FMT Reporters
PETALING JAYA: Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor mengkritik Amanah terdesak sehingga sanggup mempergunakan artis untuk meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ia susulan kenyataan pemimpin kanan Amanah, Khalid Samad yang tidak menolak kemungkinan parti itu akan menggunakan pengaruh juara Gegar Vaganza (GV) musim ke-4, Wan Aishah Wan Ariffin yang lebih dikenali sebagai Aishah untuk menarik sokongan golongan muda.
“Tak kisahlah sama ada menjadi liabiliti atau aset kepada Amanah, harap badut-badut politik dari Amanah tidak menggunakan populariti artis untuk meraih perhatian rakyat atau menarik pengundi muda.
“Amanah terlalu terdesak untuk meraih populariti dengan menggunakan artis yang menjadi ahli Amanah.
“Apakah dengan terus menjadikan artis sebagai ayam tambatan mereka boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat? Boleh ringankan beban yang Amanah dakwa ditanggung rakyat selama ini?
“Sedarlah dari mimpi wahai Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, rakyat tidak bodoh untuk memberikan undi kepada pembangkang hanya kerana dapat mengheret artis ke pentas ceramah kamu atau kancah politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Khalid menerusi satu sidang media berkata, Aishah bukan liabiliti kepada parti itu kerana mendakwa reputasinya lebih baik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita harap begitu (aura Aisyah dapat tarik pengundi muda dan atas pagar) dan insya Allah sejauh mana Aisyah sendiri sanggup menyumbang bersama dalam kempen, kita akan bantu dia sekali. Semua orang, saya rasa ada niat melakukan kebaikan,” katanya.
Rizal mengingatkan artis supaya tidak termakan pujuk rayu pembangkang, terutamanya Pakatan Harapan kerana gabungan itu tidak mampu membawa kemajuan kepada negara.
“Kepada para artis pula, cukup-cukuplah dipergunakan pembangkang untuk meraih undi. PRU13 telah membuktikan segala-galanya dengan rakyat terus memilih parti yang boleh membawa kemajuan dan kemakmuran kepada negara, iaitu Barisan Nasional.
“Tahniah kepada Aishah kerana telah berjaya membuat ‘come back’ ke arena persada seni negara. Nasihat saya, teruskan dengan kerjaya sebagai artis kerana itu bakat anda.
“Jangan terlalu asyik dengan pemimpin politik Amanah yang ‘tertendang’ keluar dari arus politik dan masih terkial-kial untuk buat ‘come back’. Usah biarkan populariti anda dipergunakan Amanah, cukup sekadar mereka selamanya digelar sebagai ‘suruhan’ DAP,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan