"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib terpaksa tabur wang, pertahan Putrajaya

SAFAR JUMAAT
PERDANA Menteri (PM), Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sudah acapkali melaungkan kata-kata ini di hadapan penyokong Umno.... “sudah bersedia? Esok? Minggu depan? Bulan depan? Tahun depan?” sebagai signal bila tarikh PRU-13 mahu diadakan!
Sehingga hari ini, bulan Jun seperti sangkaan ramai orang sebelum ini nampaknya tidak berlaku kerana sehingga hari ini, nampaknya tidak mungkin untuk PM Najib membubarkan Parlimen, walaupun selepas Perhimpunan Sambutan 66 tahun kelahiran Umno, di Stadium Bukit Jalil, 11 Mei lalu.

Jadi bila? Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin merasakan September adalah tarikh paling sesuai untuk diadakan pilihan raya.

Manakala bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula merasakan selepas hari raya Aidil Fitri, lebih kurang September juga.

Dari segi logik akal, PM Najib sudah menabur pelbagai ganjaran dan gula-gula kepada rakyat.

Malahan, hamburan kata-kata haram jadah yang diungkapnya di Jengka 8 baru-baru ini juga didengari seluruh pelosok, kerana adanya siaran langsung.

Maknanya, PM Najib tidak perlu gelabah untuk menghadapi PRU13.

Peneroka Felda digambarkan terlalu gembira dengan durian runtuh. Kakitangan kerajaan digambarkan bukan main seronok dengan apa yang PM Najib berikan.

Polis dan tentera juga sudah diberikan pelbagai habuan.

Rakyat yang pendapatan isi rumah kurang dari RM3,000 juga sudah diberikan BR1M. Murid-murid sekolah disedekahkan RM100 setiap seorang, pelajar universiti diberikan baucer buku RM200 setiap seorang.

Jadi, apa lagi yang perlu ditakutkan untuk membubarkan Parlimen? Adakah PM Najib mahu melihat Himpun Bersih 4.0 diadakan baru beliau bersedia membubarkan Parlimen?

Kalau rakyat boleh memikir, semua pemberian yang PM Najib hulurkan ini ialah kerana kesan perjuangan pembangkang yang kuat.

Buku Jingga adalah “penangan” paling baik buat rakyat, kerana sebolah-bolehnya PM Najib mahu membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan beliau adalah lebih baik dari apa yang dijanjikan dalam Buku Jingga.

Jadi, apa yang beliau lakukan sekarang, tidak lebih daripada “tunjuk baik” sebelum pilihan raya. Jika BN menang semula, tidak dapat dipastikan apakah BR1M akan diberikan lagi atau tidak, apakah ada durian runtuh lagi bagi peneroka Felda atau tidak dan siapakah yang akan menerima “haram jadah” selepas ini, kerana kepimpinan BN tidak menjadi diri mereka yang sebenar bila mereka gabrah dan gelabah.

Sebaik sahaja usai PRU12, BN yang masih berkuasa di peringkat pusat sebenarnya tidak melakukan apa-apa untuk kebajikan rakyat.

Itulah sebabnya, apabila tempoh pemerintahannya semakin sampai ke penghujung, kelam-kabut mereka pusing keliling untuk bertemu rakyat dengan membawa slogan “janji ditepati” kerana selama ini, mereka hanya pandai berjanji dan mereka tidak tepati janji.

PM Najib mendapat bantuan untuk menyerang bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari bekas-bekas ahli KeADILan yang kecewa.

Itu pun tidak cukup. Apabila PM Najib memperkenankan perlantikan Mohamad Ezam Mohd Nor dan Dato’ S Nallakarupan sebagai Ahli Dewan Negara (Senator), ramai bekas orang kuat Anwar merasakan giliran mereka juga akan sampai untuk bergelar YB melalui Dewan Negara.

Itulah sebabnya, masingmasing sibuk menubuhkan NGO untuk “membantu PM Najib” menyerang Anwar supaya PM Najib perasan kehadiran mereka ini.

Berapa banyak lagi wang akan dihabiskan untuk persiapan menghadapi PRU-13, hanya PM Najib yanng tahu.

Sebab, beliau sebagai Menteri Kewangan akan berbelanja semaksimum mungkin bagi memenuhi hasratnya mengekalkan kuasa.

Khabarnya ada satu cadangan datang dari seorang bekas menteri yang masih menjadi Ahli Parlimen supaya PM Najib belanjakan wang yang ada kerana “selepas ini belum tentu kita masih berkuasa”.

Atas cadangan tersebut, kini PM Najib melaksanakannya, dengan menabur pelbagai bentuk “bantuan” yang bermotifkan mahu menang pilihan raya.

Bagi pengundi pula, mereka sudah memberi peluang selama 12 kali pilihan raya kepada Perikatan/BN memerintah.

Maka, cukuplah! Apa yang sudah berlaku dan dapat dilihat berlaku dengan bebanan hutang negara yang semakiin besar, ketika rakyat hidup dalam kesempitan, kali ini mereka mahu menukar kerajaan.

Tawaran Pakatan Rakyat cukup menarik dan jika ia benarbenar berlaku, Malaysia mungkin lebih baik dari apa yang ada sekarang.

Umno sebenarnya berhempas pulas menarik perhatian PAS supaya bekerjasama dengan mereka. Malangnya, PAS sudah membuat pendirian mahu terus bersama-sama PKR dan DAP.

Ini menyebabkan Umno/BN benar-benar tergugat kali ini. Itu sebabnya, PM Najib gabra dan gelabah. Dalam Perhimpunan Sempena 66 Tahun Umno di Stadium Bukit Jalil, ucapan PM Najib cukup hambar dan tawar.

Sambil menyindir Himpun Bersih 3.0, hati kecil PM Najib tentunya berkata; “Orang Umno perlu disediakan bas untuk datang berhimpun tetapi Himpun Bersih 3.0 tidak begitu”.

PM Najib akan terus mencari idea apa lagi “habuan” yang hendak diberikan kepada rakyat kerana beliau sendiri sedar, hanya wang sahaja yang dapat menarik minat pengundi kepada BN dalam PRU 13 akan datang.

Tanpa wang sogokan, mana mungkin pengundi akan kembali menyokong BN. Cuma, seramai mana yang boleh disogok kali ini?

Tiada ulasan: