"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hasan Ali seolah-olah hina pimpinan Pas

SHAH ALAM: Kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali wujudnya parasit dalam Pas, seolah memberi gambaran menghina keputusan kepimpinan Pas dalam isu pemecatannya, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, tindakannya itu memberi gambaran keputusan pemecatannya yang diputuskan dalam mesyuarat bulanan parti dalam parti didorong dan dipengaruhi oleh parasit.

“Ia juga seperti menafikan keputusan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Hasan, mendakwa wujudnya parasit dalam Pas yang semakin menguasai hala parti termasuk dalam isu pemecatannya.

Enggan mengulas panjang, Mahfuz berkata, terpulang kepada Hasan mengenai parasit yang didakwanya berlaku dalam parti.

“Kami tidak tahu, ada atau tidak parasit. Itu terpulang padanya. Kami tiada masalah,” katanya.

Mahfuz berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Hasan Ali yang tidak berhasrat untuk membuat rayuan berhubung pemecatannya.

“Saya hormati keputusannya itu untuk kebaikan dirinya dan meneruskan perjuangan yang kini berbeza dengan parti,” katanya.

Berhubung siri ceramahnya, Mahfuz memberi jaminan, ia berjalan lancar.

“Ahli Pas tidak akan ganggu ceramahnya. Itu saya jamin. Tidak seperti sesi ceramah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sering diganggu,” katanya.

Tiada ulasan: