"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Soal hidup, mati di Kedah: 'Pesakit tiada harapan sembuh tak masuk ICU'

Malaysiakini 

Pesakit di Kedah yang menderita penyakit kronik dan tiada harapan untuk sembuh tidak lagi akan ditempatkan di unit rawatan rapi kerana katil ICU yang semakin berkurangan.

Keadaan ini melibatkan pesakit Covid-19 dan juga bukan pesakit Covid-19, menurut laporan Berita Harian hari ini.

Laporan itu memetik Exco Kesihatan Kedah Dr Mohd Hayati Othman yang berkata walaupun terdapat cukup katil ICU buat masa ini, dia khuatir pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit Covid-19.

Jelasnya, kakitangan perubatan akan terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan segera ke ICU.

"Saya serba salah hendak maklum atau tidak keadaan ini, tetapi perlu beritahu juga, dalam sesetengah kes doktor terpaksa memilih mana perlu dihantar ke ICU, sekiranya pesakit terlalu kronik dan tidak mempunyai harapan, kita tidak masukkan dia ke ICU.

"Ini termasuk pesakit bukan kes Covid-19, doktor akan membuat penelitian cukup berat bagi sesetengah kes, bagaimanapun kita sebolehnya akan merawat semua pesakit sehingga sembuh dan stabil," katanya.

Mohd Hayati meminta orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak keluar rumah sekiranya tiada urusan penting.

"Kita perlu ingat hospital bukan saja merawat pesakit Covid-19, tetapi ada pesakit kencing manis dan lain-lain yang perlu rawatan serta pembedahan, selepas dibedah perlu dirawat di ICU terlebih dulu," katanya.

Kedah merekodka kes tertinggi iaitu 445 semalam, selain tahap kapasiti wad ICU di Kedah dilaporkan sudah mencapai 92 peratus.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang dipetik Berita Harian berkata setakat ini 44 pesakit dirawat di ICU dengan 20 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Seramai 11 pesakit dirawat di ICU Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, manakala bakinya di ICU Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan ICU Hospital Sultanah Bahiyah 2 (HSB2).

Daripada keseluruhan 44 individu dirawat di ICU, cuma tiga saja yang berusia bawah 50 tahun," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan hospital swasta untuk menyediakan lebih banyak katil untuk pesakit Covid-19.

Ini termasuk kedua-dua wad biasa dan juga wad ICU, katanya dalam surat pekeliling yang dikeluarkan kepada hospital swasta pada 20 Mei.

Dalam surat itu, Nor Hisham menyentuh sumber-sumber hospital awam yang terbatas sejak lonjakan kes Covid-19, di mana katil ICU untuk Covid-19 hampir penuh manakala kes-kes baru dan jumlah kematian terus meningkat.

Masalah serupa juga dihadapi oleh hospital swasta yang memberikan rawatan untuk pesakit Covid-19.

Tiada ulasan: