Nabiha Hamid
PETALING JAYA 29 Dis: Ekoran laporan KEADILAN terhadap Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembelian kondominium mewah berjumlah RM9.9 juta, badan bebas Jingga 13, mengadakan misi lawatan ke Singapura bagi melakukan siasatan.
Sebelum ini, KEADILAN mendakwa keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil yang dianugerahi projek lembu telah menyeleweng dana duit rakyat sebanyak RM250 juta yang dimiliki syarikat National Feedlot Corporation (NFC).
“Kami (Jingga 13) telah ambil keputusan turun ke Singapura pada 23 Disember lalu untuk mengenal pasti aset, benar ataupun tidak. Akhirnya kami bertemu dengan kondo yang tersergam indah,” kata Pengerusinya, Fariz Musa pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun mengalami kesukaran kerana berulang kali dihalau oleh pegawai keselamatan, namun akhirnya berjaya menyelinap masuk ke dalam kondo tersebut.
“Kondo Orchard Scotts – kondominium mewah yang sangat selesa serta dikawal rapi. Nak ambil gambar pun kena ada kebenaran. Jingga 13 berjaya membuat rakaman video untuk menunjukkan kondo mewah keluarga Shahrizat tersebut,” katanya.
Jingga 13 turut menjumpai restoran mewah Meatwoks di ION Orchard Mall iaitu sebuah gedung terbuka yang merupakan perniagaan peribadi keluarga Shahrizat.
Bagaimanapun restoran tersebut lengang malah tidak ramai pelanggan.
“Restoran lengang tiada orang, kedai di kiri kanan ramai orang, Meatworks kami tunggu sampai tengahari tidak ada orang lain yang masuk. Syarikat ini bukan saja mampu menyewa satu shop lot tapi dalam masa sama disewa ruang legar. Sudah pasti kos adalah lebih tinggi,” katanya.
SPRM bercakap dengan ‘lembu’?
Sementara itu, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin pada sidang media yang sama turut mengecam tindakan kerajaan yang masih lagi tidak menyoal siasat suami Shahrizat, Datuk Salleh Ismail.
“Setakat ini laporan polis telah dibuat di seluruh negara. Sekurang-kurangnya Datuk Salleh sudah dipanggil untuk disoal siasat. SPRM kata dah 75 orang telah ditemubual tapi takkan tiada apa yang dapat dikesan?
Melainkan kalau dia bercakap dengan lembu.
“Malah satu jawatankuasa ditubuhkan oleh SPRM dan penyiasatan akan merangkumi semua aspek, tapi sekiranya tidak ada apa-apa yang berlaku lepas ini mengenai skandal ini, kita akan desak Shahrizat dedahkan aset mereka dalam tempoh lima tahun ke belakang,” cabar Zuraida.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan