"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Percubaan kedua untuk pecahkan Pakatan Rakyat?

ZULKIFLI YAHAYA
Kepelbagaian aliran pemikiran dalam masyarakat Islam bukanlah perkara baru. Menyatukan pemikiran ummah adalah agenda yang tidak dapat dilaksanakan sejak kewafatan Rasulullah s.a.w. hingga ke saat ini. Jika adapun persetujuan di kalangan umat Islam maka ia adalah bersetuju untuk berbeza.

Di kalangan umat yang mencintai Islam juga berbeza pandangan. Ada golongan yang pertahankan Islam yang didakwa asli. Pemikiran ini ialah bahawa Islam itu sebagai agama yang tidak berubah dalam semua perkara. Mereka menafikan sebarang bentuk ‘flexibility’ walaupun terhadap perkara yang diharuskan. Antaranya, mereka yang kuat berpegang kepada mazhab yang diikuti.

Satu lagi kumpulan yang mengaku berpegang kepada al-Quran dan Sunnah semata-mata. Pegangan mereka lebih ‘asli’ daripada berpegang pada mazhab. Mereka menolak semua pandangan ulamak termasuk menafikan mazhab-mazhab. Golongan ini berpendapat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak mempunyai mazhab.

Bermazhab atau tidak, asal kedua-duanya tidak bermusuhan antara satu sama lain, maka ia tidak mendatangkan mudarat besar terhadap Islam. Kedua-duanya tetap mencintai dan meyakini Allah dan Rasul.

Golongan sebaliknya adalah pihak yang berpegang bahawa Islam itu ajaran yang terlalu mudah. Oleh kerana ia mencakupi dunia dan akhirat, maka semua perkara dilihat sesuai dengan Islam tanpa memperdulikan soal perincian hukum-hukumnya.

Golongan ini mentafsirkan Islam mengikut pemikiran semata-mata, berasaskan rasionalisme. Maka muncul masyarakat Islam yang kononnya berjaya mengislamkan sosialia, kapitalis, komunis dan sebagainya. Maka lahirlah kapitalis Islam, sosialis Islam dan komunis Islam.

Mereka menganggap unsur- unsur yang disebutkan di atas ada dalam Islam dan sesuai dengan ajaran Islam. Kewujudan aliran pemikiran sebegini dalam masyarakat Islam, meskipun songsang ia boleh dianggap ‘biasa’ kerana kesan penjajahan pemikiran yang teruk sehingga tidak terbendung.

Namun, mutakhir ini apabila aliran pemikiran Islam yang bersadur ini turut meresap masuk ke dalam jamaah Islam lalu mencetuskan kontroversi maka ia menjadi perkara luarbiasa.

Saya tertarik dengan kupasan Ustaz Zulkifli Ismail Muhammad, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat berhubung isu pejuangan Islam palsu versi sosialis. Baginya, walau segelintir cuma, ia tetap ancaman yang perlu diberi perhatian. Benarkah ia satu ‘ancaman’? Ia masih terdedah kepada perbahasan dan biarkan perbahasan berlaku.

Jangan nafikan bahawa aspek yang keterlaluannya, apabila mereka menggerakkan promosi seolah-olah sosialis muncul sebagai penyelesai segala masalah, bahkan efisien dan lebih memahami isu sejagat.

Lebih parah apabila ulamak pula menjadi mangsa tikaman mereka seolah-olah tidak memahami realiti dan tuntutan keadilan sosial. Kadangkala menjadi mangsa penghinaan kalangan tersebut dengan istilah ‘ulamak envelope’ (habuan duniawi jadi keutamaan).
Para pemimpin sosialis dijulang kerana kononnya berani mengisytiharkan harta, sedang para pemimpin perjuangan Islam dikecam kerana tidak menjejakinya.

Tidak dinafikan isu-isu keadilan sosial dan kemanusiaan sejagat sangat lantang diperjuangkan golongan tersebut. Namun, andai berlaku kelemahan aktivis gerakan Islam (sepatutnya) menjuarainya, ia adalah kerana kelemahan manusianya, tidak kerana sosialisme terlalu unggul sehingga hingga Islam pula seolah-olah jadi sinisan.

Sosialisme mekar bersama perjuangan dalam parti-parti rakan Pakatan. Banyak aspek yang seiring dengan tuntutan perjuangan PAS. Maka gerakkan aspek persamaan tuntutan tersebut. Mengapa harus memfokuskan titik bengik yang boleh membantutkan perjuangan meruntuhkan kezaliman?

Musuh sedang berusaha memecahbelah Pakatan Rakyat melalui pelbagai cara. Setelah isu hudud menampakkan sedikit kejayaan bagi BN untuk merenggangkan Pakatan, maka menggunakan perbezaan sosialisme-Islam menjadi percubaan kedua.

Tiada ulasan: