"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jelmaan Sheikh Ahmed Deedat

Indah.COM
KERJAYANYA bermula sebagai seorang doktor perubatan, namun beliau kemudiannya beralih arah menjadi pendakwah yang disegani dengan kebijaksanaan menghurai dan menjelaskan kemusykilan berhubung isu keagamaan secara spontan berdasarkan rujukan yang logik serta sahih.
Terkenal sebagai Deedat dua (Deedat Plus), pemilik nama sebenar Dr Zakir Abdul Karim Naik, 47, adalah anak kelahiran Mumbai, India. Pada awalnya beliau berguru dengan daie tersohor dunia, Sheikh Ahmed Deedat. Sepanjang hayat dakwah Sheikh Deedat, beliau banyak menghasilkan buku agama dan mencipta kejutan dunia apabila berdebat dengan paderi terkemuka Amerika Syarikat, Jimmy Swaggart. Debat yang bertajuk Is The Bible the Word of God ini berlangsung di hadapan 8,000 hadirin.

Sheikh Deedat memfokuskan perbandingan Islam dan Injil, manakala Dr Zakir Naik bukan sekadar mampu menghafal al-Quran tetapi beliau turut mendalami agama lain, sehinggakan ramai orang bukan Islam terkejut apabila Dr Zakir Naik mampu menghuraikan isi agama anutan mereka.
Bidan terjun jadi penceramah

Sejak zaman belajar lagi beliau dikelilingi oleh individu bukan Islam yang menganut pelbagai agama antaranya Hindu, Budha dan Kristian, dari situ Dr Zakir berminat untuk mengkaji sedikit demi sedikit mengenai isi agama tersebut. Walaupun beragama Islam tetapi disebabkan minat untuk mengkaji agama lain, menyebabkan beliau memahami sesebuah agama itu lebih daripada penganutnya sendiri.

Menurut Jurucakapnya, Shah Kirit Kakulal Govindji atau lebih dikenali dengan Bro Shah Kirit, pembabitan awal Dr Zakir bermula sejak awal 90an lagi apabila menjadi penceramah bidan terjun dalam satu program anjuran beliau sendiri. Ramai mata tertumpu padanya sebaik beliau berceramah, sejak itu ramai pihak meminta beliau berceramah.

“Dr Zakir mempunyai keistimewaan tersendiri, beliau boleh mengulas mengenai banyak isu seperti Islam dan perubatan, hak-hak wanita dalam Islam, teknologi dan Islam serta perbandingan agama. Begitu luas ilmunya.

“Satu lagi tarikan beliau yang mampu membuatkan orang bukan Islam terpaku adalah Dr Zakir menyambut baik sebarang soalan daripada orang bukan Islam, beliau amat cekap menjawab soalan dalam menangani masalah agama berpandukan al-Quran, hadis sahih dan kitab agama lain ditambah dengan hujah yang bernas serta logik,” katanya dalam pertemuan dengan Rehal baru-baru ini.

Menurutnya, ramai orang bukan Islam datang mendengar ceramah Dr Zakir dan ada di antaranya melafazkan kalimat syahadah usai majlis ceramah itu kerana jawapan dan keterangan yang diberikan Dr Zakir sangat logik.

Motivasi kepada Muslimin, penerangan kepada bukan Islam

Allahyarham Sheikh Deedat menggelar Dr Zakir sebagai Deedat Plus dan pernah memberi anugerah. Dalam anugerah tersebut tertulis ”Dr Zakir mampu menuntut ilmu agama dalam tempoh yang singkat iaitu empat tahun, sedangkan Sheikh Deedat sendiri mengambil masa 40 tahun untuk mendalaminya”.
Bro Shah Kirit berkata, Dr Zakir Naik terkenal di peringkat antarabangsa. Taip sahaja di laman sesawang YouTube. Pasti tertera banyaknya video ceramah beliau. Jika mahu merasai sendiri dan melihat bagaimana petahnya Dr Zakir menyampaikan ceramah serta menjawab soalan dengan tepat, sertailah Dr Zakir Naik Malaysian Tour 2012, tanpa sebarang bayaran dan juga terbuka kepada orang bukan Islam.

“Fokus utama kami membawa Dr Zakir ke Malaysia adalah untuk memberikan motivasi kepada Muslimin dan penerangan kepada orang bukan Islam mengenai Islam secara tepat.

“Hari ini, kita lihat terdapat sesetengah pihak yang menentang agama ALLAH. Ini bukan kerana mereka membenci Islam, sebaliknya mereka jahil serta tidak tahu apa itu ajaran Islam,” katanya.

Menurutnya, ramai yang murtad kerana tidak percaya dengan Islam dan kewujudan Tuhan menyebabkan mereka tertarik kepada agama lain, selain mencari tuhan dalam agama lain. Individu sebegini perlu dibantu dengan segera.

Setiap daripada kita adalah pendakwah, sama ada mereka menerima atau tidak itu bukan urusan kita. Sebagaimana firman ALLAH yang maksudnya: “Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi ALLAHlah yang memberi petunjuk siapa yang dikehendaki-Nya…”

(Surah al-Baqarah ayat 272)

Dr Zakir Naik Malaysian Tour 2012

Dr Zakir menubuhkan Islamic School di bombay. Tujuan penubuhannya adalah bagi memberikan pendidikan Islam dan akademik secara formal. Selain itu, beliau juga mempunyai siaran televisyen, Peace TV yang boleh didapati di lebih 190 negara, dianggarkan penonton melebihi 100 juta setiap hari.

Dr Zakir Naik turut menulis dan menghasilkan beberapa buku antaranya Non-Muslim's Common Quaestion about Islam, Quran and Modern Science-Compatible or Incompatible?, Concept of God in Major Religions dan Similarities between Hinduism and Islam.

Ingin mengenali beliau secara dekat, datanglah beramai-ramai ke setiap ceramahnya mengenai perbandingan Islam dan banyak lagi topik menarik sesuai dengan situasi yang berlaku hari ini.

Siri penjelajahan ini adalah anjuran Islamic Information & Services Foundation (IISF) dengan kerjasama Saba Islamic Media.

Tiada ulasan: