"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Beza ceramah PR dulu dan sekarang

Syed Abdullah Syed
Kalau diperhalusi, sambutan pengundi semasa ceramah atau majlis yang diadakan oleh PAS, PKR dan DAP sebelum PRU12 iaitu dalam tahun 2008, sambutan yang diberikan pada tahun 2013 untuk PRU-13 sangatlah ketara bezanya.

Kita cerita tentang fakta sebenarnya dan bukannya auta, untuk memberikan gambaran suasana yang terjadi setakat ini di mana-mana ceruk dalam negara ini. Kalau semasa PRU12 dahulu, setiap ceramah tidaklah seramai mana yang datang dan untuk mendapat seribu orang yang hadir itu pun sudah dikira sangat bagus. Ketika itu selalunya hanya beberapa ratus sahaja yang datang dan itu pun kalau yang naik kepentas memberikan ceramah adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin teritnggi parti. Kini, kita dapat lihat dengan mata kepala sendiri bagaimana sambutan begitu sangat luarbiasa setiap kali adanya ceramah walaupun majlis yang diadakan hanya dihadiri oleh AJK pusat atau Negeri sahaja.

Inilah senario yang berlaku sekarang ini. Orang yang hadir untuk mendengar ceramah berduyun-duyun datang walaupun terpaksa meletakkan keenderaan mereka berkilometer daripada pentas ceramah. Diperhatikan juga rakyat tidak lagi bersembunyi atau menyorokkan muka di dalam gelap gelita di sebalik pokok ataupun berselindung di sebelah bangunan. Apakah ini tanda-tanda bahawa rakyat sudah bersedia untuk berubah dan mengubah Kerajaan yang ada sekarang ini atau hanya suka-suka sahaja untuk mendengar ceramah cara percuma yang tidak dikenakan apa-apa bayaran.

Susah untuk membaca hati rakyat kerana berbagai-bagai persepsi yang kadangkala membingungkan kita dan sukar untuk menganalisiskannya dengan tepat. Apakah sebenarnya berada di benak hati masing-masing dan hanya akan menjadi kenyataan nanti apabila pengumuman keputusan pilihan raya itu diumumkan secara rasmi itu nanti.

Ada yang berkata bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang kerana manifestonya yang berkonsepkan 'akujanji' itu mampu menarik para pengundi nanti. Ada pula yang berpendapat bahawa rakyat kini mahukan perubahan angin yang baru kerana manifesto parti pembangkang juga tidak kurang hebatnya kerana berjanji untuk menghapuskan tol dan menghapuskan pinjaman PTPTN serta akan menyediakan berbagai-bagai kebajikan yang lain termasuk imbuhan berlipat kali ganda untuk rakyat itu nanti.

Agak susah untuk diramalkan siapa sokong siapa sekarang ini walaupun di dalam keluarga kita sendiri dan lagi pun undi adalah rahsia. Begitulah juga jika kita tanya mereka yang pro pembangkang akan memilih parti kesukaan mereka sahaja walau apa pun yang terjadi dan penyokong BN juga akan sentiasa mempertahankan parti itu dalam keadaan apa sekali pun.

Jadi, di sini kita ambil jalan tengah iaitu apa-apa yang kita sedang lihat di sekeliling dan membuat andaian sendiri kerana itu lebih tepat dan lebih realistik. Dalam hal sebegini tiada siapa dapat ramalkan akan pengundi golongan muda dan golongan atas pagar (mungkin ada segelintir) dan kemungkinan kempen diakhir-akhir sebelum hari pengundian akan menjadi penentunya nanti.

Walau bagaimanapun diharap parti-parti yang bertanding itu menerima hakikat apa juga keputusan pilihan raya itu nanti kerana rakyat yang akan menerima manfaatnya kelak. Berkempenlah secara sihat dan sesiapa yang menang kita ucapkan tahniah dan yang kalah cuba lagi diPRU-14 nanti. Buat apa kita bertegang urat dan bergaduh sesama sendiri dan diharapkan selepas PRU-13 terimalah siapa sahaja pemimpin kita asalkan dapat memberikan sumbangan kepada rakyat dan negara serta agama terpelihara sebagaimana yang dituntut oleh Islam.
-harakahdaily-

Tiada ulasan: