"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz harap Yunus terjemahkan perjuangan PAS dalam kerajaan Selangor

Syed Mu’az Syed Putra 



KUALA LUMPUR, 18 Jan: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai exco kerajaan negeri Selangor yang baru dapat menterjemahkan perjuangan parti Islam itu dalam sistem pentadbiran negeri itu.

Dalam tulisan terbaru di laman Facebook, Menteri Besar Kelantan (gambar) dan Mursyidul Am PAS ini juga berharap pelantikan Ahmad Yunus yang dilantik menggantikan Datuk Dr Hasan Ali dapat memberi matfaat kepada umat Islam di Selangor.

“Tahniah saya rakamkan kepada Dr Ahmad Yunus Hairi yang telah mengangkat sumpah sebagai exco kerajaan negeri Selangor bagi menggantikan Dr Hasan Ali pada pagi ini.

“Semoga perlantikan beliau akan lebih memberikan manfaat kepada umat Islam di Selangor khususnya dan menterjemahkan misi perjuangan PAS di dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, insya-Allah,” katanya.

Ahmad Yunus mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi ini di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam dengan disaksikan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan barisan ahli majlis mesyuarat yang lain.

Hasan dipecat keanggotaannya pada 8 Januari lalu kerana berulang kali mengeluarkan kenyataan dan pandangan yang bertentang dengan dasar parti Islam itu.

Beliau dilihat tidak akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama walaupun diberikan tempoh 30 hari sehingga 7 Februari depan.

Hasan, Adun Gombak Setia sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Sebelum ini Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman merupakan calon pilihan untuk memegang jawatan exco.

PAS Selangor sebulat suara mencadangkan Abdul Rani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru untuk menggantikan Hasan, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat keanggotaannya.

Tiada ulasan: