JOHOR BAHRU: Barisan Nasional Johor bangga dengan wilayah pembangunan Iskandar tetapi negeri kini mempunyai jumlah hutang mencecah RM1.38 billion sejak RM700 juta hutang dikumpulkan pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar Johor.
Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau berkata, jumlah hutang terkumpul itu memalukan negeri Johor yang dibanggakan sebagai kubu kuat UMNO-BN.
Menurutnya lagi, sebahagian besar dari jumlah tersebut telah digunakan untuk membangunkan infrastruktur air.
“Buat masa ini, Syarikat Air Johor (SAJ) iaitu syarikat berkaitan kerajaan atau GLC yang dipertanggungjwabkan menguruskan air untuk negeri telah mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) dari 49 peratus ke 29 peratus.
“Pada masa yang sama, tarif air untuk Johor juga telah meningkat beberapa kali hampir tiga kali dari Pulau Pinang dan merupakan tarif paling tinggi dalam negara,” katanya kepada Roketkini.
Walau pun kerajaan Johor mendapat mendapat hasil yang baik dari air, beliau mempersoalkan mengapa negeri yang dikuasai UMNO-BN itu masih gagal membayar hutang berkaitan.
Dr Boo yang juga ADUN Skudai, mendedahkan bahawa kini SAJ telah pun diserahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang merupakan agensi bekalan air Kerajaan Persekutuan.
“Pengurusan sumber air merupakan salah satu dari bidang kuasa negeri yang mana kerajaan negeri mempunyai kedaulatan ke atasnya. Bagaimana pun penyerahan ini menunjukkan perluasan kuasa pusat yang semakin kuat. Ini seolah-olah mengkhianati kepercayaan rakyat,” tambahnya.
Selain itu, Dr. Boo menjelaskan, pengurusan kewangan Johor di bawah kerajaan UMNO-BN juga lemah berbanding negeri-negeri Pakatan Rakyat yang hanya diberikan peruntukan tahunan yang kecil.
Beliau memberikan contoh perbandingan di mana kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah berjaya meningkatkan rizab tunai negeri dari Mac 2008 sehingga 2010 dari sekitar RM400 juta kepada RM918 juta pada tahun 2010.
“Tetapi bagi negeri Johor, rizab tunai kerajaan negeri telah jatuh dari RM100 juta kepada RM38 juta sahaja dari tahun 2007 sehingga 2010. Di manakah akauntabiliti kerajaan negeri menguruskan kewangan?” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan