"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2012 tahun kiamat bagi Umno-BN?

Mat Zahari Ali
Umno-BN Di Ambang Kiamat?
KOMENTAR


Tahun 2012 telah diberikan pelbagai gambaran tragis termasuk terjadinya bencana besar, kekacauan, keruntuhan kerajaan dan peperangan diseluruh dunia yang merintis kepada berlakunya Kiamat.


Tahun 2012 juga akan melibatkan banyak peristiwa besar termasuk kejatuhan ekonomi dunia melibatkan kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika, Eropah, China dan Jepun.

Sebagai umat Islam, urusan hari kiamat hanya ada dalam perbendaharaan Allah dan bukan dalam tanggapan hamba Allah. Manusia hanya di beri hak untuk merancang, mengkaji dan menghujah.

Manakala menurut ahli tasawuf pula pengertian kiamat tersebut boleh di rungkai dalam pelbagai keadaan seperti bencana, kecewa, penyakit, kemalangan dan sebaginya.

Berdasarkan kepada hak merancang, mengkaji dan berhujah yang diberikan Allah kepada manusia tersebut kemungkinan gambaran tersebut ada kebenarannya.

Keruntuhan kerajaan pimpinan Hosni Mubarak selepas 30 tahun menguasai mesir, terbunuhnya pemimpin Libya, Muhammar Gaddafi setelah lebih 36 tahun memerintah dan runtuhnya LDP setelah menguasai kerajaan Jepun selama 40 tahun adalah antara deretan keruntuhan kerajaan yang dicatatkan oleh sejarah dunia.

Di Malaysia, Umno telah menguasai kerajaan selama 54 tahun. Pelbagai kezaliman, rasuah, salah guna kuasa, sogokan, politik wang, pembaziran wang rakyat, fitnah, lucah, ketirisan, kronisme, nepotisme dan pemborosan, semuanya telah sinonim dengan pemimpin-pemimpin Umno.

Ikon-ikon tersebut tidak akan diberikan lebel sedemikian sekiranya tidak ada kebenarannya.Bak pepatah, masakan pokok bergoyang kalau tiada angin. Malah kecelikan rakyat berhubung sumber maklumat memperteguhkan lagi bahawa Umno semakin tersisih ekoran penolakan rakyat.

Kesimpulannya pemimpin Umno sendiri menyedari bahawa pilihanraya Umum (PRU) akan datang Umno/BN sedang berhadapan dengan detik paling getir dalam sejarah.

Pilihanraya Paling Getir


Pengerusi pilihnraya BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa pilihanraya kali ini adalah amat getir bagi Umno/BN.


Begitu juga dengan kenyataan beberapa menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin BN lain yang melihat kesukaran BN untuk menang.

Maklumat dari kenyataan tersebut mungkin datangnya dari risikan polis dibawah cawangan politik yang sememangnya wujud di Bukit Aman bagi mendapatkan maklumat berhubung sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Pengunduran Dr Mahathir ekoran penyerahan kuasa kepada Abdullah Badawi juga dipercayai dari maklumat risikan pihak polis.

Bagi Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Razak pula dilema untuk menetapkan tarikh PRU-13 merupakan suatu keputusan yang amat berat.

Isu-isu berhubung pelbagai penyelewengan wang rakyat seperti isu NFC, PKFZ, isu ekonomi yang mencengkam rakyat selain masalah dalaman Umno/BN yang kucar kacir tidak memihak kepada BN untuk meraih sokongan rakyat.

Begitu juga berhubung isu calon-calon yang masih belum mencapai penyelesaian.

Calon Tikam Belakang


Kebimbangan Najib berhubung calon yang akan menikam dari belakang sekiranya tidak terpilih masih menjadi keutamaan yang belum di selesaikan.


Isu calon menikam dari belakang dan memberi sokongan kepada pembangkang sememangnya banyak berlaku ketika PRU 2008 lalu.

Ini disebabkan bagi Umno, sesiapa yang dipilih menjadi ketua bahagian atau calon bererti akan memperolehi kekayaan dan kuasa. Budaya ini telah lama berkembang dalam Umno/BN sejak 54 tahun mencapai kemerdekaan lagi.

Manakala calon yang tidak terpilih akan dianggap sebagai calon yang gagal dan tersisih. Selain hilang kuasa dan mendapat malu calon serta pengikutnya juga akan terpinggir dari mendapat sebarang projek dan kontrak.

Isu pergaduhan ketika pemilihan di perhimpunan Agong Umno bukan perkara baru. Sengketa antara puak-puak dari pimpinan tertinggi hingga kepada Umno Bahagian telah menjadi budaya yang tidak lagi boleh disembunyikan lagi. Ini termasuk team Muhyiddin dan team Najib sendiri.

Najib Yang Lemah


Ahli Falsafah Yunani, Plato berkata kelemahan seseorang terletak pada keputusan dan tindakan yang diambil bukan berdasarkan apa yang dicakapkan.


Najib pula adalah pemimpin yang terlalu banyak melaung untuk menjayakan tranformasinya dan bersikap 'flip-flop' bila melibatkan tuntutan rakyat sebagimana BERSIH 2.0.

Isu yang membabitkan seorang menteri kabinet beliau berhubung skandal NFC memperjelaskan betapa Najib begitu lemah dan membuat keputusan dan tindakan.

Di pihak parti pembangkang, tindakan Najib mempertahankan Shahrizat Jalil merupakan kondisi yang amat menyenangkan. Ini disebabkan isu ini terus menjadi bahan kempen berpanjangan yang menyegarkan.

Najib mungkin merasakan tindakan beliau membiarkan isu yang membabitkan keluarga Shahrizat itu sebagai tekanan untuk Ketua Wanita Umno tersebut melepas jawatan secara sukarela.

Sebelum ini ramai dikalangan pemimpin Umno termasuk Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Dr M) menggesa Najib bertindak menghukum Shahrizat namun Najib masih membisu.

Manakala kem-kem di dalam Umno juga telah wujud gerakan yang meletakkan kelemahan Najib sebagai asas untuk melobi ahli-ahli Umno menentang beliau.

Tindakan Najib yang juga Presiden Umno yang enggan mengadakan pemilihan ketika perwakilan Umno bersidang dalam beberapa perhimpunan Agung parti itu perjelaskan lagi kebimbangan Najib berhubung perpecahan dalaman parti yang dipimpin beliau.

Najib di kuasai Dr M


Ramai dikalangan pemimpin Umno/BN sendiri menyedari bahawa Dr M masih bertaring di era Najib. Dan Najib pula bukan seorang berani. Beliau tiba dipuncak sekarang bukan disebabkan oleh ketokohan beliau tetapi lebih kepada sikap 'play safe' beliau selama ini.


Najib juga menyedari kejatuhan Tun Abdullah disebabkan oleh gerakan yang dilakukan oleh Dr M dan Muhyiddin yang mengkritik Abdullah secara terbuka ekoran kekalahan teruk BN dalam PRU 12 lalu.

Najib kemudiannya memberikan kerusi Timbalan Menteri kepada anak Dr M (Mukhriz). Dan kemudiannya Dr M mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana memberi jawatan tersebut kepada anaknya.

Sejak itu setiap tindakan Najib sentiasa dibayangi oleh Dr M. Najib pula akan meminta pihak media mendapatkan kenyataan dari Dr M berhubung sesuatu yang akan dibuat supaya tidak mendapat tentangan.

Dr M Perlu Kuasai Najib


Dalam Umno tidak ada orang yang paling dimarahi Dr M selain dari Abdullah Badawi. Hingga ke saat ini permusuhan dan saling serang menyerang masih antara mereka masih berlarutan


Kemarahan Dr M bukan sekadar kekalahan teruk BN dalam PRU 2008 sahaja tetapi tindakan membebaskan Anwar dari Sungai Buluh menjadikan beliau tidak dapat memaafkan Abdullah.

Membebaskan Anwar membuktikan Anwar tidak bersalah selain persepsi rakyat bahawa Anwar sengaja di aniaya oleh beliau. Abdullah dianggapnya cuba menjadi hero dengan memalukan beliau.

Selain itu pembebasan Anwar juga menyebabkan pembangkang menjadi kuat kerana ketokohan Anwar sememangnya di geruni beliau sendiri.

Dengan pembebasan Anwar tersebut telah memaksa beliau kembali aktif memantau Umno dari luar selain memberi cadangan dan jalan kepada kepimpinan Umno/BN sekarang.

Dr M tahu, Anwar mempunyai banyak rahsia tentang kelemahan Umno dan rahsia diri dan keluarga beliau. Anwar juga tahu bagaimana Dr M menggunakan dana awam seperti KWSP dan Tabung Haji untuk membantu syarikat-syarikat anak beliau ketika krisis ekonomi 1998.

Di Majlis Rapat Rakyat Perdana Di Alor Setar pada 14 Januari lalu, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata setelah PR menguasai Putrajaya semua pemimpin negara akan disiasat.

"Dr Mahathir tak boleh lari, Rosmah pun sama," kata beliau di hadapan lebih 50,000 hadirin di malam penutup konvensyen PR itu.

Menurut Karpal lagi, walaupun kes tersebut telah lama berlaku namun tidak ada sebab untuk membolehkan kes itu dibuka semula untuk dibicarakan sekiranya perlu.

Anwar dan Pakatan Rakyat


Tekanan Najib paling hebat datangnya dari pembangkang yang di terajui Anwar Ibrahim. Selepas berjaya menguasai lima negeri Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihanraya Umum 2008 lalu gerakan PR dilihat lebih menyerlah berbanding BN.


Walaupun propoganda media perdana hanya sekadar dapat memujuk diri sendiri namun hakikatnya Umno/BN sedang berada dalam situasi paling sukar.

Ketika Konvensyen PR ke-3 di Alor Star baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menyatakan beberapa negeri seperti Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu bakal jatuh ke tangan PR.

Selain itu di beberapa negeri seperti Melaka dan Johor di semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan mengalami lonjakan kerusi bagi membolehkan PR menguasai Putrajaya.

Ketika PRU-10 pada 1999, ekoran isu pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, orang-orang melayu bangun dan menolak kepimpinan Umno/BN. Kesannya pembangkang menguasai 42 (PAS-27, DAP-10, ADIL(PKR)-5) kerusi parlimen.

Bimbang dengan kebangkitan Rakyat tersebut, akhirnya Dr M terpaksa berundur setelah menerima maklumat dari jentera pilihanraya pusat dan pihak risikan polis. Susulan maklumat tersebut akhirnya beliau menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah.

RM1.077 Trilion Keluar Negara

Ketika berucap di Konvensyen PR ke-3 baru-baru ini, Pengerusi BERSIH 2.0 yang juga bekas Pengerusi Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan menyarankan supaya PR berusaha membawa balik pulang USD291 billion (RM1.07 trilion) wang negara yang telah dibawa keluar dalam beberapa bulan kebelakngan ini.

Menurut Ambiga, usaha tersebut harus dilakukan sebagai tindakan terawal apabila PR berjaya menguasai Putrajaya kelak.

Katanya wang tersebut merupakan aset negara paling berharga yang telah diseludup keluar melalui pelbagai cara.

Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas membuktikan bahawa terdapat segelintir rakyat yang berkepentingan telah dapat menghidu akan berlaku berubahan tompok pemerintahan negara selepas PRU akan datang.

Setakat ini tiada laporan yang menyatakan siapakah individu yang terlibat dalam pengkhianat terhadap aset negara tersebut.

Terpulanglah juga kepada pembaca untuk menafsirkan kedudukan kemudian.

Setakat ini Najib tidak memberi sebarang reaksi berhubung isu tersebut walaupun pelbagai pihak termasuk PR cuba mengenengahkan isu tersebut untuk di tangani.

Apa pun keadaannya, masanya akan tiba juga untuk menyaksikan kuasa rakyat akan meletakkan hakikat kebenaran. Kekalahan akan menjadikan Umno berada di ambang kiamat.

Waktu telah terlewat untuk Umno/BN memperbaiki apa yang telah dirosakkan. Yang ada hanya jalur waktu untuk menunggu detik kiamat tersebut untuk dihakimi rakyat.

Tiada ulasan: