"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengapa AMANAH begitu penting?

Shazni Munir Mohd Ithnin

Umum melihat Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai rejuvenasi atau proses meremajakan semula politik Islam dalam ruang demokrasi moden. Beban yang dipikul AMANAH pastinya bukan calang-calang anak rentetan kecamuk ekstrimisme yang sedang melanda dunia. ISIS bukan satu-satunya contoh. Spesis seperti Donald Trumph yang semakin membiak menjelaskan bahawa sikap ekstrim ini boleh menimpa sesiapa sahaja tidak mengira agama atau latar belakang kepercayaan.

Mendakwa sebagai sebuah parti Islam berwajah demokrat dan lebih terbuka, AMANAH pastinya mengundang pengharapan yang tinggi bagi penduduk bandar dan pinggir bandar yang lebih selesa melihat parti bernuansa agama berjuang dalam kerangka lebih terbuka dan menyeluruh. Rata-rata rakyat dalam konstituen ini merupakan golongan independen dan kritikal. Mereka lebih cenderung melihat perjuangan menuntut tatekelola yang baik (good governance), tidak rasuah, telus dalam pentadbiran dan bukti-bukti kejayaan daripada retorik politik sebagai elemen Islamik yang wajar ada pada sebuah parti Islam.

Di sisi yang lain, tempat-tempat yang bakal ditandingi AMANAH dalam pilihanraya umum akan datang sebahagian besarnya merupakan kawasan kampung dan pedalaman. Kebanyakannya masih melihat politik sebagai institusi kebajikan yang boleh membantu kehidupan mereka sehari-hari. Politik kebergantungan yang disuburkan UMNO telah tertancap kemas di minda. Mereka mungkin tidak terlalu memandang isu rasuah, penyelewengan kuasa dan kezaliman politik itu sebagai faktor yang boleh mempengaruhi pemberian undi meski mereka mengakui bahawa perbuatan-perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang buruk dan dilarang agama. Di sinilah duduknya dilema AMANAH sebagai sebuah parti Islam generasi baru.

AMANAH mahu kekal dilihat sebagai parti Islam yang mampu dipercayai oleh masyarakat madani sebagai berkemampuan tinggi untuk mentadbir negara. Justeru penting untuk AMANAH mengangkat kecemerlangan prestasi ‘dutanya’ di Parlimen, DUN, Majlis-Majlis Perbandaran/Daerah, JKKK, Ketua Kampung dan lain-lain agensi di negeri yang ditadbir koalisi Pakatan Harapan. Jika AMANAH mampu membuktikan prestasi pimpinan-pimpinan di setiap peringkat ini, maka kepercayaan dan sokongan warga bandar dan pinggir bandar pada AMANAH pastinya merupakan hal yang tidak lagi perlu digusarkan.

Namun demikian, kecemerlangan prestasi di setiap peringkat itu belum tentu dilihat penting untuk memperoleh undi di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman yang akan ditandingi AMANAH kelak. AMANAH pastinya tidak akan mampu menandingi UMNO jika politik kebajikan berorientasikan wang dijadikan kayu ukur dalam perlumbaan politik. Kalau pun AMANAH cuba untuk ‘mengejar’ UMNO dalam permainan kebajikan ini, parti itu akan tetap tertinggal kerana kemampuan kewangan UMNO ternyata sangat kukuh, tambahan pula setelah menerima ‘derma pak Arab’ berjumlah RM2.6 billion yang telah pun diakui presidennya.

Pendek kata, jika AMANAH mampu membuktikan prestasinya melalui praktis agama yang holistik dalam kerangka pentadbiran, penduduk bandar dan pinggir bandar boleh sahaja memberikan keyakinan yang lebih kepada AMANAH, namun keadaan ini belum tentu menjamin untuk AMANAH menang di kawasan-kawasan kampung dan luar bandar jika rentak UMNO (politik kebergantungan) masih mendominasi politik setempat.

Maka dalam konteks ini, penting untuk AMANAH memainkan peranan sebagai jambatan bagi menghubungkan paradigma yang berbeza antara penduduk di bandar-bandar dan kampung-kampung. Model ‘islamik’ menurut kefahaman kedua-dua konstituen ini perlu diselaraskan demi maslahat kenegaraan yang lebih besar. Mekanisme unik perlu ditelusur AMANAH agar seluruh penduduk Malaysia khususnya di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman melihat tatakelola yang baik seperti amanah dan tidak rasuah, adil, telus, tidak menyeleweng, mampu merangka dan melaksanakan model ekonomi terbaik serta elemen-elemen lain itu sebagai juzuk penting yang disuruh agama.

Untuk jangka masa panjang, jika AMANAH tidak memainkan peranan sebagai jambatan penghubung kepada kedua-dua kelompok ini, konflik bandar-luar bandar (urban-rural conflict) mampu memburukkan keadaan negara yang telah sedia parah dihambat konflik perkauman. Ketidakselarasan pemikiran ini juga perlu ditangani dalam hal-hal kebebasan yang menjadi wacana penting warga bandar agar tidak dilihat penduduk kampung dan pedalaman sebagai ‘musuh agama’ yang boleh diambil kesempatan oleh pemain-pemain politik garis keras.

Negara tidak akan stabil jika pemimpin yang dipilih penduduk-penduduk bandar dan pinggir bandar adalah pemimpin-pemimpin yang berorientasikan kenegaraan namun penduduk kampung dan pedalaman pula – jika masih kekal dengan politik kebergantungan – memilih pemimpin yang ‘lebih banyak memberi’.

AMANAH perlu memanfaatkan kepercayaan warga bandar pada dirinya (setelah prestasinya terbukti) untuk meyakinkan penduduk luar bandar betapa memberikan undi kepadanya penting demi menyelamatkan negara.

Strategi terbaik perlu diteliti agar prestasinya di Parlimen, DUN, Majlis-Majlis Perbandaran/Daerah dan lain-lain agensi ini dilihat penting oleh penduduk kampung dan pedalaman jika serius mahu ke Putrajaya. Soalnya kini, adakah program-program AMANAH di kampung-kampung dan pedalaman hari ini telah cukup untuk AMANAH dilihat penting dan bermakna bagi mereka? Adakah aktiviti-aktiviti AMANAH di kawasan tersebut telah cukup untuk mereka berani keluar daripada politik kebergantungan? Kita tidak tahu. Mungkin ya atau mungkin tidak.

Menjadi jambatan antara kedua-dua kelompok masyarakat yang berbeza kutub pemikiran ini pastinya tidak akan membuahkan kemenangan dalam sekelip mata. AMANAH mungkin perlu meletakkan sasaran yang realistik untuk menang di kesemua kerusi DUN dan Parlimen yang akan ditandingi nanti secara berperingkat-peringkat dalam beberapa pilihanraya umum akan datang. Sungguh pun demikian, sekiranya AMANAH telah bergerak menjadi jambatan penghubung itu, AMANAH secara beraninya telah mula berusaha menyelamatkan negara dalam dimensi lain yang lebih unik
-freemalaysiatoday-

Tiada ulasan: