"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR Berpecah Dua , Apa Puncanya?

SuaraPakatan
PKR Berpecah Dua , Apa Puncanya

DI PERINGKAT dalaman kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidaklah menjadi satu rahsia lagi akan kewujudan 2 kelompok pimpinan yang masing-masing cenderung kepada Presiden parti, Datin Sri Wan Azizah Ismail dan Timbalan Presiden, YB Azmin Ali.

Penulis dimaklumkan bahawa bibit-bibit perpecahan ini sudah bermula sejak kempen pemilihan Nasional PKR 2010 lagi dan semakin menjadi ketara apabila Azmin Ali memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Ketika kempen pemilihan Nasional 2010 berlangsung, sokongan penuh Wan Azizah ke atas pencalonan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Timbalan Presiden parti menjadi persoalan umum kerana logiknya, Azmin Ali yang lebih layak kerana sudah bersama-sama dengan parti sejak mula ditubuhkan, di samping kesetiaannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak boleh dipersoal sesiapa.

Berdasarkan maklumat yang penulis terima, antara kepimpinan parti yang diketahui cenderung kepada Wan Azizah ialah YB Fuziah Salleh, YB Nurul Izzah, YB Tien Chua, YB Xavier Jayakumar, Mustapha Kamil Ayub, Shamsul Iskandar, YB Yusmadi, YB Elizabeth Wong, YB William Leong, YB Sivarasa dan YB Dr Mansor Othman.

Manakala pemimpin parti yang berdiri teguh di belakang Azmin Ali ialah N.Surendran, YB Zuraida, YB Dato Kamarul Baharin, YB Dato Johari Abdul, Rafizi Ramli, Latheefa Koya, YB Haniza Talha, YB Nik Nazmi, YB Abdullah Sani dan YB Azan Ismail.

Walaupun perpecahan ini cuba diselindungkan dari penglihatan ahli di peringkat akar umbi tapi sudah kedengaran suara-suara kecil yang bertanya kenapa setiap kali program di kawasan salah seorang dari kumpulan yang disebutkan di atas, pihak yang satu lagi tidak hadir?

Sebagai contoh, program parti di kawasan Nurul Izzah iaitu Lembah Pantai, tidak akan dihadiri oleh Azmin Ali. Begitu juga sebaliknya dengan program parti di kawasan Gombak di mana Azmin sebagai ahli Parlimennya, juga tidak akan dihadiri Nurul Izzah.

Hal yang sama juga berlaku dalam kontroversi membabitkan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Pahang. Kilang Lynas tersebut terletak di kawasan Balok, dalam Parlimen Indera Mahkota yang dikuasai Azan Ismail tapi kenapa pula Fuziah Salleh sebagai ahli Parlimen Kuantan yang menjuarai isu tersebut?

Mungkin Fuziah diarahkan pucuk tertinggi parti untuk memimpin isu tersebut atas sebab-sebab tertentu, tapi menjadi kehairanan ramai (termasuk penulis sendiri) kenapa beliau tidak pernah merujuk kepada Azan Ismail dalam banyak hal terutama yang membabitkan penduduk kawasan sekitar Balok di mana lokasi kilang tersebut terletak.

Sudah tentu bila bercakap tentang hubungan Wan Azizah dan Azmin Ali, penulis tidak rasa persoalannya ‘siapa’ tapi lebih kepada ‘apa’ yang menyebabkan perkara ini berlaku?

Penulis tidak mahu mengulas panjang mengenai hal tersebut, cuma apa sekalipun masalahnya, penulis menyeru agar semua pihak terlibat mengenepikan masalah peribadi masing-masing dan meletakkan kepentingan parti di kedudukan tertinggi sekali.

Lebih lagi dalam keadaan parti sedang sibuk menyiapkan diri untuk menghadapi pilhanraya umum ke-13 yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa, keadaan sedemikian sudah tentu tidak sihat untuk parti dan ahli-ahli dibawah.

Walaupun Datuk Seri Anwar sudah dibebaskan dari pertuduhan liwat yang membelenggu beliau selama 3 tahun kebelakangan ini, tapi itu tidak sama sekali bermaksud parti sudah terlepas dari masalah yang boleh menggugat peluang parti untuk menguasai Putrajaya.

Sebaliknya ada lebih banyak isu-isu semasa yang perlu diberi penekanan dan semua ini menuntut kerjasama semua pihak dalam kepimpinan tertinggi parti.

Sedarlah, perpecahan dalaman boleh menjadi barah peringkat bahaya lebih-lebih lagi apabila ada yang berani mensabotaj. Belajarlah dari kesilapan UMNO.
...............

1 ulasan:

MalaysianBanking berkata...

cerita lama... dah takde masalah sangat dah... kita tumpukan PRU13, tp kena berwaspada dengan pengkhianat.