"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Air mata, doa rakyat jembel iringi pertabalan Sultan Muhammad V


Allahuakbar. Allahuakbar, laungan takbir bergema di mana -mana, membesarkan sang penggenggam nasib, pencipta buana yang maha perkasa. Ribuan rakyat Kelantan yang berdesakan di kiri kanan jalan raya menuju ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa dengan seribu keterujaan pada pagi di mana hari bersejarah dilakarkan.
Ada yang memisat-misat mata, cuba menyeka air mata yang mengalir perlahan dan menahan sebak. Perasaan bercampur baur, gembira dan sedih melihat Sultan yang merajai hati rakyat itu berdesut di aspal dengan diiringi skuad pengiring. Kesedihan itu mungkin bertandang sekali gus dengan ingatan pada almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sangat rapat dengan Tuanku Sultan Muhammad V.

Tak sukar membaca perasaan rakyat Kelantan pada Sultan mereka. Satu-satunya Sultan yang paling hampir dengan denyut nadi rakyat, memancing pesona masyarakat siber dengan visual-visual kezuhudan Sultan dan tidak membina tembok kaca dengan rakyat. Syukur ya Rabb, kini dalam sejarahnya negara ini mempunyai YDPA yang solat berjemaah di masjid, melazimi majlis-majlis ilmu, membaca mathurat pagi dan petang, rapat dengan asatizah, mampu menyembelih binatang korban, mampu menjadi imam solat dan mempunyai fikrah Islam.

Sultan Muhammad V lahir pada tahun 1969 dan beliau merupakan anak sulung, ditabalkan sebagai Putera Mahkota pada tahun 1985. Semasa hayat almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, baginda sering bertamu ke Pulau Melaka dan berdamping dengan ulama kesayangan ummat itu. Dengan penampilan sederhana, Tuanku sering muncul di mana-mana masjid untuk solat berjemaah tanpa protokol dan skuad pengiring. Guratan wajahnya tenang berdoa dan membaca al Quran usai solat dan tak pelik jika rakyat Kelantan yang kental beragama menyayangi Baginda.

Kadang sosok ini muncul tiba-tiba di teratak rakyat miskin, menziarahi yang uzur terlantar. Tak kekok menurunkan jenazah rakyat jembel ke liang lahad serta mendoakan rakyat dalam pelbagai situasi. Semasa Kelantan diterjah banjir pada penghujung Disember 2014, Baginda turun ke medan operasi untuk membantu tanpa sorotan lensa. Dalam rintik hujan, mencicip kopi hangat daripada cawan polistrine, menenangkan rakyat yang diuji dengan bah besar kedua selepas banjir Merah 1926.

Harapan kepada Tuanku Sultan Muhammad V sangatlah besar, rakyat yang terdera dengan pelbagai kesusahan hidup akibat polisi dan salah urus negara oleh politisi yang rakus. Citra dan harapan untuk melihat tanah leluhur ini dipayungi angin kesejahteraan Islam, apatah lagi dengan serangan pelbagai kumpulan anti Islam yang semakin berani memunculkan wajah tengik mereka.

Semoga tanah air ini semakin membaik dengan roh pengamalan Islam dan membumikan Syariah. Sultan Muhammad V menaiki takhta dengan iringan doa seluruh rakyat yang cintakan kedamaian dan pemberdayaan segenap upaya untuk melaksanakan Islam yang syumul. Selasa 13 Disember, laungan takbir menggema di mana-mana belahan negara ini, di jalanan, masjid, kedai makan, warung pisang sesikat sehinggalah ke Istana Negara Kuala Lumpur. Ada segunung harapan dan sebanjaran nuansa untuk melihat tanah watan ini dalam pengampunan dan kerahmatan Tuhan.

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan Pusat.

Tiada ulasan: