"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh anak sendiri, suami isteri ke tali gantung

Bernama

Pasangan itu didapati bersalah membunuh anak sulung mereka yang berusia lapan tahun. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Sepasang suami isteri dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh anak lelaki mereka berusia lapan tahun di premis pusat urut tempat mereka bekerja, empat tahun lepas.

Hakim Noorin Badaruddin menjatuhi hukuman itu ke atas Aaron Teoh Eng Wan, 37, dan isterinya, En Sit Mooi, 40, selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Terdapat bukti yang banyak bahawa pasangan ini telah melakukan pembunuhan dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah,” kata hakim.

Sebaik hukuman itu diputuskan, pasangan itu kelihatan kelu dan kemudiannya menangis di dalam kandang tertuduh.

Pasangan itu didakwa membunuh Adrian Teoh Wai Kit, iaitu anak sulung daripada dua beradik di sebuah premis di Regalia Business Centre, Subang Jaya antara 2 petang dan 3.30 petang pada 26 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Aaron dan En juga dipenjara lapan tahun bermula dari tarikh tangkap pada 26 Mei 2017 bagi pertuduhan kedua, iaitu melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 31 (5) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.

Terdahulu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Tan Teck Yew dan Tina Ong menyatakan kepada mahkamah bahawa nenek serta ibu saudara mangsa perlu dipanggil kerana pernah berada di bawah jagaan mereka untuk memberi pandangan bahawa kecederaan mangsa yang terdahulu mungkin diakibatkan oleh orang lain selain ibu bapanya.

Namun, Noorin berkata keputusan makmal patologi telah pun mengesahkan bahawa kecederaan lama iaitu kesan patah tulang rusuk dan kecederaan baharu yang menyebabkan kematian, sudah memadai.

Pendakwaan mengemukakan 28 saksi dan pihak pembelaan mengemukakan dua saksi iaitu pasangan suami isteri itu sendiri yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi, sepanjang perbicaraan yang bermula pada Julai 2019.

Semasa membacakan kenyataan pembukaan bagi perbicaraan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya memberitahu mahkamah bahawa sebelum meninggal dunia, mangsa telah dipukul oleh ibu bapanya menggunakan rotan dan kayu.

Keterangan pakar patologi menunjukkan punca kematian kanak-kanak itu adalah akibat pendarahan di bawah kulit dan otot yang meluas serta teruk akibat daripada hentakan tumpul berganda.

Keterangan saksi pendakwaan lain seperti ahli kimia juga mengesahkan bahawa terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) milik Aaron serta mangsa pada rotan yang ditemui di tempat kejadian dan berdasarkan video rakaman litar tertutup (CCTV) di premis tersebut, En dilihat beberapa kali mengheret mangsa yang dalam keadaan sangat lemah serta tidak bermaya.

Pasangan suami isteri itu pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 5 Jun 2017.

Tiada ulasan: