"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Makhluk berkepala dua

MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
ULAR albino milik rakyat Switzerland ini bernilai lebih RM200,000.
RUZIANAH Mohd. Ibrahim, 41, tidak pernah menyangka dia akan memiliki anak kucing istimewa yang mempunyai dua muka tetapi berkongsi satu kepala.

Anak kucing tempatan itu lahir pada tahun 2008 dan diberi nama Tuah.

Ruzianah, penjawat awam yang menetap di Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah memberitahu, dia terpaksa membawa ibu Tuah ke Jabatan Perkhidmatan Haiwan berdekatan memandangkan ibu kucing itu sukar untuk melahirkan Tuah.

“Mungkin saiz kepala Tuah besar daripada biasa, jadi dia sukar dilahirkan. Selepas ibunya diberikan suntikan, barulah Tuah dapat dikeluarkan.

“Tuah lemah sikit dan tidak dapat menyusu dengan ibunya, jadi saya beli susu dan memberinya minum menggunakan picagari,” ujar Ruzianah.

Malangnya, Tuah mati beberapa hari selepas itu.

Kejadian haiwan berwajah atau berkepala dua berlaku di banyak negara di dunia.

Tahun lalu, seekor kucing di Virginia, Amerika Syarikat (AS) turut mempunyai ciri fizikal seperti Tuah.

Kucing di Virginia itu dinamakan Two Face sempena watak jahat dalam komik adi wira Batman. Two Face mempunyai dua hidung, dua mulut dan empat biji mata.

Menurut doktor haiwan yang merawatnya, Erica Drake, Two Face menghidap sindrom Diprosopus.

Penyakit itu menyebabkan penghidap mempunyai satu kepala tetapi ada dua wajah. Bagaimanapun, Two Face mati tidak lama kemudian.

Sebenarnya, kejadian haiwan berkepala dua juga berlaku pada ular, lembu dan kambing.

Sebagai contoh, seekor anak ular susu berkepala dua menetas di sebuah pusat penetasan haiwan di Ridge Minor, Miami, AS baru-baru ini.

Pakar biologi Universiti Florida, Daniel Parker berkata, ular berkepala dua mampu hidup selama 20 tahun jika ditempatkan di dalam kurungan.

“Tetapi dengan dua otak yang mengawal badannya, haiwan itu sukar untuk hidup di hutan,” katanya.

Ular susu dikategorikan sebagai ular albino. Menurut mitos Yunani, ular susu dikatakan menghisap susu daripada kantung susu lembu.

Ia juga gemar hidup di dalam bangsal selain menyukai persekitaran yang gelap dan sejuk.

Seekor ular susu berkepala dua mampu dijual pada harga yang tinggi.

Seorang pengumpul haiwan pelik di Switzerland, Tom Beser, berjaya menjual ular seperti itu semahal RM200,000, Februari lalu.
EMANOEL dan Jesus yang lahir di Brazil minggu lalu berkongsi satu tubuh.
Beser memberitahu, ular peliharaannya itu yang diberi nama Mince merupakan ular albino pertama di dunia yang diketahui memiliki dua kepala manakala badannya berwarna putih.

Dua otak

Sementara itu di Lumajang, Indonesia, seekor anak kambing berkepala dua milik seorang penduduk, Muhammad Hasyim, 25, menjadi tumpuan orang ramai dua tahun lalu.

Kambing betina berwarna putih yang dipanggil Melati itu dilahirkan oleh ibunya dengan mempunyai empat mata selain dua telinga.

Muhammad berkata, semasa dilahirkan, ibu kambing itu mengembek dan meronta tanpa henti.

“Syukurlah kambing saya masih hidup,” kata Muhammad yang memberitahu dia memberi haiwan itu minuman susu segar.

Melati juga akan mengamuk jika diletakkan berjauhan dari ibunya.

Negara yang terkenal dengan kisah Firaun iaitu Mesir, turut menyimpan cerita haiwan yang pelik.

Seorang petani di Alexandria, Mesir, Sobhy El-Ganzoury menyifatkan kelahiran seekor anak lembu peliharaannya yang mempunyai dua kepala sebagai satu keajaiban.

“Saya mengambil masa selama dua jam untuk membantu lembu itu beranak,” ujar Sobhy sambil menambah, anak lembu itu tidak dapat mengangkat kepalanya yang berat dan terpaksa diberikan susu botol.

Pemilik sebuah ladang di Rivera, Colombia, Marino Cabrera, pula terkejut apabila lembunya melahirkan anak berkepala dua pada Ogos 2009. Anak lembu itu dinamakan Jenifer.

Cabrera memberitahu, dia tidak pernah melihat keganjilan seperti itu sepanjang lebih 30 tahun menjadi pembiak baka lembu.

Kejadian pelik makhluk berkepala dua turut berlaku kepada manusia.

Di Brazil minggu lalu, seorang ibu melahirkan bayi lelaki yang mempunyai dua kepala.

Maria Nazare, 25, melahirkan anaknya itu di sebuah hospital di Anajas, Brazil dengan berat 4.49 kilogram.

Anak itu dinamakan Emanoel dan Jesus. Doktor memberitahu Maria bahawa bayi itu mempunyai dua otak tetapi berkongsi jantung, limpa, buah pinggang dan kaki.
ANAK kucing bernama Tuah ini mati beberapa hari selepas dilahirkan di Alor Setar, Kedah.
Menurut pengarah hospital itu, Claudionor Assis de Vasconcelos, kelahiran bayi itu amat mengejutkan

Setakat ini, keadaan bayi itu adalah baik dan akan diuji sama ada ia boleh dipisahkan atau sekurang-kurangnya dapat hidup lebih lama. Apa yang menarik ini merupakan kali kedua kelahiran bayi berkepala dua di Brazil tahun ini.

Sebelum ini, seorang ibu, Sueli Ferreira, 27, melahirkan bayi yang mempunyai dua kepala di daerah Paraiba tetapi bayi itu meninggal dunia beberapa jam kemudian disebabkan kekurangan oksigen.
-kosmo-

Tiada ulasan: