"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis siasat wanita tumbuk, baling pisau ke arah pegawai MBPP

Bernama

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata siasatan mendapati wanita itu sering membuat kecoh setiap kali datang ke pasar berkenaan. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Polis sedang berusaha mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian menumbuk dan membaling pisau ke arah pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti identiti wanita dipercayai berusia 40-an itu.

Beliau berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai MBPP pada pukul 1.38 tengah hari semalam, yang memberitahu bahawa kejadian bermula apabila wanita itu ditegur kerana memasuki pasar berkenaan tanpa mengikut laluan masuk yang ditetapkan, di samping tidak memakai pelitup muka.

Katanya wanita yang berang itu kemudiannya bertindak menumbuk perut salah seorang pegawai MBPP itu sebelum masuk ke dalam pasar dan membaling pisau ke arah mereka.

Siasatan mendapati wanita itu sering membuat kecoh setiap kali datang ke pasar berkenaan.

“Polis sedang berusaha mengesan wanita itu, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil menyalurkannya kepada kami.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melakukan tugas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Tiada ulasan: