengan pintu belakang rumahnya dalam keadaan terbuka.
“Ketika di dalam biliknya, dia menyedari kehadiran jirannya yang sedang berbual melalui telefon bimbit di bahagian belakang rumah,” katanya.
Sumber berkata, suspek terbabit kemudiannya menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa dan menghampiri mangsa yang sedang tidur.
“Suspek kemudiannya mengajak mangsa melakukan hubungan seks dengannya. Mangsa yang terkejut dengan ajakan berkenaan bertindak memarahinya supaya keluar dari rumah berkenaan.
“Namun, suspek dikatakan tidak mengendahkan amaran mangsa sebaliknya terus mengajak melakukan perbuatan terkutuk itu. Mangsa yang ketakutan terpaksa berlari keluar,” katanya.
Sumber itu berkata, mangsa pergi ke rumah salah seorang jiran meminta pertolongan jiran berkenaan dan menghubungi suaminya memaklumkan kejadian itu.
Katanya, suspek kemudian bertindak melarikan diri sebelum mangsa pergi ke Balai Polis Kerling membuat laporan berhubung insiden berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norell Azmi Yahya Afendy berkata, suspek berjaya ditahan polis di rumahnya yang terletak berhampiran.
Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah.
-hmetro-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan