Khalid Samad
Baru-baru ini ada seorang hamba Allah sempat bersembang dengan dan menyuruh saya supaya bersyukur kepada UMNO/BN. Bila saya tanya mengapa, dia menjawab kerana BN telah membangunkan Negara ini dengan pelbagai jenis pemba
ngunan dan seterusnya mula menyenaraikan segala jenis pembangunan yang mampu difikirkannya satu persatu. Selesai dia bercakap, maka saya menjawab balik, “adakah patut saya bersyukur kepada BN yang membina sesuatu dengan harga RM 500 Juta sedangkan benda yang sama boleh dibina dengan harga RM 300 Juta?
Kalau tuan merupakan Pengarah Syarikat dan salah seorang kakitangan tuan membayar RM500 untuk barang yang bernilai RM300 adakah tuan akan berterima kasih dengan dia?” Dia kemudianya diam tidak berkata apa-apa.
Bagi memudahkan seseorang memahami apa yang ingin kita sampaikan, perumpamaan adalah amat berkesan. Dalam soal apa yang berlaku di bawah kerajaan UMNO/BN ini, saya selalu berikan beberapa perumpamaan supaya ianya bertambah mudah untuk difahami. Dua perumpamaan mudah yang boleh difikirkan bersama adalah begini:
Satu kumpulan penduduk yang tinggal di sebuah kampung berpakat melantik salah seorang dari mereka menjadi Ketua Kampung. Kerana kedudukan kampung tersebut yang jauh dari bandar menyukarkan mereka dalam urusan jual beli, maka mereka kemudiannya mengutip duit dari setiap anggota dan diserahkan kepada ketua mereka untuk membeli makanan di bandar berhampiran. Ketua ini mengambil 30% untuk dirinya dan menggunakan baki 70% itu untuk membeli makanan. Setelah dibeli maka diserahkan kepada anggota lain untuk memakannya. Maka ada yang bertanya, “kenapa sikit sangat?” Ketua itu menjawab,kamu sepatutnya berterima kasih dengan apa yang telah saya berjaya belikan untuk kamu. Di kampung sebelah sana, habis semua duit diambil oleh ketua yang mereka lantik! Di sini sekurang-kurangnya kamu dapat juga makanan!
Pada masa yang sama, sebuah rumah di kampung yang berhampiran telah dimasuki perompak. Setelah mengikat tuan rumah sekeluarga maka perompak tersebut mula mengaut barang kemas dan wang yang dijumpainya. Tuan rumah yang diikat mula mengutuk perbuatan tersebut dan menyatakan bahawa perbuatan mencuri harta keluarganya adalah zalim dan tidak bertamadun. Lalu dengan satu nafas perompak itu menjawab, “kamu patutnya bersyukur kerana saya tidak bawa lori dan curi seluuuruh isi kandungan rumah kamu! Saya berbaik hati meninggalkan TV serta peti sejuk dan saya tidak mencederakan ahli keluarga kamu. Kalau pencuri lain, habis licin dia kerjakan kamu!”
Sebenarnya inilah apa yang berlaku di bawah BN. Mereka khianat dan mencuri tetapi mereka ingin rakyat bersyukur kepada mereka dan terus mengundi mereka. Mereka tunjuk pada pembangunan yang telah mereka lakukan tetapi hakikatnya ianya hanya sebahagian (mungkin 70%) dari apa yang mampu dilakukan. Mereka telah mencuri sebahagian (mungkin 30%) dari kekayaan Negara untuk diri sendiri dan kroni mereka tetapi pada masa yang sama mereka minta rakyat bersyukur atas ‘pemberian’ mereka!
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan