Mohammad Tazli Azizan
Baru-baru ini saya diajukan soalan oleh beberapa orang junior saya di UK, apakah yang menyebabkan saya berubah pandangan dan menyertai AMANAH.
Saya berpeluang menyambung pelajaran di United Kingdom 3 kali. Semasa ijazah sarjana muda di University of Sheffield (1 tahun di UMIST, Manchester), graduasi pada 2003, ijazah sarjana di University of Newcastle upon Tyne, graduasi pada 2005, dan seterusnya saya melanjutkan pengajian PhD saya di Imperial College dari tahun 2009 - 2013.
Sejak dari zaman undergraduate, saya telah bergiat aktif di dalam jemaah al-Hizbul Islami (HIZBI), dan pernah memegang jawatan di peringkat pusat ketika di tahun akhir pengajian. Ketika itu juga, Dato Seri Noh Omar mengumumkan bahawa Hizbi ini gerakan haram, dan sejurus selepas itu, kami semua bergerak 'bawah tanah'.
Setiap kali saya ke UK untuk menyambung pengajian, saya akan mencari rakan-rakan sejemaah untuk memudahkan urusan saya, apatah lagi untuk meneruskan kesinambungan gerak kerja dakwah semasa di sana.
Banyak kenangan manis, Alhamdulillah, yang membentuk diri saya. Daripada situ, saya mengenal dakwah dan tarbiah. Daripada situ, saya mengenali PAS. Daripada situ, saya mengenali isteri saya Putri Nurizatulshira.
Sekitar zaman saya sebagai seorang pelajar undergraduate, kami sungguh beruntung kerana, pimpinan-pimpinan PAS pada masa itu, seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Almarhumah Dr Lo'Lo' Ghazali, Dato Mahfuz Omar, Dr Siti Mariah, Dato Husam Musa, Hanipa Maidin, dan ramai lagi pimpinan datang ke program kami setiap kali kami mengadakan perhimpunan berkala (winter gathering, spring gathering, summer gathering dsbnya). Dengan berbekalkan wang elaun kurang daripada 400 pounds sebulan, banyaknya kami belanjakan untuk mengikuti program-program sebegini, untuk memantapkan fikrah kami.
Melihat pimpinan-pimpinan yang pragmatik inilah menjadikan hati saya tertarik untuk bersama PAS.
Mengetahui gerak kerja mereka yang professional, dan meliputi segenap lapisan masyarakat, saya sungguh teruja. Saya sendiri kemudiannya menjadi ajen perkaderan yang menarik adik-adik junior menyertai Hizbi, dan kemudiannya menjadi ahli yang komited dalam PAS.
Pada ketika itu, kami menyedari akan kewujudan pelbagai jemaah lain di UK, seperti MSM (Majlis Syura Muslimun) dinaungi JIM, yang sekarang ini ialah IKRAM, yang dahulunya adalah IRC. Kami menyedari kewujudan jemaah seperti HALUAN, ABIM, Hizbut Tahrir dan sebagainya. Namun hati sungguh kuat tetap bersama dengan PAS, dan adakalanya lisan ini mengeluarkan kata nista kepada jemaah lain, kerana sedar atau tak sedar, rasa ta'sub kepada jemaah PAS menguasai diri saya sendiri.
Menolak mentah-mentah dan tidak mengiktiraf jemaah lain. Kelemahan jemaah lain (contohnya IKRAM yang tak menyertai politik, Haluan yang merupakan serpihan ABIM, Hizbut Tahrir adalah serpihan Ikhwanul Muslimin), merupakan modal saya untuk menarik adik-adik menyertai jemaah ini.
Walau bagaimanapun, saya membina jambatan dengan jemaah lain, apabila saya kembali ke universiti di tempat kerja saya, yang mempunyai ramai sahabat daripada jemaah lain, terutamanya IKRAM. Sedikit demi sedikit, saya membina rasa hormat kepada mereka, atas professionalisme mereka, dan akhlak mereka.
Kemampuan mereka memegang jawatan yang tinggi di peringkat universiti atas usaha mereka, namun masih berpegang kuat dengan akhlak Islam, mewujudkan tandatanya kepada saya, bagaimanakah bentuk pentarbiyahan yang mereka lalui. Namun jauh di sudut hati, saya masih menidakkan mereka, kerana mereka tak ambil 'port' tentang siasah/politik, itu hujah saya.
Saya masih teringat, sekitar tahun 2009 hingga ke awal tahun 2012, saya adalah seorang yang sangat vokal apabila saya kembali pulang ke kota London untuk PhD saya. Saya tidak bersetuju dengan banyak perkara, dan masih terikat dengan sikap konservatif dalam PAS.
Meskipun begitu, saya tidak lagi memadamkan hubungan saya dengan sahabat daripada jemaah lain. Saya bersahabat baik dengan rakan-rakan dari IKRAM dan HALUAN di London. Adakalanya kami berkongsi pendapat agar dapat saling tegur menegur.
Dalam pada masa yang sama, saya juga melayan pimpinan-pimpinan PAS yang datang ke UK, hatta saya bawa ke rumah saya sendiri, kerana rumah saya dekat dengan Heathrow Airport. Namun begitu, semakin lama saya meneliti, semakin saya cuba menilai dan mengkaji pemikiran dan cara mereka, saya mula merasakan satu kepelikan terutamanya di kalangan ustaz-ustaz yang datang ke UK. Cara kerja mereka, cara fikir mereka, cara perbualan mereka, ia sudah tidak dirasai sama dengan zaman undergraduate saya dahulu. Saya merasakan ada perubahan ketara dalam cara pemikiran PAS sendiri. Sejak daripada situ, saya sudah mengesan sindrom printscreen dan sindrom label - melabel, namun saya diamkan.
Berbekalkan ilmu mengkaji yang diperolehi semasa PhD ini, saya cuba menyelidik sedikit demi sedikit apa yang berlaku di tanahair, namun masih meletakkan 'reservation' agar saya dapat melihat dengan mata kepala sendiri bila pulang ke tanahair kelak.
Pada bulan oktober 2012, peristiwa kebakaran makmal saya, yang menyebabkan pengajian PhD saya tertangguh, menjadi satu titik permulaan muhasabah dalam diri saya. Saya tahu, Allah mahu memberitahukan sesuatu kepada saya. Saya mula sedar, sebelum ini saya mahukan semuanya di dalam kawalan saya, sedangkan sebenarnya, banyak perkara yang kita tidak dapat kawal, dan menunjukkan betapa manusia itu lemah. Saya mula muhasabah diri, atas sikap-sikap merendahkan orang lain dan jemaah lain, dan mulai sedar bahawa untuk ke syurga Allah Taala, adalah bergantung kepada diri kita sendiri. Setiap amalan kita, pilihan kita, niat kita itulah yang menentukan pengakhiran kita bagaimana. Samada kita berada dalam jemaah atau tidak, jaminan syurga Allah SWT adalah kekuatan aqidah dan akhlak kita. Berapa ramai yang matinya husnul khatimah, sedangkan mereka bukanpun ahli jemaah mana-mana jemaah?
Apabila saya pulang ke tanahair, saya menjadi kurang aktif atas beberapa sebab peribadi (berjauhan dengan isteri buat sementara waktu dan menjaga anak-anak kecil), namun tidak terlepas untuk menyertai muktamar di peringkat kawasan, dan menyertai kumpulan whatsapp mereka. Apabila melihat dengan mata kepala sendiri, gaya pemikiran dan label-melabel yang mereka lakukan, saya sedar, yang saya perlu berangkat pergi. PAS yang saya kenali, tidak sama dengan PAS yang ada sekarang. Saya gunakan kudrat yang ada untuk menegur, namun akhirnya saya yang terpaksa berundur.
Kemuncaknya apabila AMANAH tertubuh, saya tidak tunggu lama untuk menyertainya. Alhamdulillah, kini sahabat-sahabat daripada wadah lain turut serta bersama kami dalam menggerakkan AMANAH.
Kepada sahabat-sahabat yang saya pernah sakiti hatinya, saya mohon maaf. Ia adalah kelemahan diri saya sendiri, yang pernah menjadi taksub dengan jemaah yang saya ikuti. Kini kami berdua menyertai AMANAH dengan full conscious mind, bahawa sekiranya parti ini juga melencong haluan, kami akan perbetulkan supaya ia kembali kepada haluan yang asal, selagi mana ia adalah di bawah kudrat kami.
Saya memohon keampunan dari Allah SWT atas segala kelemahan diri saya.
Tidak ada satu parti politik pun yang sempurna. Masing-masing ada kelemahannya yang tersendiri, apatah lagi AMANAH sebagai parti baru yang baru nak bertatih tetapi perlu dipercepatkan perjalanannya.
Namun begitu, parti itu akan diterima ramai sekiranya ia mengamalkan keterbukaan dan dinamik untuk berubah, selagi mana tidak melanggar batas syariat. Parti yang merendah-rendahkan orang lain, dan parti lain, dan hanya merasakan parti ini yang terhebat, terbaik, terawal, tertua, dan hanya parti ini parti yang halal, perlu sedar bahawa, tidak semua orang akan menerima indoktrinisasi yang kita lakukan. Parti yang banyak membuat musuh, dan menjatuhkan orang lain dengan label yang pelbagai, hanya merendahkan akhlak parti kita sendiri.
Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada PAS.
Terima kasih atas segala pengalaman yang diperolehi sepanjang saya berada di medium dakwah dan tarbiah PAS
Dan mudah-mudahan, Insha Allah pada masa-masa akan datang, jambatan ini akan bercantum semula, antara AMANAH dan PAS, untuk Islam yang tercinta, rahmatan lil 'alamin.
http://wadahbaru.blogspot.my/
1 ulasan:
Elok lah ...duduk lah dgn DAP...esok solat hajat..majlis maulidur rasul..maal hijrah.
.panggil kit siang dan guan eng uruskan
Catat Ulasan