"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Campak wang tunai RM235,280 dalam hutan

Foto
Seorang juruteknik syarikat kawalan keselamatan menangis kesal ketika disoal-siasat selepas diberkas polis kerana dipercayai melarikan wang tunai RM235,280 yang diambilnya dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin pendeposit wang tunai (CDM) di Kampar serta Ipoh, Jumaat lalu.

Berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 23 tahun itu mengaku melarikan semua wang tunai terbabit ketika bertugas memungut wang dari bank berkenaan pada 3 Jun lalu sebelum menyembunyikan duit itu di dalam hutan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak Superintendan Maszely Minhad berkata, ketika disoal siasat, suspek mengaku melakukan pecah amanah melarikan wang tunai terbabit dengan menyorokkan di dalam jaket semasa proses memungut wang tunai dilakukan.

“Suspek yang baru bekerja selama 14 bulan di syarikat kawalan keselamatan terbabit hanya menangis ketika ditanya motif sebenar dia melakukan perbuatan jenayah itu serta mendakwa kesal melakukannya hingga menyebabkan tiga rakan sekerja lain yang tidak bersalah turut diberkas polis.

“Pemuda yang masih belum berkahwin dan menetap bersama keluarganya di Malim Nawar, Kampar itu juga mendakwa tidak mempunyai masalah kewangan atau hutang hingga mendorongnya melarikan wang berkenaan, namun kami tidak tahu sama ada itu hanya lakonannya saja selepas berjaya dicekup,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Maszely berkata, dalam kes terbabit, pihaknya menerima laporan kehilangan wang tunai daripada syarikat kawalan keselamatan beroperasi di Ipoh mengatakan wang pungutan mesin ATM dan CDM pada 3 Jun lalu dikesan ghaib.

“Syarikat terbabit pada awalnya membuat siasatan dalaman, namun gagal mengesan duit berkenaan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat pada jam 8.59 malam, Rabu lalu.

“Hasil siasatan awal pada jam 5.20 petang, Khamis lalu, polis memberkas tiga pengawal keselamatan yang bertugas membuat pungutan wang pada hari berkenaan, namun semua mereka mengaku tidak mengetahui berhubung wang yang dilarikan itu.

“Polis kemudian pada keesokan harinya memberkas juruteknik berusia 23 tahun yang turut bertugas pada hari sama dan hasil soal-siasat, suspek mengaku melarikan semua wang berkenaan serta mencampakkannya ke dalam hutan,” katanya.
-hmetro-

Tiada ulasan: