NORMAWATI ADNAN, SITI SAFA MOHD NOR & NOOR ‘AINON MOHAMED YUSOF
Kehadiran Mohammad Nizar dirai penyokongnya.
PASIR PANJANG: Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendedahkan kemungkinan seorang bekas menteri besar akan menyertai parti itu, tidak lama lagi.
Bagaimanapun, pengumuman yang dibuat dalam satu majlis di Kampung Permatang, itu tidak mendedahkan nama individu serta menteri besar dari negeri mana.
Mohammad Nizar berkata, penglibatan bekas menteri besar itu diketahui melalui mesyuarat ahli jawatankuasa Pas Pusat, Selasa lalu.
“Seorang bekas menteri besar akan berikan borang masuk Pas tidak lama lagi,” katanya.
Menerusi beberapa laman blog, ada yang menjangkakan menteri besar yang dimaksudkan adalah dari Perak dan Selangor, namun sehingga kini belum ada sebarang pengumuman rasmi berhubung perkara itu.
Sekiranya individu yang dimaksudkan adalah bekas menteri besar Perak, dua nama yang berkemungkinan menyertai parti itu adalah Tan Sri Ramli Ngah Talib yang mentadbir Perak (1983-1999) dan Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Ghazali (1999-2008).
Mengulas mengenai peletakan calon Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Mohammad Nizar berkata, Perak turut mengemukakan seorang calon Cina yang bakal bertanding di Dun Asahan.
Katanya, Richard Wong yang juga Naib Ketua DHPP Perak bakal bertanding bagi mencabar kedudukan Barisan Nasional (BN) di Dun Asahan yang berada di bawah Parlimen Alor Gajah, Melaka.
“Pencalonan ini adalah sebagai bukti bahawa Pas parti untuk semua,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan