Koleksi jam tangan keluaran Hijra Timepiece. Koleksi jam tangan keluaran Hijra Timepiece.
UMUM mengetahui jarum jam kebiasaannya berputar ke arah kiri, tetapi pasti agak menghairankan bagi individu kali pertama melihat jarum jam berpusing mengikut arah lawan jam atau berputar ke arah kanan.
Namun jika diteliti semula, corak putaran itu bukanlah sesuatu yang asing kerana pusingan tawaf yang dilakukan oleh umat Islam ketika mengelilingi Kaabah juga ke arah kanan.
Begitu juga atlet olahraga berlari di atas trek olahraga ke arah kanan malah peredaran bulan mengelilingi bumi juga ke arah kanan.
Menggunakan konsep kembali kepada fitrah ALLAH Hijra Timepiece (M) Sdn Bhd (Hijra Timepiece) menjadi syarikat jam pertama di Malaysia memperkenalkan jam tangan dan jam dinding mengikut arah lawan jam atau dikenali sebagai jam tawaf.
Pengasasnya Abdul Halim Abdul Hamid ketika ditemui wartawan Sinar Harian berkata, menyedari bahawa jam tawaf membawa keunikan serta merupakan fitrah yang ditetapkan, beliau tanpa ragu-ragu terus mengambil langkah untuk mengeluarkan jam tawaf.
Menurutnya, beliau bermula pada 2000 dengan memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kelebihan jam tawaf sebelum menghasilkan jam tawaf dinding.
“Selepas itu saya mula menghasilkan jam tawaf dinding untuk disedekahkan dan diletakkan di dalam masjid dan surau.
“Saya tidak kenakan sebarang bayaran tetapi hanya meminta (pengurusan) masjid dan surau supaya membenarkan saya memberi ceramah pendek kepada jemaah mengenai kelebihan jam tawaf,” katanya.
Cuba ceburi perniagaan online
Menurut Abdul Halim, selepas beberapa tahun memberi pendidikan kepada orang ramai mengenai jam tawaf, pada 2008 beliau memberanikan diri menceburi perniagaan secara online.
“Pada masa itu juga saya mula menjual jam tangan tawaf yang merupakan produk terbaharu kami selepas jam dinding untuk menarik perhatian orang ramai.
“Jam tangan pertama kami ialah jam tangan tahan karat atau bahasa mudahnya jam tangan besi dengan harga RM700, yang memang agak mahal,” katanya.
Menurutnya lagi, jam tersebut dijual pada harga tinggi kerana waktu itu beliau menghasilkan jam tangan sendiri secara kecil-kecilan.
“Masa itu saya tiada modal yang besar kerana saya hanya bekerja makan gaji, jadi saya kumpul sedikit demi sedikit duit saya dan buat jam tangan tersebut,” katanya.
Hasilkan enjin jam tangan sendiri
Abdul Halim berkata, untuk menghasilkan jam tangan biasa, memang tiada masalah kerana terdapat banyak kilang pembuat enjin jam di seluruh dunia tetapi untuk jam tawaf itu, tiada kilang menghasilkan enjin yang membolehkan jarum jam berputar ke kanan.
“Pada waktu itu saya tiada alternatif lain selain daripada mengubah suai sendiri enjin jam tangan sedia ada supaya jarumnya berpusing mengikut pusingan tawaf.
“Disebabkan tiada syarikat berminat hasilkan enjin jam yang berpusing mengikut arah lawan jam pada masa itu, kami tidak mampu menghasilkan jam dalam jumlah yang banyak,” katanya.
Selepas beberapa tahun, salah sebuah syarikat yang menghasilkan enjin jam di Jepun berminat untuk membantu Hijra Timepiece.
“Saya bersyukur kerana ia dapat membantu meringankan beban kami serta menambah produktiviti pengeluaran jam tangan kami.
“Selepas itu kami hanya mengimport sahaja enjin jam tersebut dari Jepun dan melakukan pemasangan di China,” katanya.
Jam tangan tulisan jawi popular
Abdul Halim berkata, buat masa ini Hijra Timepiece mempunyai beberapa jenis jam yang dihasilkan seperti jam tangan, jam dinding bagi masjid dan surau serta jam dinding hiasan yang dikenali sebagai jam dekor.
“Jenis jam tangan kami ialah silikon, kulit dan besi dengan jenis silikon disasarkan untuk golongan remaja manakala jam tangan kulit dan besi disasarkan untuk golongan dewasa.
“Terdapat juga jam tangan pasangan yang kami hasilkan bagi lelaki dan wanita serta sesuai digunakan sebagai hantaran perkahwinan mahupun pertunangan,” katanya.
Menurutnya, jam dinding dan dekor Hijra Timepiece didatangkan dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar.
“Buat masa ini jam tangan kami yang paling laris ialah model HML 01 dan HML 02 yang dijual pada harga RM249.90. Ia menampilkan ciri dan gaya mewah serta eksklusif.
“Jam tangan dan jam dinding kami juga mempunyai dua jenis tulisan iaitu sama ada rumi mahupun jawi," katanya.
Abdul Halim berkata, produk jam keluaran syarikat itu boleh didapati dengan harga serendah RM119 sehingga RM249.90.
Menurutnya lagi, jam tangan dengan tulisan jawi merupakan yang paling banyak diminta oleh pembeli beragama Islam.
Permintaan melebihi penawaran
Menurut Abdul Halim, dari segi permintaan bagi jam tawaf Hijra Timepiece, pada masa ini ia melebihi daripada penawaran yang sedia ada.
“Kebanyakan pembeli kami terpaksa menunggu untuk produk berada di pasaran jika ia kehabisan stok kerana kami belum mampu menghasilkan jam tawaf dalam jumlah yang banyak dalam satu-satu masa.
“Ini kerana kami tidak mempunyai kilang sendiri dan melakukan pemasangan di luar negara, menyebabkan ia menjadi terhad,” katanya.
Abdul Halim turut menambah selain permintaan dalam Malaysia, Hijra Timepiece juga turut mendapat permintaan untuk mengeksport jam tawaf keluarannya ke beberapa negara luar.
“Antara negara yang ada permintaan untuk jam tawaf ialah negara di Timur Tengah, Amerika Syarikat, United Kingdom dan beberapa negara lagi," katanya.
Namun beliau berkata, buat masa ini syarikat itu belum merancang untuk mengeksport jam tersebut kerana mahu pastikan bekalan produk dapat disediakan secukupnya.
Dianggap gila perkenalkan jam dengan putaran jarum terbalik
Setiap perniagaan pasti ada kesusahan serta kepahitan, begitu jugalah yang dirasai oleh Abdul Halim semasa awal perniagaannya.
Malah ada yang mengatakan beliau sebagai orang gila kerana hasratnya mahu memperkenalkan jam dengan putaran jarum terbalik.
“Saya bekerja sebagai pensyarah, jadi apabila ke kelas saya tidak memakai jam tangan dan selalu bertanya kepada pelajar untuk mengetahui waktu.
“Pelajar-pelajar saya bertanya, kenapa saya tidak pakai jam? Saya kemudian membalas bahawa jam yang ada sekarang ini tidak betul pusingan jarumnya.
“Mereka ketawa, tetapi saya tidak ambil hati dan saya terangkan apa itu jam tawaf kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, sedikit demi sedikit beliau berjaya menyedarkan orang di sekelilingnya mengenai jam tawaf.
“Selepas berjaya memberi didikan kepada orang ramai, saya menghadapi masalah dari segi modal pula untuk hasilkan jam tawaf.
“Tetapi saya tidak berputus asa, saya kumpul duit yang ada untuk dijadikan modal.
“Apabila sudah ada sedikit modal, saya hasilkan lima atau enam utas jam dan cuba menjualnya walaupun pada masa itu saya tidak mendapat keuntungan, malah rugi lagi,” katanya.
Tetapi bagi Abdul Halim, itu bukanlah penyebab untuk beliau mengaku kalah malah pengalaman dan cabaran seperti itu dijadikan kayu pengukur untuk berjaya sehingga hari ini.
“Bagi saya, semua yang saya lakukan adalah hak ALLAH dan perjuangan saya belum selesai, masih jauh lagi untuk memperkenalkan jam tawaf.
“Apa yang menjadi dorongan untuk saya berjaya ialah keyakinan terhadap apa yang saya lakukan.
“(Cabaran) ialah lumrah dan fitrah dari ALLAH sebelum mencapai kejayaan,” katanya.
Sasar bina kilang pemasangan jam
Bagi perancangan masa depan, Abdul Halim berkata, beliau menyasarkan untuk membina kilang pemasangan jam tawaf di dalam negara menjelang hujung tahun ini.
“Jika berjaya, ia akan membantu menambahkan produktiviti dan pengeluaran produk kami untuk memenuhi permintaan sedia ada.
“Kilang tersebut tidak memerlukan ruang yang besar memandangkan pemasangan jam tersebut banyak menggunakan peralatan robotik,” katanya.
Menurutnya lagi, untuk membina kilang pembuatan jam tersebut, syarikatnya memerlukan pelaburan sebanyak RM10 juta.
“Saya masih mencari pelabur yang berminat untuk melabur dalam pembinaan kilang tersebut.
“Selain itu, saya turut menyasarkan dalam tempoh tiga tahun selepas kilang pemasangan tersebut dibina, saya akan mampu membuka kilang penghasilan enjin dan pemasangan yang serba lengkap dengan lokasi di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Dari segi jualan, beliau berkata Hijra Timepiece mampu memperoleh jualan sebanyak RM250,000 hingga RM300,000 sebulan.
“Setakat ini dalam sebulan, kami mampu menjual sekitar 2,000 hingga 3,500 jam tangan dan dinding.
“Sasaran saya adalah untuk menjual sekurang-kurangnya 10,000 jam tawaf tetapi mungkin bukan dalam masa terdekat kerana kapasiti pengeluaran kami masih lagi terhad,” katanya.
1 ulasan:
Apakah kebaikannya jam yg jarumnya berpusing mengikut arah pusingan tawaf atau arah putaran planet, langsung tidak dinyatakan. Yg diperincikan adalah bab pembuatan dan pemasaran. Ia tetap menunjukkan masa 24 jam sehari dan tidak pula menambahsihatkan badan, kos sara hidup jadi lebih rendah umpamanya. Apa yg akan berlaku nanti, akan ada mereka yg masih menuntut merujuk kpd buku2 ilmiah biasanya bidang kejuruteraan mekanikal dan elektrikal yg menyatakan sesuatu aci atau vektor contohnya berputar mengikut arah lawan pusingan jam, jam yg mana satu hendak diikutkan? Tidakkah ia akan mengelirukan pelajar tersebut, sedangkan buku rujukan digunakan secara global. Itu belum diambil kira lagi jika mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara. Balik kpd persoalan pokok, apakah kebaikan atau kelebihannya jam tawaf kpd manusia? Amat teringin untuk tahu.
Catat Ulasan