"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki dibunuh di khalayak ramai di stesen petrol JB

Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam dan dilanggar menggunakan sebuah kereta dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru malam ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an - dipercayai isterinya - sedang mengisi angin tayar kereta jenis Volkswagen mereka di stesen berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata kedua-duanya kemudian secara tiba-tiba didatangi empat lelaki yang cuba menarik mangsa masuk ke kereta jenis BMW mereka.

Namun mangsa dilaporkan melawan dan akibat daripada itu, berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.

Melihat kejadian itu, wanita yang bersama mangsa terus melarikan diri meminta bantuan orang awam.

"Dalam pergelutan itu, mangsa berjaya meloloskan diri namun suspek kemudian naik ke kereta mereka dan membuat pusingan di stesen minyak berkenaan sebelum bertindak melanggar lelaki terbabit.

"Mereka kemudian mengundurkan kenderaan dan melanggar mangsa sekali lagi sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita di lokasi sebentar tadi.

Mohd Khalil Kader berkata berikutan kejadian itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Daripada pemeriksaan, katanya. polis menemui satu kesan tikaman pada dada kiri mangsa.

Menurut beliau, polis kini sedang mengambil keterangan daripada wanita asing berkenaan yang dilaporkan masih trauma akibat kejadian itu.

Motif kejadian masih disiasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-Bernama

Tiada ulasan: